24 SEPT — Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini meluahkan perasaan malu beliau apabila rakyat Malaysia gagal membayar hutang pengajian selepas mendapat bantuan daripada kerajaan.

Teguran ‘pedas’ oleh Tun Mahathir itu ditujukan kepada para peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan hutang kepada PTPTN mencecah RM36 bilion.

Menurut beliau lagi, mereka ini tidak tahu malu dan tiada amanah apabila melakukan sesuatu kesalahan. Malah, apabila melakukan kesalahan sekalipun, ada yang masih tersenyum seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Biarpun teguran yang diberikan oleh Tun Mahathir dilihat ‘pedas’, namun apa yang diperkatakan oleh beliau sememangnya sedang berlaku di negara kita. baik dalam pergaulan dengan kawan, di tempat kerja mahupun dalam urusan seharian dengan pihak lain.

Advertisement

Teguran yang diberikan oleh Tun Mahathir sarat dengan pelbagai mesej tersirat yang bertujuan untuk menyedarkan rakyat Malaysia untuk bangkit dan mengikis tabiat buruk yang menjadi ikutan sejak sekian lama.

Bahkan, teguran itu harus membuka mata rakyat untuk bersikap lebih serius, komited dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan yang telah diamanahkan.

Sebagai contohnya, jika seseorang itu telah diberikan amanah oleh majikan untuk mengepalai satu projek penting, maka sebaik-baiknya individu yang dipertanggungjawabkan itu memberikan sepenuh fokus kepada misi untuk melaksanakan projek dengan sebaik mungkin. Bukannya berharap untuk mendapatkan ganjaran semata-mata atau menggunakan jalan pintas bagi mencapai matlamatnya.

Advertisement

Pada masa yang sama, prinsip Cekap, Bersih dan Amanah sewajarnya menjadi pegangan semua rakyat ketika menjalankan tugasan masing-masing. Anggaplah amanah yang diberikan itu sebagai satu penghormatan oleh pihak majikan terhadap keupayaan dan kemampuan seseorang untuk melaksanakan sesuatu untuk syarikat.

Dalam erti kata lain, bekerjalah dengan gigih dan penuh keikhlasan. Satu hari nanti, segala jerih-payah dan usaha gigih akan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Maka kerana itu, seseorang itu perlulah mencontohi sikap rakyat Jepun dan negara-negara maju lain yang begitu serius dan profesional ketika melaksanakan tugasan mereka. Mereka begitu bangga dan “take pride” dengan pekerjaan mereka hatta pekerjaan tersebut bukanlah pekerjaan yang berpangkat tinggi.

Professionalisme mereka itu juga amat terserlah dalam sikap mereka biarpun ketika mereka melakukan sesuatu kesalahan. Bagi rakyat Jepun umpamanya, mereka berasa malu apabila gagal untuk melakukan sesuatu perkara.

Ada pula yang sanggup meletak jawatan dan mengaku salah di khalayak kerana bagi mereka, kegagalan untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan itu ibarat satu penghinaan kepada maruah mereka. Kerana adanya budaya kerja yang sedemikian rupa dan perasaan malu, menjadikan rakyat Jepun begitu berjaya di persada dunia.

Sebenarnya, perasaan malu akan kesalahan dan kelemahan diri bukanlah sesuatu yang mengaibkan. Sebaliknya, kesanggupan untuk berasa malu dan mengakui kelemahan diri adalah manifestasi kesedaran mereka terhadap kesalahan yang dilakukan dan mahu membuat perubahan.

Adalah lebih baik jika seseorang itu sedar akan kesalahan mereka dan ingin melakukan perubahan daripada mereka yang tidak sedar akan kesalahannya dan enggan berubah untuk menjadi seorang yang lebih baik.

Amanah yang diberikan tidak seharusnya disia-siakan begitu sahaja kerana apabila kepercayaan sudah tidak ada lagi, adalah sukar untuk seseorang itu diberikan mandat selepas ini untuk melakukan sesuatu tugasan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.