12 JUN ― Di Kampung Merchong, para nelayan meneruskan hidup seperti biasa. Wan Hamid, lelaki berusia 65 tahun, nelayan seumur hidupnya meneruskan rutin  keluar seawal jam 5.30 pagi untuk menangkap ikan. Kampung Merchong terletak di Nenasi, sebuah bandar kecil, kira-kira separuh jalan antara Kuala Rompin dan Pekan.

Sementara itu jauh di utara, Pak Da Hassan sedang menghiris ubi gadong. Sawah padi miliknya di Kampung Lentang, Belantik, Sik sedang diserang ulat batang. Ubi gadong hiris ini akan ditebar ke dalam sawah serta air parit sawah.

Di Sungai Buloh, Megat (bukan nama sebenar), sedang bersiap-siap untuk merempit ke tempat kerjanya. Honda EX5 miliknya saban hari memecut 80 kilometer sejam ke sebuah kedai membaiki motorsikal di Pandan Jaya, 38 kilometer jauhnya. Lewat petang, beliau akan pulang selepas menyelesaikan kerjanya sebagai mekanik milik seorang Cina sekitar jam 7 malam setelah 10 jam bekerja.

Masyarakat

Advertisement

Seringkali ketika membahaskan isu mahasiswa dan universiti, kita terlupa mengenai masyarakat. Di manakah anak-anak yang tidak berjaya masuk ke universiti?

Anak-anak yang tidak memasuki universiti ini, meneruskan kehidupan mereka seperti biasa. Mereka menghabiskan usia mereka di pusat latihan industri, institut latihan kemahiran serta menjadi pekerja bengkel. Sebahagiannya menjadi nelayan, petani, bekerja di kedai orang, usahawan dan berniaga sendiri. Sebahagiannya lagi menjadi pemandu lori, bekerja dengan majlis bandaran menjadi pembersih kawasan, pemotong rumput.

Kelompok masyarakat ini ialah golongan masyarakat yang lebih besar. Mereka membayar cukai pendapatan, cukai pintu, juga membayar tol di lebuh raya. Mereka berfungsi sama seperti masyarakat yang lain. Golongan ini tahu sebahagian besar duit negara ditaburkan kepada anak-anak di universiti untuk membina perpustakaan mereka serta memastikan mereka menyalin nota kuliah di dalam bilik dengan penghawa dingin.

Advertisement

Mereka ini tidak perlukan mahasiswa untuk menguruskan wang mereka di dalam bank. Mereka tidak perlukan pensyarah dengan segala pangkat di hadapan nama untuk membantu mereka membeli barang keperluan harian. Mereka tidak perlukan universiti untuk membantu keluarga mereka cukup makan dan minum saban hari.       

Mahasiswa

Jadi ini situasi yang sangat kontra. Selalunya mahasiswa akan diingatkan, masyarakat memerlukan mereka. Negara memerlukan mahasiswa. Merekalah harapan anak bangsa.

Tetapi jika ditanya pakcik di Kampung Chenein, Behrang Stesen, ataupun makcik dari Ulu Baram, apakah mereka peduli jika universiti kita menghasilkan 1000 kertas kajian berindeks ISI atau 1,000,000 jurnal berstatus Scopus, saya pasti mereka tidak peduli.

Kerana itulah, tak ada orang peduli pun jika universiti kita berlumba-lumba mahu bina logo dengan donut pada tahun lepas. Minggu lepas pula mereka berlumba bina logo lagi, guna dodol pula. Semua untuk ini dilakukan atas nama kebajikan, donut akan diagihkan kepada rumah anak yatim sekitar, dodol pula akan dijual dan hasil jualan akan diagih kepada kaum miskin dan akan dihantar ke Palestin.

Tetapi tak ada orang peduli pun sebenarnya. Selain masyarakat dalam talian dan aktivis hashtag tegar di Facebook dan Twitter, tak ada orang peduli pun apa universiti di Malaysia ini nak buat. Pada mereka, universiti hanyalah tempat anak-anak mereka sambung belajar. Cukuplah setakat itu.

