2 APRIL — Parlimen berkemungkinan dibubarkan seawal hujung minggu hadapan, demikian menurut ramalan dan pandangan kalangan sesetengah penganalisis serta pemimpin politik.

Keyakinan itu berdasarkan kepada beberapa acara penting yang bakal berlangsung pada tempoh tersebut. Yang pertama, sidang Parlimen yang akan berakhir pada Khamis depan dan yang kedua, pelancaran manifesto oleh pihak pemerintah pada hari Sabtu, 7 April seperti yang dilaporkan oleh kebanyakan media. Bagaimanapun, tidak semestinya ramalan yang digembar-gemburkan itu adalah tepat. 

Apa pun, dalam tempoh mendatang ini, para pemimpin politik dari kedua-dua belah pihak akan bertungkus-lumus dan melakukan sedaya-upaya mereka dalam menambat serta meraih undi rakyat dengan harapan untuk memenangkan parti yang dinaunginya.

Untuk itu, pelbagai janji akan ditabur. Pelbagai komitmen akan turut dilafazkan dan yang paling signifikan jaminan bahawa kepentingan rakyat tidak akan dikesampingkan.

Advertisement

Namun begitu, dalam keghairahan pihak-pihak sedemikian untuk berkempen dan meraih kemenangan, amatlah penting untuk mereka mempraktikkan profesionalisme, tatasusila dan sikap kesederhanaan dalam tindak-tanduk mereka.

Dalam konteks ini, hindarilah daripada berpolitik secara keterlaluan. Ingatlah batasan-batasan dan sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini. Janganlah terlalu taksub dengan politiking yang melampau sehingga boleh memecah-belahkan negara ini.

Selain itu, jauhi juga daripada perbuatan menyebarkan berita-berita palsu yang boleh memberi impak negatif kepada negara secara keseluruhannya. Jangan disebabkan kebencian melampau terhadap sesebuah pihak atau seseorang individu, maka ditaburkan berita-berita yang tidak benar.

Advertisement

Pada masa yang sama juga, pihak-pihak yang berkenaan seharusnya juga menjaga tatasusila dan amalan hormat-menghormati antara satu sama lain. Amatlah menyedihkan jika disebabkan perbezaan ideologi politik, mereka sanggup mengetepikan sikap-sikap terpuji itu semata-mata untuk mengaibkan pesaing mereka.

Maka kerana itu, usahlah memaki-hamun, usahlah bertikam-lidah dan usahlah terbawa-bawa dengan emosi yang membuak-buak. Sebaliknya, manfaatkan ruang yang sedia ada untuk menonjolkan kematangan mereka dalam berdiskusi atau berkempen. Berhujahlah secara rasional berlandaskan kepada fakta-fakta yang sahih.

Percayalah jika kesemua aspek yang disebutkan tadi dipatuhi, segalanya akan berjalan dengan lancar. Soalnya kini, adakah mereka bersedia berbuat demikian? Pilihan di tangan mereka.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.