26 MAC — Dari kecil lagi, kita diajar oleh ibu bapa dan guru sekolah untuk menghormati orang yang lebih tua daripada kita. 

Orang yang dimaksudkan itu boleh jadi pemimpin negara, pensyarah, datuk, nenek mahupun abang atau kakak kita. Sikap hormat-menghormati yang dituntut termasuklah jangan meninggikan suara ketika berbicara, membongkokkan badan ketika kita berjalan di hadapan orang tua dan mendengar nasihat yang diberikan.

Penekanan kepada sikap-sikap terpuji tadi itu bertujuan untuk membentuk sebuah masyarakat yang kaya dengan tatasusila dan keperibadian yang mulia.

Dengan adanya sikap-sikap terpuji sedemikian, pastinya seseorang individu mahupun sesebuah negara itu bukan sahaja dihormati bahkan juga menjadi sebutan umum di seantero dunia.

Advertisement

Bagaimanapun, apa yang berlaku dalam masyarakat kita sejak akhir-akhir ini, menggambarkan satu trend yang kurang sihat. Sebagai contoh, apa yang sedang berlaku ketika ini apabila terjadinya tindakan bertikam-lidah di khalayak dalam kalangan segelintir pemimpin amatlah mendukacitakan. Bermacam-macam panggilan diberikan kepada individu satu lagi jika pandangan tidak sehaluan dengannya.

Begitu juga pergaulan kita dengan jiran tetangga di sekeliling. Adakah kita pernah bertegur-sapa dengan jiran tetangga yang menetap di sebelah rumah? Ataupun kita hanya menaruh syak-wasangka dan amarah terhadap mereka, semata-mata kerana mereka tidak mahu berinteraksi dengan kita?

Bagaimana pula pergaulan kita dengan golongan marhaen yang jauh lebih rendah kedudukannya seperti pekerja am, tukang sapu sampah mahupun mereka yang membersihkan tandas? Adakah kita meluangkan masa untuk bertanya khabar kepada mereka walaupun mungkin status mereka tidaklah setanding dengan kita?

Advertisement

Jika jawapan kepada kesemua persoalan tadi adalah negatif, ternyata kita sendiri sebenarnya yang perlu berubah. Jika dahulu, kita tidak bersedia menerima pandangan orang lain, inilah masanya untuk mendengar pandangan mereka sebelum membuat sebarang penilaian. 

Percayalah, tidak rugi jika kita mendengar terlebih dahulu pandangan orang lain. Manalah tahu jika ada pandangan atau ide-ide bernas yang boleh digunakan untuk kebaikan bersama.

Nasihat ini juga penulis tujukan kepada semua pemimpin politik yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Di sebalik keghairahan berkempen untuk memenangkan pasukan masing-masing, ingatlah jangan sesekali mengkesampingkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain. Bertandinglah dalam suasana setiakawan dan kekeluargaan.

Ingatlah budaya mencerminkan jati diri sesebuah bangsa!

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.