APRIL 21 — Sejak Meninder Kaur Jessy masih kecil, bapanya, Manjit Singh Jessy,  selalu bercerita tentang kisah silam, khususnya mengenai kaum-keluarga dan sanak-saudara. Beliau akan mengimbas kisah suka-duka sejak kedatangan nenek-moyang ke negara ini dari Punjab, India.

Akhirnya, sekitar dua tahun lalu, Meninder memutuskan untuk mengatur suatu pertemuan keluarga melibatkan saudara-mara dari jauh dan dekat. Pada masa yang sama, timbul idea untuk mengumpulkan maklumat kaum-keluarga untuk dibukukan sebagai suatu bahan dokumentasi berharga.

Hasilnya adalah buku berjudul “The Jessy Family” yang dicetak dan diedarkan dalam jumlah yang terhad kepada kaum-keluarga yang menghadiri pertemuan pada September 2013. Untuk rekod, nama keluarga (seperti Jessy, Gill, Sandhu dan Hans) adalah mengikut nama keluarga sebelah bapa.

Meninder sangat bangga dengan buku yang dihasilkannya. – Foto oleh UthayaSB
Meninder sangat bangga dengan buku yang dihasilkannya. – Foto oleh UthayaSB

Advertisement

“Saya mengambil masa sekitar dua tahun untuk mengumpulkan bahan-bahan daripada saudara-mara bagi menghasilkan buku ini. Kerja-kerja dimulakan dengan menghasilkan pokok keluarga (family tree) berdasarkan maklumat yang diterima.

“Semasa membuat kerja-kerja mengumpulkan bahan, timbul pula cadangan supaya pertemuan diadakan bagi mengumpulkan saudara-mara yang sudah terlalu lama tidak bertemu,” kata Meninder sewaktu kami bertemu di The Summit USJ pada pagi 16 April 2014.

Saya mendapat tahu mengenai cadangan menerbitkan buku ini apabila wanita kelahiran Ipoh, Perak ini menghubungi saya pada 18 September 2013 untuk mendapatkan sedikit panduan dan nasihat berhubung soal penerbitan dan hak cipta.

Advertisement

Buku terakhir yang saya baca berkaitan sejarah dan keluarga orang Punjabi adalah “The Enchanting Prison” (2006) tulisan Malkiat Singh Lopo. Karya fiksyen itu menceritakan mengenai keluarga Toki Sunder Singh dan membantu saya lebih memahami pandangan dunia orang Punjabi di Malaysia.

Menceritakan pengalaman mengumpulkan bahan bagi buku “The Jessy Family”, Meninder mengakui bahawa usaha itu tidak selalunya mudah. Mujurlah kebanyakan saudara-mara tampil memberikan maklumat dan kerjasama kepada suri rumah ini yang berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada anak tunggalnya, Ashmeeta Kaur (8 tahun).

“Susur-galur kami di negara ini bermula dengan Kesar (Keser) Singh Jessy. Selepas nenek-moyang kami meninggal dunia, masing-masing saudara-mara sudah membawa haluan sendiri serta sibuk dengan kerja dan urusan keluarga masing-masing.

“Di sisi yang lain pula, apabila saya memaklumkan mengenai rancangan mengumpulkan bahan bagi buku ini dan diikuti pula cadangan mengadakan pertemuan besar-besaran, ramai yang benar-benar teruja dan bersemangat,” katanya yang turut berterima kasih kepada suaminya, Harminder Singh Sansoi atas sokongan moral yang diberikan.

Kerja-kerja mengumpul bahan

Bercerita lebih lanjut mengenai kerja-kerja mengumpulkan bahan bagi bukunya, wanita ini yang kini tinggal di Subang Jaya, Selangor mengatakan bahawa laman rangkaian sosial Facebook banyak membantu usaha mencari dan menghubungi saudara-mara yang tinggal di dalam dan luar negara.

Jurai keturunan Jessy di Punjab, India hingga kepada Keser Singh.
Jurai keturunan Jessy di Punjab, India hingga kepada Keser Singh.

Salah seorang sepupu di Singapura memang sudah mengumpulkan bahan dan membuat pokok keluarga bagi keluarganya sendiri. Meninder pula ada pokok keluarga sendiri. Maka, memandangkan rangka awal sudah ada, mudahlah untuk meneruskan kerja menambah cabang dan ranting pada pokok keluarga itu.

“Saya juga membuka kumpulan tertutup bagi keluarga Jessy di Facebook. Sedikit demi sedikit, ahli ditambah sehingga akhirnya hampir kesemua keluarga Jessy berjaya dikesan,” kata wanita ini yang merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik) dari Universiti Malaya.

Sambil kami berbual dan minum, saya membelek-belek buku setebal lebih 110 halaman itu dengan penuh rasa kagum. Selain pokok keluarga dan maklumat setiap keluarga, buku ini juga dipenuhi foto-foto lama yang berjaya dikumpulkan daripada sanak-saudara.