Tetapi sebaliknya, mahasiswalah yang memerlukan masyarakat. Mahasiswa harus segera sedar bahawa duit belanja , tandas, longkang serta kafetaria yang mereka gunakan saban hari datangnya dari wang cukai rakyat. Lebih dari itu, ada kerangka lebih besar yang perlu mereka fahami. 

Kerangka lebih besar

Ada kerangka yang lebih besar perlu difikirkan dengan serius oleh mahasiswa serta pensyarah universiti tempatan dari kerja mengejar rekod untuk diletakkan di dalam Malaysian Book of Records.

Di luar, ketika Facebook sibuk membeli aplikasi Whatsapp dan Microsoft membeli Nokia, Google pula sibuk mengupayakan aplikasi Chrome kepada Chromebook. Ahli geografi sosial Universiti Oxford, Dr Jane Dyson telah mempolakan perubahan sosial yang berlaku di lembah Indian Himalayas di dalam sebuah filem 15 minit memperincikan harapan dan kekesalan penduduk Uttarakhand.  Xavier Dumusque dari Harvard-Smithsonian Center for Astrophysics (CfA) pula mendedahkan penemuan sebuah planet dengan 17 kali saiz bumi, dinamakan Kepler-10c, ditemui setelah data dianalisis pada 3 Jun yang lalu.

Dunia sedang bergerak pantas. Wawasan 2020 hanya kurang 6 tahun untuk dicapai. Saya fikir jelas, kita sudah pasti tidak mahukan Wawasan 2020 disambut tatkala kita memandu Toyota, memakai gajet Sony Xperia, memasang penghawa dingin Mitsubishi di rumah, membasuh baju dengan mesin basuh Panasonic dan menonton Buletin Utama TV3 dengan set televisyen lengkung Samsung.

Atau masih mengharapkan Rusia untuk menghantar satelit kita ke angkasa. Ada kerangka yang lebih besar dari dodol atau donut. Negara perlukan lebih banyak teknologi dihasilkan oleh graduan universiti tempatan untuk mengimbangi pasaran dunia. Negara perlukan sistem ekonomi yang lebih mesra rakyat untuk menyelesaikan masalah jurang antara kaum. Negara perlukan lebih ramai sosiologis untuk bersama rakyat menyeimbangkan ketidakseimbangan politik yang berlaku di antara semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak.

Berselindung di sebalik dodol

Ahli akademik perlu segera keluar dari berselindung di sebalik dodol, dan memastikan negara paling kurang setanding dengan Korea Selatan, sebagai pemain utama teknologi, seterusnya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan memastikan sistem ekonomi yang lebih mapan untuk dikongsi secara bersama oleh rakyat. Inilah fungsi utama universiti, menghasil penyelidik dari kalangan tenaga pengajar seterusnya menghasilkan graduan yang akan keluar menjadi pemain utama industri, bukannya pengguna utama industri negara lain.

Lebih berkesan untuk membantu Palestina jika kita mampu menjadi seperti Korea Selatan atau Jepun, kerana ketika itu Proton mungkin telah mengalahkan Honda, dan anak muda kita mungkin sedang bermain gajet jenama kita sendiri, bukannya Samsung. Ketika itu Proton dan gajet jenama kita boleh suntik dana yang besar kepada Aqsa Syarif, langsung membangunkan masyarakat Palestin dengen lebih efektif. Bayangkan berapa ribu sekolah kita mampu dirikan di Gaza, jika Proton benar-benar mampu mengalahkan Honda?

