23 JULAI — Nampaknya orang yang sudah meninggal dunia tidak terkecuali daripada menerima cercaan atau maki-hamun daripada pihak tertentu.

Ini bukan kali pertama insiden sedemikian terjadi. Beberapa tahun yang lalu, perkara yang sama berlaku kepada seorang pemimpin tertinggi parti pembangkang.

Sama ada cercaan atau maki-hamun itu dibuat atas dasar peribadi mereka mahupun atas politik kepartian, ia merupakan sesuatu yang amat malang.

Malang daripada segi kematangan berpolitik. Malang juga daripada aspek keperibadian segelintir pemimpin politik yang nampaknya masih tidak berupaya membezakan perkara yang peribadi daripada yang bersifat awam.

Advertisement

Apabila berita mengenai kematian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor akibat nahas jalan raya mula tersebar, kita dikejutkan dengan mesej daripada seorang pemimpin politik yang jika dilihat daripada segi nada mesej yang disampaikan, seolah-olah menghina dan meraikan kematian ADUN itu.

Hanya selepas menerima desakan dan kritikan ramai pihak, barulah mesej tersebut dipadamkan.

Sejujurnya, mesej itu tidak sepatutnya dimuat naik dalam laman sosial beliau. Apa rasionalnya untuk memuat naik mesej berkenaan? Adakah sekadar untuk meraih sokongan daripada pengundi dan membuktikan parti yang diwakili sentiasa peka dengan kebajikan pengundinya?

Advertisement

Dalam berpolitik, seseorang pemimpin itu haruslah bijak ‘menghidu’ masa yang sesuai untuk mengeluarkan kenyataan atau reaksi mereka, bukannya hentam keromo semata-mata. Selain itu, pemimpin politik juga wajar berlapang dada dan melihat sesuatu isu daripada perspektif yang menyeluruh.

Dalam arena politik, segalanya berkisar kepada permainan persepsi dan jika permainan persepsi dijadikan kayu pengukur, mereka sebenarnya sudah kecundang. Insiden yang dikesali ini diharap membuka mata pemimpin-pemimpin politik lain agar lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang kenyataan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Itu sebabnya saranan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar kecaman tidak wajar dibuat ke atas seseorang biarpun dalam hayatnya individu berkenaan pernah melakukan kesilapan, adalah sangat wajar dan diberikan perhatian.

Bagi mereka yang masih terbawa-bawa dengan sikap lama, cukuplah! Berikan fokus kepada usaha untuk membangunkan negara tercinta ini bersama-sama. Harapan kita semua agar semua pemimpin politik mengamalkan cara berpolitik yang matang, sederhana dan bijak bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang toleran, hormat-menghormati dan bebas daripada syak-wasangka.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.