20 OGOS — Kritikan merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan. Ia mungkin datang daripada sahabat baik kita, guru-guru sekolah mahupun ibu bapa kita. 

 

Kritikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang bersifat konstruktif dan membina yang mana kritikan itu dibuat bagi memperbetulkan lompong-lompong dan kesilapan yang telah berlaku. 

Tidak kurang juga, ada kritikan yang tajam dan kritikan yang dibuat semata-mata untuk memberikan pengajaran ataupun menyedarkan seseorang dengan cara yang keras demi menyelamatkan keadaan.

Advertisement

Dalam kehidupan seharian, manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Apabila mereka tersilap langkah, kritikan-kritikan sebegini amatlah penting dan boleh digunakan sebagai panduan untuk memperbaiki diri sekaligus menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan.

Pendekatan ini juga boleh diguna pakai oleh kita sebagai pengundi dalam memantau prestasi dan tindak-tanduk kerajaan yang telah dipilih baru-baru ini. Dan sejak kebelakangan ini, ramai pihak termasuklah NGO, orang-perseorangan mahupun ahli-ahli politik yang mengkritik prestasi dan cara negara ini ditadbir selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Masing-masing tampil dengan pelbagai hujah yang menarik dan mendesak agar sesuatu yang lebih tuntas diambil untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Antara kritikan-kritikan yang diluahkan termasuklah kerajaan baharu sekarang gagal menunaikan janji-janji manifesto mereka sempena 100 hari pentadbirannya dan persepsi bahawa pemerintah tidak prihatin dengan golongan tertentu.

Advertisement

Tatkala kritikan-kritikan sedemikian adalah dialu-alukan, namun sebagai seorang pengundi, kita juga harus menilai sesuatu isu itu dari perspektif yang lebih menyeluruh berpaksikan kepada fakta konkrit serta daripada laporan media yang sahih, bukannya desas-desus yang tidak berasas.

Bukanlah bererti jika suara-suara yang lebih banyak menentang terhadap pelaksanaan sesuatu dasar oleh pemerintah, maka mereka dilabel sebagai pembangkang. Begitu jugalah sebaliknya.

Sebenarnya, tidak salah untuk berbeza pendapat. Mereka mungkin berbeza pendapat kerana mereka percaya ada lagi cara yang lebih baik untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan. Kebiasaannya juga, pihak satu lagi sebagai reaksi balas akan pula mempertahankan pendirian mereka dan menegaskan pendirian mereka lebih praktikal.

Mungkin tidak ramai yang nampak bahawa di sebalik perbezaan pendapat itu, wujud percambahan idea-idea menarik daripada kedua-dua belah pihak yang masing-masing inginkan yang terbaik buat negara. Jangan terkejut sekiranya kebanyakan idea bernas ini datang daripada kelompok ini yang mungkin kita tidak sedari sama sekali. Yang pasti, perbezaan dan kepelbagaian pendapat adalah sesuatu yang sihat dan ia mampu menyumbang wacana atau discourse yang lebih bermakna kepada masyarakat dan negara.

Akan tetapi, kebebasan untuk mengkritik yang diberikan itu tidaklah bermakna bahawa sesebuah pihak atau seseorang itu boleh menghentam/mengkritik secara membuta-tuli tanpa disokong oleh hujah-hujah bernas. Dalam konteks pentadbiran kerajaan PH untuk tempoh 100 hari mereka sebagai contoh, dilihat fokus kritikan yang dilemparkan rata-rata berkisar kepada ‘kegagalan’ kerajaan untuk memenuhi manifesto dalam tempoh 100 hari. 

Persoalannya, mengapa harus prestasi kerajaan dinilai dalam tempoh 100 hari sahaja? Sejujurnya, apa yang boleh dicapai secara menyeluruh sepanjang tempoh tersebut? Apakah tempoh 100 hari itu begitu penting sehinggakan tempoh selepas itu sudah tidak signifikan? 

Kepada yang sering mengkritik, mereka harus pastikan dirinya berada dalam keadaan yang lurus dan benar dan pada masa yang sama, perlu bersedia untuk dikritik kembali. Selain itu, usah melatah dan marah apabila dikritik. Yang menegur pula, pastikan kritikan dibuat secara berhemah dan selari dengan norma masyarakat. Pada akhirnya, semua yang dibuat adalah untuk kebaikan bersama. 

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.