30 JULAI — Pendedahan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Presiden Kamarozaman Abd. Razak baru-baru ini bahawa masalah kemurungan dalam kalangan guru adalah cukup serius terutamanya membabitkan mereka yang bertugas di bandar besar, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Malah, masalah tersebut merupakan satu hakikat nyata yang sudah pun berlaku sejak sekian lama namun ia bagaikan tenggelam timbul. Ditambah pula dengan tugasan guru-guru sekolah sekarang yang bukan sahaja perlu mendidik bahkan juga dibebani dengan tugasan pentadbiran dan perkeranian yang sepatutnya dilakukan oleh kerani. Tidak cukup dengan itu, wujud juga kerenah pelajar, gangguan daripada ibu bapa pelajar serta faktor-faktor sampingan lain.

Tambah merunsingkan adalah pendedahan oleh sekumpulan pendidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam satu kajian yang dijalankan oleh mereka beberapa tahun lalu mendapati, 71.1% daripada guru-guru sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami stres. 

Daripada jumlah itu, satu pertiga daripada guru-guru tadi turut berhadapan dengan masalah kemurungan. Pendedahan sedemikian wajar membuka mata pihak berwajib dalam memikirkan formula terbaik dalam menangani masalah yang dihadapi oleh guru-guru sekolah.

Advertisement

Apa yang didedahkan oleh pihak media mengenai kisah kemurungan dalam kalangan guru sekolah hanyalah “tip of the iceberg”. Hakikatnya, masalah berkenaan mungkin lebih serius dan jauh lebih besar daripada apa yang dilaporkan. Ini kerana, mungkin ada antara kes-kes kemurungan dalam kalangan guru yang tidak dilaporkan barangkali atas faktor malu ataupun tidak mahu masalah peribadi mereka disebarkan.

Semua sedia maklum, tekanan atau stres merupakan satu tindak balas fisiologikal dan psikologikal ke atas permintaan terhadap seseorang. Dalam erti kata lain, apabila tekanan melanda ke atas diri seseorang, ia akan menyebabkan fikiran dan fizikal seseorang individu bertindak mengikut keadaan serta tahap tekanan terbabit.

Situasi sedemikian turut menidakkan tanggapan awam bahawa hanya para pelajar sekolah sahaja yang berasa tertekan dan murung akibat kerja rumah yang keterlaluan. Beberapa insiden yang berlaku seperti tindakan seorang guru sekolah wanita berusia 36 tahun yang bertindak terjun dari sebuah pasar raya setinggi lima tingkat di Ipoh dan seorang guru sekolah wanita yang ditemukan lemas di Perlis pada 2016, amatlah menyedihkan.

Advertisement

Kedua-dua insiden ini jelas membuktikan kepada kita bahawa masalah kemurungan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Sesiapa yang pernah mengalami kemurungan boleh menjadi saksi bahawa kemurungan itu sebenarnya amat menyeksakan. Bagi mereka yang menghadapinya, mereka bagaikan berada dalam sebuah dunia tersendiri. Mereka lebih cenderung untuk memencil diri, pertukaran ‘mood’ secara mendadak dan mudah sensitif terhadap perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Keadaan ini memberi petanda yang cukup jelas bahawa guru-guru sekolah juga sebuah lagi golongan yang perlukan pembelaan seperti para pelajar. Mereka juga mempunyai perasaan dan mereka juga mempunyai masalah tersendiri sama seperti manusia yang lain. Ada kalanya mereka berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi dan tidak kurang juga ada ketikanya kecundang.

Daripada terus memaki dan mencerca guru-guru sekolah atas kepincangan yang berlaku, cuba lihat dan meletakkan diri kita dalam kedudukan mereka. Guru mana yang tidak sayangkan akan pelajar-pelajarnya. Guru mana yang tidak sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak muridnya?

Di Malaysia, tugas menjadi seorang guru amatlah mencabar. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah giat dijalankan oleh KPM dalam meningkatkan mutu pendidikan di negara kita. Dengan pelaksanaan pelbagai usaha dan reformasi ini, sudah tentu jangkaan dan harapan tinggi disandarkan pada baru warga pendidik untuk merealisasikannya. 

Apapun, guru-guru sekolah tidak wajar dijadikan sebagai “punching bag” jika hasrat yang disandarkan oleh rakyat tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya. Perlu diingatkan warga pendidik hanyalah sebahagian daripada pihak yang terlibat. Pendek kata, pihak yang lain seperti Kementerian Pendidikan, kesatuan-kesatuan guru dan ibu bapa haruslah juga turut serta untuk membantu.

Itu sebabnya saranan yang dibuat oleh NUTP baru-baru ini kepada Menteri Pendidikan agar mereka turut diberikan ruang untuk membantu dalam isu kemurungan guru amatlah dialu-alukan. Ini kerana, kebanyakan guru di negara ini adalah ahli NUTP. Mutakhir ini, ahli-ahli NUTP adalah seramai 220,000 orang daripada keseluruhan 435,000 jumlah guru yang ada di seluruh negara.

Di pihak ibu bapa, mereka wajar memahami dan menghargai tugas guru-guru di sekolah yang mengambil alih peranan ibu bapa. Para ibu bapa perlu memahami hakikat ini bahawa sebaik sahaja anak-anak anda dihantar ke sekolah, secara tidak langsung ibu bapa sebenarnya telah menyerahkan kuasa mendidik itu kepada guru-guru sekolah. Maka sebaik-baiknya kuasa berkenaan dihormati sepanjang masa.

Kepada pentadbir sekolah pula, sentiasa prihatin dan peka akan kebajikan guru-guru anda. Berikan penghargaan yang setimpal kepada guru-guru tanpa mengira masa dan keadaan. Jangan terkejut kerana ada kalanya inisiatif sebegini mungkin menjadi langkah yang paling efektif dalam menangani masalah stres dan murung dalam kalangan guru.

Bagi masyarakat awam di luar sana, mereka harus bersikap matang, rasional dan membina hubungan yang baik dengan warga pendidik. Jangan disebabkan khabar angin yang tersebar di media sosial dan tidak mengetahui selok-belok isu, mereka lantas menjatuh-hukum terhadap warga pendidik.

Isu kemurungan yang dihadapi oleh warga pendidik kita juga memberikan peluang kepada pihak kerajaan terutamanya KPM untuk melihat kembali kepincangan dan lompong-lompong yang wujud dalam dasar pendidikan negara.

Pengumuman oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa Dasar Pendidikan negara akan dikaji semula adalah tepat pada masanya. Menjadi harapan semua pihak agar proses pengajaran dan pembelajaran atau P&P dilangsungkan dalam keadaan yang menyeronokkan sekaligus menerapkan aura positif ke dalam diri setiap pelajar.

Mudah-mudahan, isu kemurungan dalam kalangan guru sekolah akan mendapat perhatian pihak berwajib dan ditangani secara tuntas. Ayuh, kembalikan senyuman pada setiap guru-guru kita.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.