Syed Hussein Alatas paling keras saya fikir ketika mengulas pemikiran seperti ini. Buku beliau, Intelektual Masyarakat Membangun telah membahaskan kebanyakan permasalahan yang sedang kita hadapi ini berpuluh tahun yang lalu. Dalam Bab 3 beliau membahaskan dengan panjang lebar konsep Oblomovisme dan memperkenalkan terma Bebalisme. Dalam Bab 6 beliau membahaskan dengan komprehensif kepentingan kaum intelektual dan menyatakan dengan tegas; “kelemahan kaum intelektual akan meneruskan revolusi kaum pandir”.

Dalam Bab 4 ketika membahaskan tajuk “Orang pandir dalam masyarakat membangun” menyatakan lima ciri utama orang pandir iaitu; 1) tidak mampu mengenali permasalahan, 2) jika diberitahukan permasalahan itu kepadanya dia tidak mampu menyelsaikannya, 3) tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, 4) tidak mampu mempelajari seni belajar dan 5), biasanya dia tidak mengakui kepandirannya.

Beliau meneruskan, “orang pandir tidak dapat membangkitkan penentangan perlawanan terhadap ketidakadilan dan tidak dapat berperang melawan korupsi. Akhirnya ia tidak mengilhami. Pernyataannya sekalipun dipalsukan dan disertai dengan statistik, fakta dan angka, konsep dan rancangan, sebenarnya tidak dapat menghasilkan tindakan besar.”

Paling jelas, kritikan beliau terhadap orang pandir disasarkan kepada orang tolol di sebalik penyamaran, seperti peguam, doktor, ahli ekonomi, anggota kabinet atau ahli parlimen. Orang pandir seperti ini menurut Syed Hussein Alatas perlu dikritik kerana tugas fungsionalnya berada dalam sebab dan akibat kolektif.  

Pasti sehari dua ini kita tidak akan lupakan Maizura Mokhsein, mahasiswa UiTM yang berjaya mengalahkan 360 peserta lain untuk menduduki tangga nombor satu pendebat terbaik setelah 9 hari bertarung dalam pertandingan United Asian Debating Championship (UADC). Juga Prof Dr Zainal Arifin Ahmad yang telah berjaya mencipta penampal gigi MyUSMDental Fillings yang mempunyai kualiti setanding bahan penampal import serta dihasilkan daripada 80 peratus bahan tempatan. Inilah kualiti mahasiswa dan tenaga pengajar yang kita mahukan, tetapi kita mahukan lebih banyak mahasiswa dan tenaga pengajar seperti ini pada masa hadapan.

Dan tatkala kita berbahas isu pandir dan intelektual, donut dan dodol ini, sebuah syarikat dari China, Guangzhou R&F Properties Co Ltd telah membeli enam plot tanah di Johor dengan rekod pembelian mencecah RM4.5 bilion. Ini bukan kali pertama saya menulis perihal mahasiswa dan tanggungjawab serta mengapa kita perlu tentang acara rekod-merekod yang galak dijalankan oleh universiti tempatan.

Saya tidak ambil kisah sangat kerja rekod-merekod ini. Biarlah siapa pun mahu menebalkan buku Malaysian Book of Records itu. Tetapi lebih baik jika bukan mahasiswa atau universiti yang melakukannya. Saya tak fikir Penan di Sarawak ataupun masyarakat di Hulu Tembeling perlukan universiti mahupun mahasiswa, kalau mereka asyik main donut atau dodol.

Cukup-cukuplah universiti kita bina peta terbesar, “macro-teaching” selama 182 jam ataupun aktiviti bersenam selama 36 jam. Tuduhlah saya sebagai fasis intelek sekalipun, apakah kreativiti universiti kita hanya terhad dan obses untuk main “Malaysia Book of Records” sahaja?

Mahasiswa dan universitilah yang perlukan masyarakat. Mahasiswa perlukan masyarakat kerana masyarakat ialah juzuk sosial yang perlu ada agar mereka boleh berkhidmat. Universiti perlukan masyarakat kerana masyarakat akan menyumbang kepada pembangunan sosial dan membuktikan segala macam teori yang berada di dalam jurnal berindeks itu boleh dilaksanakan di dalam dunia yang nyata ini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.