18 MAC ― The Daily Mirror versi dalam talian bertarikh 12 Mac yang lalu menjadikan isu rekod keselamatan pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai tajuk utamanya.
Dalam laporan berkenaan, Daily Mirror dengan beraninya menyenaraikan puluhan insiden membabitkan pesawat MAS seolah-olah menggambarkan bahawa semua pesawat MAS mempunyai masalah reliability dan tahap keselamatan yang diragui.
Artikel yang bertajuk Missing Malaysian Airline Flight: Safety record of MAS marred by a series of major incidents turut membandingkan MAS Airlines dengan syarikat-syarikat penerbangan terkemuka dunia seperti Qantas dan Virgin Group yang didakwa mereka mempunyai rekod bersih tidak pernah dilanda nahas udara.
Amat malang apabila Daily Mirror hanya berminat untuk melaporkan berita-berita panas yang berbaur spekulasi dan berat sebelah biarpun mereka tahu bahawa MAS Airlines mempunyai rekod keselamatan yang cukup baik. Malah perkara ini turut diakui sendiri oleh penyampai berita CNN, Richard Quest dan komuniti antarabangsa.
Ketika meneliti senarai insiden-insiden pesawat membabitkan MAS Airlines, hanya beberapa insiden sahaja yang meragut kemalangan jiwa yang ramai. Insiden pertama membabitkan pesawat MH653 yang terhempas di Tanjung Kupang, Johor ekoran rampasan pesawat oleh sekumpulan perampas tidak dikenali. Insiden itu meragut 100 nyawa termasuk Menteri Pertanian, Dato’ Ali Hj. Ahmad dan Duta Cuba ke Jepun; Mario Garcia Inchaustegui.
Dalam insiden kedua pula, seramai 32 penumpang dan 2 krew pesawat MH2133 jenis Fokker 50 terkorban selepas pesawat berkenaan terhempas gara-gara kesilapan juruterbang. Sementara insiden kehilangan pesawat MH370 secara tiba-tiba baru-baru ini benar-benar mengejutkan pakar penerbangan dunia.
Apa yang tidak disedari oleh Daily Mirror bahawa tempoh masa antara insiden pertama dan insiden ketiga ialah selama 37 tahun. Bermakna antara tempoh itu, MAS Airlines sebenarnya cukup selamat.
Pun begitu, pendedahan oleh The Daily Mirror itu tidaklah mengejutkan kita semua. Sebaliknya, ia adalah sesuatu yang cukup konsisten dengan cara mereka melaporkan sesuatu isu yakni mesti mengandungi elemen spekulasi dan emosi. Malah, ia juga seiring dengan agenda media antarabangsa yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi dan teori konspirasi.
Sejak dari hari pertama lagi kehilangan pesawat MH370, media-media antarabangsa dengan bertalu-talu menyerang kredibiliti dan integriti kerajaan dalam menangan insiden besar ini. Ada yang mengatakan kerajaan Malaysia sedang menyembunyikan fakta-fakta penting kes berkenaan dan tidak kurang juga mendakwa kerajaan telah gagal dalam krisis pengurusan bencana sebegini.
Kita tidak nafikan memang wujud kelemahan dari segi pengurusan krisis di peringkat kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya. Namun, seperti yang kita semua sedia maklum, kita sebagai manusia tidak sempurna sifatnya berbanding Yang Maha Esa. Kelemahan itu berlaku barangkali kerana negara kita belum menghadapi krisis pada skala yang besar begini di tanah air. Kelemahan ini sesungguhnya perlu kita akui.
Apa yang berlaku pada pesawat MH370 kali ini hanyalah satu insiden terpecil sahaja. Setakat ini, tidak ada sebarang petunjuk yang menunjukkan insiden serupa akan berulang lagi melainkan aspek keselamatan terus diabaikan oleh pihak berkuasa.
Hingga ke saat ini juga, semua alasan yang dicanangkan oleh media-media Barat mengenai kelemahan MAS Airlines banyak didorong oleh kegagalan mereka untuk mendapatkan berita eksklusif untuk dipaparkan pada muka hadapan akhbar atau portal mereka.
Adalah tidak adil untuk media-media asing melabelkan pesawat MAS Airlines sebagai tidak selamat hanya berpandukan kepada beberapa insiden yang dimaksudkan? Akan tetapi jika mereka berdegil, maka tindakan mereka itu boleh diibaratkan sebagai selective memory oleh mereka.
Selective memory sebegini turut mencerminkan pekung sebenar media-media asing yang nampaknya tidak berminat dengan fakta sebenar tetapi lebih menjurus kepada elemen sensasi. Perlu diingatkan selagi kotak hitam masih gagal ditemui, maka selagi itulah punca sebenar kehilangan pesawat MH370 akan terus menjadi tanda-tanya dan selagi itulah penghakiman terhadap MAS Airlines perlu dihentikan.
Ini bukan masanya untuk semua pihak termasuk media untuk menuding jari terhadap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab. Ini adalah masa untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang.
Penulis pernah menggunakan pesawat MAS Airlines ketika bercuti di dalam dan luar negara. Bagi penulis, sepanjang perjalanan ke destinasi yang ingin dituju, semuanya berjalan dengan baik. Disebabkan kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah baik, tidak ada sebab mengapa kepercayaan itu perlu diubah.
Biarpun insiden kehilangan MH370 yang sudah memasuki hari ke-11 sedikit sebanyak mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penumpang, ia tidak boleh digunakan alasan untuk tidak menggunakan pesawat apabila melancong ke luar negara.
Hidup perlu diteruskan, bukan begitu? Jika tidak menggunakan MAS Airlines sekalipun, apakah ada jaminan bahawa pesawat-pesawat lain yang dinaiki kelak tidak akan berlakunya insiden seperti yang melanda pesawat MH370?
Sepanjang dua minggu lalu, kredibiliti MAS Airlines di mata dunia terjejas teruk namun kesudahan siasatan yang bakal diketahui nanti akan membuktikan perkara yang sebenarnya. Memang benar perjalanan untuk mengembalikan reputasi MAS Airlines yang tercalar itu akan memakan masa lama tetapi sekurang-kurangnya ia adalah suatu permulaan yang baik.
Jangan biarkan insiden kehilangan pesawat MH370 menjejaskan keyakinan kita terhadap pesawat negara kita. Jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mahu menyokong syarikat penerbangan utama negara, kepada siapa lagi harus kita sandarkan tanggungjawab ini?
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
