22 JULAI — Menjelang bulan Oktober 2013, tumpuan khas akan mula diberikan oleh persatuan-persatuan penulis tertentu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu, Kementerian Pendidikan dan para politikus terhadap kepentingan memertabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Minat yang muncul tiba-tiba dan secara berkala ini tentu sahaja ada kaitan dengan program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Oktober dan November.

Saya sempat bertemu Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan di pejabat beliau di Menara DBP, Kuala Lumpur pada 16 Julai 2013 untuk mendapatkan maklumat mengenai perancangan dan pengisian BBK pada tahun ini.

“Pada dasarnya BBK 2013 meneruskan tradisi seperti tahun-tahun sebelum ini. Pada masa sama, kajian dibuat oleh DBP menerusi borang soal-selidik yang diedarkan kepada peserta sejumlah program utama seperti Kembara Bahasa tentang keberkesanan program-program tertentu pada tahun lalu. Maka beberapa pembaikan akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Advertisement

Penerima Anugerah Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan daripada Beijing Foreign Studies University (BFSU) pada 31 Ogos 2012 itu mengakui bahawa BBK hanya akan berjaya sekiranya ada penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat.

“Perkara yang paling besar adalah penglibatan peserta pelbagai kaum kerana sejak BBK dimulakan pada tahun 1999, kita belum dapat menyaksikan penyertaan yang lebih seimbang atau lebih jelas ketara daripada kalangan Bukan Melayu.

Dr Awang mengakui bahawa penambahbaikan perlu dilakukan.
Dr Awang mengakui bahawa penambahbaikan perlu dilakukan.

“Saya rasa ini suatu perkara yang perlu diberikan tumpuan dan perhatian iaitu bagaimana cara kita dapat menarik penyertaan rakan-rakan daripada kalangan Bukan Melayu,” beliau mengakui.

Advertisement

Sewaktu saya bertemu Dr Awang pada 30 November 2012 untuk berbual tentang kejayaan dan pengisian BBK 2012, beliau mengakui bahawa penyertaan masyarakat Bukan Melayu memang amat kurang disebabkan pelbagai faktor.

Bagi BBK 2013, beliau ada menyatakan harapan agar perancangan dilakukan sejak awal tahun supaya penglibatan adalah lebih menyeluruh dan menggambarkan realiti masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Dalam pertemuan kami pada tahun lalu, Dr Awang melihat program “Kembara Bahasa” sebagai salah satu pengisian penting bagi BBK. Semasa pertemuan baru-baru ini, beliau tetap menegaskan bahawa Kembara Bahasa adalah salah satu program tunjang atau induk kerana boleh dikatakan semua kegiatan bahasa dan sastera terkandung di dalamnya.

Peserta senyap selepas Kembara Bahasa

Kembara Bahasa yang lalu berlangsung pada 20-24 November 2012 serta melibatkan peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi, syarikat berkaitan kerajaan, swasta, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Program ini melibatkan pergerakan simbolik kenderaan berkonvoi secara serentak melalui empat laluan — utara, timur, selatan, tengah — menuju ke Putrajaya sambil mengendalikan kegiatan bahasa, persuratan dan kemasyarakatan di tempat-tempat yang disinggahi.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut menerima undangan pada 12 November 2012 tetapi memandangkan rata-rata ahli Kavyan baru sahaja kembali ke tempat kerja selepas cuti panjang (10-18 November 2012) sempena Deepavali, amat mustahil untuk memohon cuti tambahan bagi menyertai Kembara Bahasa dengan notis yang relatif singkat.

Perkara itu turut diakui oleh Dr Awang yang menyatakan bahawa beberapa lagi penambahbaikan akan dilakukan dalam program Kembara Bahasa pada tahun ini.

“Salah satu perkara yang dapat diperhatikan hasil daripada Kembara Bahasa 2012 adalah masalah bagaimana kegiatan-kegiatan dan pengisian program Kembara Bahasa itu dapat betul-betul meresap ke dalam nurani dan sanubari peserta sehingga sesudah Kembara Bahasa ini, sepatutnya para peserta dapat merasai suatu kelainan dan perubahan positif,” ulasnya.

Dalam ucapan penangguhan majlis Teguh Bahasa di Bangi, Selangor pada tahun lalu sempena perhimpunan seluruh peserta Kembara bahasa dari pelbagai arah, beliau ada menyatakan bahawa sepatutnya sesudah Kembara Bahasa, sejumlah besar peserta dapat melibatkan diri dalam program-program susulan.

“Contonya, dapat membantu DBP dalam program Audit Bahasa dan penarafan bintang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain melaksanakan kegiatan bahasa di tempat masing-masing. Akan tetapi nampaknya program-program susulan di tempat masing-masing belum begitu ketara,” Dr Awang mengakui semasa kami bertemu baru-baru ini.

