23 SEPTEMBER ― Untuk sekian kalinya, Malaysia terpaksa berhadapan dengan masalah jerebu yang akut.

Jika tahun 1997 dianggap sebagai penanda aras kepada keseriusan jerebu yang menyaksikan darurat diisytiharkan di Sarawak, jerebu kali ini tidak banyak bezanya.

Apa tidaknya, si pelaku yang mendalangi pembakaran terbuka masih sama.

Reaksi balas yang diberikan juga serupa dengan kenyataan oleh pemimpin negara jiran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Advertisement

Ketegasan itu tidak disusuli dengan penguatkuasaan yang konsisten dan berterusan. Yang kedengaran hanyalah kenyataan dan janji-janji manis yang mungkin sedap didengar tetapi tidak membawa sebarang makna.

Banyak pihak yang terkesan dengan masalah jerebu yang melanda negara ketika ini. Para pelajar sekolah dan penuntut Universiti, golongan warga emas, mereka yang menghidapi penyakit lelah, dan ramai lagi.

Apa yang membingungkan di sini adalah apakah sudah tidak ada cara lain untuk mengatasi masalah jerebu selain meminta kerjasama negara jiran untuk memainkan peranannya?

Advertisement

Di manakah komitmen si pelaku untuk mengatasi masalah jerebu? Tidak sedarkah mereka bahawa perbuatan membakar dan menerangkan hutan secara terbuka bukan sahaja memberi impak serius kepada keadaan kesihatan rakyat tetapi juga kepada negara-negara lain?

Justeru, jika pihak berkuasa ternampak individu atau syarikat tertentu yang mendalangi perbuatan sedemikian, tangkap dan heret mereka ke muka pengadilan. Tidak ada lagi tolak-ansur terhadap mereka yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan perlulah setimpal dengan apa yang dilakukan.

Cukup-cukuplah dengan janji-janji manis yang diberikan. Apakah kita perlu menunggu sehingga ada orang mati baru diambil tindakan?

Kepada pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah ini, elok jika mereka dapat tampil dengan satu strategi komprehensif untuk menangani masalah jerebu. Harap-harap kita tidak perlu mendengar dan menderita akibat jerebu saban tahun selepas ini.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.