MAC 3 ― Ajaran Hindu sejak lebih 5,000 tahun dahulu membimbing umat manusia untuk “melihat” kehadiran kebesaran dan sifat-sifat Tuhan pada setiap benda ― bernyawa dan tidak bernyawa ― di muka bumi.
Sebagai agama Tauhid pertama dan tertua di dunia, ajaran Hindu ― atau Sanatana Dharma ― menyembah Tuhan Yang Maha Esa. Hanya golongan yang tidak mengenali ajaran Hindu sering menuduhnya sebagai agama politeisme iaitu menyembah beberapa Tuhan.
Kamaludin Endol dalam bukunya Hinduisme Agama Tauhid Terawal? (2014) menyentuh perkara ini secara ilmiah dan separa akademik supaya mudah difahami khalayak pembaca pelbagai kaum, etnik dan agama.
Dalam bukunya, Kamaludin yang merupakan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2011 secara tepat, benar dan berasas turut menyentuh mengenai pelbagai kecelaruan serta amalan yang tersasar daripada ajaran sebenar Hinduisme.
Pendedahan itu saya anggap sebagai kritikan positif yang mampu membuka mata dan minda penganut Hindu ― khususnya di Malaysia ― supaya tidak membiarkan diri hanyut dengan sebarang ajaran sesat yang disebarkan seolah-olah ia sebahagian tuntutan ajaran Hindu.
Sambil mendedahkan pelbagai kecelaruan ajaran Hinduisme sejak ratusan tahun dahulu, Kamaludin menerusi bukunya Hinduisme Agama Tauhid Terawal? turut menghuraikan secara mudah dan objektif mengenai beberapa topik ajaran Hindu yang entah-entah tidak diketahui penganut Hindu sendiri; khususnya generasi muda.
Salah satu hakikat yang nyata di Malaysia adalah bahawa ada individu yang lahir dalam keluarga Hindu tetapi kemudian memilih untuk meninggalkan agama itu. Antara alasan yang diberikan adalah bahawa mereka tidak memahami ajaran Hindu. Kononnya orang Hindu menyembah patung.
Sebagai agama Tauhid yang dipercayai diwahyukan kepada Nabi Adam, Sanatana Dharma (Hinduisme) tidak menghalang sesiapa pun “meninggalkan” ajaran Hindu. Sebaliknya, ditekankan bahawa semua agama yang diturunkan (diwahyukan) kemudian adalah ibarat jalan-jalan berbeza yang tetap membawa umat manusia “bertemu” Pencipta Yang Maha Esa.
Namun, dalam realiti di Malaysia, perkara yang agak melucukan adalah apabila kelompok yang memilih untuk “meninggalkan” ajaran Hindu dengan alasan “tidak faham” akan segera muncul menyebarkan ajaran-ajaran lain dengan suatu cara terkutuk; iaitu menghina ajaran Hindu.
Amat pelik dan menghairankan kerana kelompok itu sendiri sudah mengaku “tidak faham” ajaran Hindu tetapi mahu pula mengutuk dan menghina apa yang mereka tidak ada budhi (pemikiran) untuk memahami.
Proses hijrah dalam penyembahan berhala
Antara perkara yang sering dijadikan modal oleh golongan tanpa budhi ini adalah amalan menyembah berhala dalam kalangan penganut Hindu. Topik “Hindu sembah banyak Tuhan” menjadi pilihan utama golongan yang cuba menyesatkan orang Hindu dan seterusnya menarik mereka memeluk ajaran/agama lain.
Makalah ini ditujukan juga kepada penganut Hindu supaya mereka faham konsep penyembahan berhala. Dengan adanya sedikit maklumat, maka tidak mudahlah mereka dipesongkan, ditipu, dihina, diperlekeh dan dipujuk meninggalkan agama asal.
Hakikat yang mungkin tidak disedari ramai adalah bahawa tidak ada seorang pun penganut Hindu yang menyembah berhala dengan menganggap atau mempercayai berhala (idol) itu sebagai Tuhan.
Sebaliknya, segala sembahyang, doa dan puja ditujukan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Sudah dinyatakan sejak awal bahawa Hinduisme adalah agama Tauhid terawal. Maka, secara jelas ia tidak mengajar manusia menyembah “beberapa” Tuhan.
Malah, sekiranya ajaran dalam kitab-kitab suci dan Veda dihayati dan diteliti, penyembahan berhala adalah proses awal ― peringkat paling asas ― ke arah membantu orang Hindu mendekatkan diri kepada Tuhan yang diakui berada di mana-mana (Omnipresent).
Apabila jiwa individu berkenaan sudah mencapai tahap keimanan yang tinggi dan sudah “dekat” dengan Tuhan, maka dia tidak memerlukan berhala untuk “membantu”nya berkomunikasi dengan Pencipta.