BBK mengangkat tema ‘Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara’.
BBK mengangkat tema ‘Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara’.

Realiti yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa sesudah program Kembara Bahasa berakhir, peserta seperti hilang begitu sahaja; kecuali beberapa orang yang terus menggerakkan kegiatan bahasa dan sastera pada peringkat daerah masing-masing. Dr Awang sedia maklum akan perkara ini dan katanya, DBP berharap sikap berkenaan akan berubah pada masa akan datang.

“Penambahbaikan lain yang dirancang bagi tahun ini adalah dengan tidak mengadakan majlis penangguhan. Pada tahun lalu, saya mendapati majlis penangguhan tidak memberikan erti yang begitu wajar. Misalnya, ada beberapa negeri yang mengadakan majlis penangguhan lebih awal seolah-olah BBK habis lebih cepat,” pejuang bahasa itu menghuraikan.

Apa yang sebenarnya beliau konsepkan dan mahu laksanakan bermula tahun lalu adalah kegiatan pasca BBK supaya aktiviti diteruskan sehingga hujung tahun. Maka, pada tahun ini, Dr Awang menegaskan bahawa tidak akan ada majlis penangguhan kerana sesungguhnya majlis itu memang tidak begitu jelas dari segi pengisian.

Acara Baca Cerpen Dr Othman Puteh

“Malah wang yang banyak boleh dijimatkan apabila tiada majlis penangguhan. Wang itu dapat digunakan untuk melaksanakan beberapa program susulan pada bulan Disember nanti,” katanya.

BBK akan dilancarkan pada minggu pertama bulan Oktober 2013 di Perlis. Negeri berkenaan khabarnya belum pernah menjadi tuan rumah BBK. Tumpuan akan turut diberikan terhadap pengisian program bahasa dan sastera pada peringkat negeri dan daerah di seluruh negara supaya semangat daripada tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara” dapat disebarkan secara lebih meluas dan menyeluruh.

Acara khas dirancang bagi memperingati Allahyarham Dr Othman Puteh.
Acara khas dirancang bagi memperingati Allahyarham Dr Othman Puteh.

Kavyan sempat menganjurkan acara “Baca Cerpen Kavyan” di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP pada 3 November 2012 sebagai pengisian BBK. Sekitar 20 peserta pelbagai kaum dan umur membacakan petikan cerpen Bahasa Malaysia oleh Sasterawan Kavyan (penulis kaum India).

Untuk tahun ini pula, Kavyan bercadang menganjurkan acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” sempena sedekad pemergian Allahyarham Dr Othman Puteh (5 Januari 1944 - 19 Oktober 2003). Tarikh yang dicadangkan dalam kertas kerja kepada DBP adalah 19 Oktober 2013.

Dr Othman adalah antara tokoh penulis yang banyak menyumbang ke arah melahirkan bakat-bakat penulis baru semasa hayat beliau. Malangnya pelbagai pihak — termasuk persatuan penulis dan golongan penulis yang pernah menjadi anak didik – sudah semacam melupai sumbangan Allahyarham.

Program “Baca Cerpen Kavyan” (29 Ogos - 2 September 2003) berjaya mencatatkan rekod dalam “The Malaysia Book of Records” dan Dr Othman selaku Penasihat Kehormat Kavyan diberikan penghormatan menjadi pembaca pertama dalam acara berkenaan.

Kini, Baca Cerpen Kavyan menjadi asas kepada tradisi mempersembahkan bacaan cerpen dan novel di khalayak anjuran Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak. Acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” akan berlangsung pada 1 September 2013 dengan kerjasama DBP, Galeri Shah Alam dan Kumpulan Media Karangkraf.

Acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” pula pernah dianjurkan oleh Kavyan pada 10 April 2004 dan 24 Oktober 2009. Sempena BBK 2013 dan genap sepuluh tahun pemergian Dr Othman, Kavyan bercadang menganjurkan acara khas bacaan karya Allahyarham yang turut dinamakan “Baca Cerpen Dr Othman Puteh”.

Selain daripada itu, sekiranya permohonan dan kertas cadangan diluluskan oleh DBP, Kavyan juga merancang untuk mengendalikan “Bengkel Cerpen Kavyan” pada November 2013 bagi membimbing peserta pelbagai kaum mengenai cara-cara menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia yang bermutu.

Orang ramai boleh melayari Blog Kavyan (www.kavyan.blogspot.com) untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan sejak diasaskan pada Ogos 1999.

* Uthaya Sankar SB adalah pengasas dan presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan.

* This is the personal opinion of the columnist.