8 APRIL ― Saya berpeluang untuk menghadiri 2nd Summer School dan International Conference yang dianjurkan oleh Fakulti Hukum (Undang-undang) Universiti Jember pada bulan Mac yang lalu.

Persidangan berjalan dengan lancar dengan pertukaran pelbagai pendapat dan buah fikiran baru. Di sebalik jadual yang padat, saya begitu tertarik sekali dengan kempen piliharaya umum Indonesia ataupun lebih popular dengan nama PEMILU 2014. Pilihanraya yang akan diadakan nanti adalah pada 9 April 2014 dan pilihanraya Presiden akan menyusul kemudian.

Saya terpanggil untuk menulis mengenai ruang yang diberikan oleh media-media Indonesia terutamanya stesen-stesen televisyen kepada parti-parti politik di Indonesia. Di Indonesia, terdapat pelbagai parti politik seperti Partai Demokratik, Partai Nasional Demokratik (NASDEM), Partai Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) dan Partai Kebangkitan Bangsa (PKB).

Saya begitu terkejut dengan menonton iklan kempen oleh setiap parti yang bertanding di kaca televisyen tanpa henti. Tidak kisahlah parti pemerintah ataupun parti pembangkang, semuanya diberikan peluang untuk menyampaikan manifesto masing-masing. Setiap parti politik yang berkempen di televsiyen menggunakan pelbagai idea yang kreatif dalam memikat pengundi. Ini adalah keadaan yang saya tidak lihat dalam pilihanraya yang lepas di Malaysia.

Advertisement

Saya adalah pengundi pertama kali dalam pilihanraya umum (PRU 13) yang lepas. Rata-rata pengundi muda seperti saya terpaksa beralih ke medium-medium selain daripada televisyen arus perdana bagi mendapatkan maklumat mengenai parti-parti lain yang bertanding. Kami terpaksa ke beralih ke Facebook, Twitter ataupun laman web rasmi pilihanraya bagi parti-parti politik lain (atau lebih mudah parti pembangkang).

Media televisyen adalah alat yang paling berkuasa dalam mendidik masyarakat disebabkan capaian yang sangat luas. Segala maklumat yang diberikan, secara tidak langsung akan membentuk identiti masyarakat. Maka, jikalau ingin melahirkan masyarakat yang matang dan pandai menilai, besar kemungkinan cara yang paling mudah adalah menjadikan media arus perdana kita lebih adil dan bebas.

Berbalik semula kepada perbincangan tadi, dalam konteks masyarakat demokratik, media yang bebas dan adil akan memberikan sepenuhnya ruang kepada parti-parti politik yang bertanding untuk berkempen secara terbuka dan lebih mudah. Pemberian ruang yang lebih bebas kepada parti-parti politik yang bertanding tidak bermaksud hanya ingin menang pilihanraya. Langkah memberikan kebebasan dan keadilan yang lebih baik adalah alat untuk menjadikan masyarakat lebih terdidik dan matang.

Advertisement

Bagaimana? Hanya dengan maklumat yang pelbagai, masyarakat kita dapat membuat sesuatu keputusan dengan lebih tepat dan berkesan. Sebab itulah kalau ditinjau di negara-negara lain, amalan demokrasi mereka begitu meriah dengan kempen daripada setiap parti kerana hanya dengan maklumat, masyarakat dapat menilai dengan lebih baik.

Mungkin ada yang akan berkata tidak relevan untuk dilakukan di Malaysia kerana masih ada medium lain seperti blog dan media sosial. Walau bagaimanapun, harus diingat tidak semua orang ada capaian terhadap medium sosial ini. Media arus perdana seperti televisyen dan akhbar adalah murah dan boleh dicapai sama ada di bandar ataupun di desa.

Mungkin juga ada yang berpendapat keadaan sekarang harus dikekalkan supaya situasi tidak menjadi “panas” dan sebagainya. “Panas” atau tidak bukanlah persoalan. Untuk menjadi masyarakat yang lebih dinamik, amalan demokratik harus senantiasa disuburkan pada setiap masa. Jikalau hujah yang digunakan adalah hujah risiko yang terpaksa dihadapi, negara kita akan ketinggalan di belakang.

Media yang bebas dan adil adalah satu keperluan. Ini adalah langkah kita ke arah masyarakat yang lebih dinamik dan demokratik. Kepada teman-teman di Indonesia, selamat mengundi!

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online