Suatu perkara yang menarik untuk diperhatikan adalah bahawa kesemua foto lama ini dirakam sebelum kewujudan kamera digital. Ternyata walaupun keluarga Jessy ini sudah lama terpisah dan membawa haluan masing-masing, foto-foto lama tetap disimpan sebagai tanda kenangan, nostalgia silam dan harta yang amat berharga.

Meninder mengakui bahawa ada banyak nilai sentimental dan kenangan berharga pada setiap keping foto berkenaan. Dengan adanya perkembangan teknologi, maka foto-foto itu dapat dirakam semula dan salinan digital dikirim kepadanya oleh saudara-mara dari jauh dan dekat untuk dimuatkan dalam buku “The Jessy Family”.

Meninder selaku penyelenggara buku berkenaan mendapat kerjasama padu daripada sekitar dua puluh orang yang turut amat berminat membantu kerja-kerja mengumpulkan bahan. Kemudahan internet dan Facebook membuatkan kerja-kerja itu menjadi lebih mudah.

Salah satu pokok keluarga berdasarkan maklumat yang dikumpul.
Salah satu pokok keluarga berdasarkan maklumat yang dikumpul.

“Ada lebih 250 ahli dalam kumpulan tertutup yang dibuka secara khusus bagi keluarga Jessy di Facebook. Kesemua mereka itu yang menjadi tali penghubung bagi mengeratkan kembali hubungan kaum-keluarga dan sanak-saudara yang terputus sejak sekian lama.

“Selain daripada Malaysia dan Singapura, diaspora keluarga Jessy juga berada di Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Rusia. Saya gembira kerana kesemua mereka berjaya dihubungi dan maklumat lengkap seluruh keluarga Jessy termuat dalam buku ini,” kata Meninder dengan bangga.

Keluarga pelbagai kaum, agama

Buku ini dilancarkan secara rasmi semasa pertemuan keluarga Jessy pada September 2013 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Sejumlah 160 daripada 258 anggota keluarga telah hadir. Kebanyakan daripada mereka saling bertemu buat kali pertama. Maka, dapat dibayangkan suasana penuh emosional yang menyelubungi pertemuan itu.

Sebelum menjadi suri rumah sepenuh masa, Meninder bekerja sebagai pengurus pemasaran di Sime Darby. Beliau mengakui suka bertemu orang serta merancang dan menguruskan aktiviti sejak di universiti. Maka, minat dan pengalaman itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjayakan pertemuan keluarga Jessy dan menghasilkan buku khas ini.

“Pada peringkat awal, bapa saya mengingatkan saya bahawa kami belum pernah bertemu kebanyakan ahli dalam keluarga besar Jessy. Maka, bapa bimbang memikirkan reaksi yang mungkin diterima jika saya tiba-tiba menghubungi mereka. Kebimbangan itu adalah berasas.

“Kemudian, selepas saya menghubungi beberapa keluarga dari jauh dan dekat serta mereka mula memberikan kerjasama bagi rancangan pertemuan dan buku, maka bapa mula terasa sedikit lega. Malah, bapa ternyata amat teruja kerana berpeluang bertemu kaum-keluarganya setelah sekian lama,” Meninder menceritakan.

Puluhan foto lama diabadikan dalam buku ini.
Puluhan foto lama diabadikan dalam buku ini.

Hasil daripada pertemuan besar-besaran pada September 2013, hubungan keluarga besar Jessy menjadi lebih intim. Masing-masih amat terharu, gembira dan bersyukur dapat bertemu dan menjalinkan kembali hubungan yang renggang.

“Penyanyi terkenal tanah air, Datuk DJ Dave juga termasuk dalam keluarga Jessy. Seperti biasa, semua yang menghadiri pertemuan itu berkongsi kisah keluarga, makan-minum dengan gembira dan bertukar-tukar nombor telefon dan alamat e-mel. Sejak itu, kami terus saling berhubung untuk bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim.

“Untuk rekod, tidak semua orang dalam keluarga besar Jessy pada masa kini merupakan orang Punjabi beragama Sikh. Kahwin campur berlaku sejak dahulu sehingga menghasilkan sebuah keluarga besar yang terdiri daripada anggota pelbagai kaum, keturunan, etnik, agama dan budaya,” katanya.

Memandangkan wujud kahwin campur, kebanyakan mereka terpaksa menggunakan Bahasa Malaysia atau Inggeris apabila bertemu dan berkomunikasi. Walau bagaimanapun, seperti ditekankan oleh Meninder, keluarga Jessy terus berbangga dengan identiti dan jati diri.

Hal ini bermakna bahawa bahasa ibunda dan budaya tradisi tidak akan diketepikan. Tambahan pula, sebagai kelompok minoriti di negara bertuah ini, orang Punjabi memikul tanggungjawab yang amat berat dalam memastikan kehadiran mereka terus diiktiraf.

Buku “The Jessy Family” pula merupakan sumbangan Meninder dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam memperkaya khazanah dan bahan dokumentasi negara.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.