18 MAC ― Baru-baru ini, ada seorang Menteri Kabinet yang mengumumkan kerajaan bakal melaksanakan projek kereta terbang pertama Malaysia yang dipacu teknologi tempatan pada tahun ini.

Namun demikian, ramai yang mengutuk dan memperlekehkan pengumuman tersebut sambil menyifatkan projek itu mustahil untuk dilaksanakan. Ada juga netizens yang menasihatkan kerajaan untuk menyelesaikan masalah semasa yang ada di hadapan mereka sebelum melihat terlalu jauh ke hadapan.

Begitu juga dengan pengumuman oleh Menteri Pendidikan tidak beberapa lama dahulu bahawa pemakaian kasut hitam akan dikuatkuasakan, turut mendapat kecaman yang serupa.

Apapun, reaksi tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah sudah pun dijangka.

Advertisement

Dalam kedua-dua insiden ini, jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya peka dan prihatin akan isu-isu semasa. Malangnya, keprihatinan tersebut telah “ditenggelamkan” dengan keghairahan dan sikap mengutuk melampau oleh segelintir individu atau netizens terhadap sesuatu yang berbangkit.

Ternyata, semua orang berhak mengkritik malahan mereka juga berhak untuk tidak sependapat dengan orang lain. Cumanya, keghairahan untuk mengutuk dan mengadu tanpa memberikan jalan penyelesaian haruslah dikikis. Janganlah sampai orang melihat kita sebagai pihak yang cuba menangguk di air keruh melalui tindakan berkenaan.

Sejujurnya, jika orang-orang begini tidak mempunyai pendapat untuk dikemukakan, maka ada baiknya jika mereka ini berdiam diri sahaja. Jika ingin mengambil bahagian, maka libatkan diri dalam perbincangan secara konstruktif. Sumbangkan idea bernas untuk membantu.

Advertisement

Justeru, apa rasionalnya untuk mereka mengutuk? Adakah kerana mereka mahu suaranya didengari? Ataupun kerana mereka mahu perhatian semata-mata? Mungkinkah juga mereka yang mengeluarkan kritikan ini sebenarnya berniat balk tetapi tidak begitu bijak dalam menyampaikan mesej mereka?

Tidak dinafikan kritikan adalah penting untuk membantu kita memperbaiki diri. Akan tetapi, jika kritikan itu lebih bersifat peribadi dan tidak disusuli dengan jalan penyelesaian, maka itu bukan membantu namanya.

Kepada rakyat Malaysia sekalian, jadilah seorang warga yang rasional dan tidak cepat menghakimi sesuatu atau seseorang sebelum mendalami latar belakang isu yang dibangkitkan. Sikap sedemikian penting dalam usaha untuk menyemaikan satu persekitaran yang harmoni dan bebas daripada perasaan syak-wasangka.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.