Sebab itulah dalam kalangan penganut Hindu, selain daripada menyembah berhala (dewa-dewi), individu yang sudah mencapai tahap budhi lebih tinggi akan beralih kepada simbol (icon) seperti lingga. Objek simbolik ini tidak lagi menyerupai berhala yang sering kali menggambarkan ciri-ciri fizikal dewa-dewi.
Pada tahap seterusnya, cahaya (nur) menjadi simbol kepada Tuhan kerana sesungguhnya Tuhan tidak mempunyai rupa, bentuk dan fizikal yang mampu dibayangkan minda manusia. Mana-mana agama Tauhid mengakui hakikat ini.
Mara selangkah lagi, individu berkenaan berkomunikasi (berdoa) secara langsung dengan Tuhan yang wujud di mana-mana; termasuk dalam dirinya. Kalau anda perhatikan, ramai penganut Hindu yang tidak menyembah berhala.
Demikianlah proses “hijrah” dalam ajaran Hindu yang malangnya kurang diketahui umum. Tambahan pula, seorang penganut Hindu yang sudah mencapai tahap keimanan tertinggi masih boleh pergi ke kuil untuk bersembahyang menghadap berhala bersama-sama orang lain.
Perbezaan patung dan berhala
Sekadar perbandingan mudah ― untuk membantu pemahaman ― seorang Sufi dalam Islam masih boleh bersolat jemaah bersama-sama orang lain yang tahap keimanan mereka mungkin masih rendah. Malah, tanpa mengira kedudukan dan betapa dalam ilmu agama, setiap umat Islam tetap bersolat berkiblatkan Kaabah, bukan?
Malangnya, dalam hal Hinduisme, tumpuan selalu hanya diberikan terhadap aspek penyembahan berhala. Konsep berhala itu pula tidak difahami sepenuhnya tetapi dengan mudah sahaja dikutuk, dihina, diperli, diperlekeh dan dicaci. Kononnya menyembah banyak Tuhan. Atau menyembah patung.
Hakikat yang sedih tetapi terpaksa diakui adalah bahawa ramai juga penganut Hindu sendiri yang kurang pengetahuan mengenai berhala. Apabila ditanya “Kenapa ada banyak patung dewa-dewi di kuil?” maka ramai yang hanya mampu tersengih malu.
Kita perlu faham bahawa apa yang diletakkan di kuil adalah berhala (idol) dan bukannya patung (statue). Di sebuah kuil, mungkin ada beberapa berhala (idol) yang menzahirkan beberapa sifat Tuhan. (Jumlah sifat Tuhan menurut Hinduisme adalah infiniti.)
Berhala itulah yang disembah atas dasar yang sudah diterangkan tadi. Biasanya berhala utama ditempatkan di mulastanam, iaitu bilik khas di tengah kuil. Pengetahuan mengenai Murtisilpa atau ikonografi iaitu sains imej dan berhala diperlukan untuk memahami perkara ini secara lebih mendalam.
Di kuil yang sama juga biasanya terdapat patung (statue) yang ditempatkan untuk menggambarkan kisah-kisah yang dipetik daripada purana, iaitu mitos berkaitan dewa-dewi. Peserta Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2010 pasti lebih memahami perkara ini.
Misalnya, di kuil Dewa Murugan, lazimnya ada patung-patung yang menggambarkan peristiwa perkahwinan Murugan dengan Theivanai dan Valli; Murugan dan Ganesha bersama-sama ibu bapa mereka iaitu Shiva dan Shakti; Murugan menerima vel daripada Shakti; Murugan membawa diri ke puncak gunung kerana merajuk, dan sebagainya.
Memanglah topik berkaitan berhala dalam ajaran Hindu amat kompleks dan memeningkan jika kita tidak ada pengetahuan mengenai ikonografi. Tambah parah jika seseorang memang sudah ada sikap prejudis terhadap Hinduisme dan penganut Hindu.
Makalah ini amat ringkas dan hanya memberikan sedikit maklumat asas yang diharap dapat membuka mata dan minda pembaca ― khususnya penganut Hindu ― untuk mendalami ilmu ikonografi. Pengetahuan ini penting untuk memahami Sanatana Dharma yang berusia lebih 5,000 tahun dan amat kompleks serta subjektif sifatnya.
Makalah ini juga diharap sekurang-kurangnya membantu kita untuk sama-sama memahami bahawa penganut Hindu bukannya menyembah patung atau menyembah beberapa Tuhan. Sebaliknya penganut agama Tauhid tertua ini menyembah Ekan ― Tuhan Yang Maha Esa.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
