30 JUN — Jika ditanya kepada saya siapa antara penyanyi yang punya suara yang hebat dan luarbiasa? Nusrat Fateh Ali Khan, itu jawapan saya. Selepas itu barulah penyanyi-penyanyi lain seperti penyanyi jazz Al Jerrau, Freddie Mercury (Queen), Peter Cetera (Chicago), Steven Tyler (Aerosmith), Steve Perry (Journey), Lou Gramm (Foreigner) dan beberapa nama lagi.

Saya namakan Nusrat (gambar) antara punya vokal yang terbaik di dunia kerana aura dan tahap zouk nya dalam penghayatan pada lagu-lagu yang disampaikan. Bayangkan dengan posisi bersila beliau mampu menyanyikan syair-syair Qawalli dari nada rendah ke nada yang tinggi yang dinamik, 120 peratus feel dan unik.

Nusrat bukan nama asing dalam genre World Music. Awal tahun 80an beliau sudah mencipta nama di persada muzik antarabangsa. Beliau dan kumpulan muziknya yang memainkan muzik Qawalli dan ghazal yang dimasukkan elemen fusion di dalamnya mula mendapat perhatian dunia sewaktu membuat persembahan di World of Music, Art and Dance (WOMAD) di London pada tahun 1985.

Saya sempat memiliki beberapa album Nusrat Fateh yang terkenal terbitan Real World seperti album Mustt Mustt (1990). Seperkara juga untuk kita pergi jauh untuk pasaran dunia, apa yang paling penting adalah nilai keaslian dan gaya muzik kita. Orang putih kalau muzik kita setakat biasa-biasa dengan counting standard yang tidak mencabar, mereka tidak akan hairan pun.

Kita di sini punya “Dondang Sayang” yang popular di Melaka sejak kurun ke 15 terutamanya bagi kalangan Baba dan Nyonya. Asal muzik tersebut datang dari muzik folk Portugis. Juga kita punya muzik Ghazal dan Zapin yang berpusat di Johor yang mana heronya tidak lain dan tidak bukan ialah Fadzil Ahmad (Allahyarham) si pemain gambus yang tersohor negara.

Apa yang saya lihat dan faham, saya berbangga dengan muzik Melayu yang kita ada, cuma yang kurangnya dari segi improvisation. Masalahnya bila kita ada inisiatif untuk mengolah format dan konsep muzik tersebut ke arah yang lebih progresif, orang lama tidak suka pula, jadi susahlah nak berkembang.

Kita lihat muzik Blues yang asasnya hanya tiga kord dengan konsep 12 bar blues contohnya dan kita lihat juga betapa berpengaruh dan komersialnya genre muzik tersebut diterima dan diminati oleh para pendengar di seluruh dunia sehingga ke hari ini. Blues asalnya hanya muzik milik kaum kulit hitam yang menjadi hamba abdi di Amerika sewaktu zaman hamba abdi dulu.

Kita lihat muzik klasikal India pula mampu menembus pasaran dunia dan bagaimana sukarnya untuk mempelajari genre muzik tersebut. Hatta John McLaughin pun sanggup mendalami ilmu muzik klasikal India kerana itulah antara genre muzik yang terbaik dan berkualiti.

Itulah sebabnya juga kita lihat pemuzik dan penyanyi dunia seperti Salif Keita dan Ali Farka Toure mendapat perhatian dunia dan album mereka berjaya menembusi pasaran Eropah terutamanya.

Hanya yang luarbiasa dan unik yang akan mendapat perhatian syarikat rakaman Real World yang pengasasnya adalah Peter Gabriel.

Nusrat atau nama sebenarnya Pervez Fateh Ali Khan lahir pada 13 Oktober 1948 di Punjab, Pakistan dan meningga dunia pada 16 Ogos 1997 kerana masalah kesihatan.

Sepanjang karier Nusrat terkenal sebagai penyanyi legenda Qawalli yang tidak ada tolok bandingnya, banyak kejayaan yang dicapainya termasuklah dicalonkan untuk anugerah Grammy Award dan berbagai anugerah yang berprestij.

Sepanjang saya bekerja di Yamaha Music suatu masa dulu, saya berkesempatan untuk kenal dengan ramai pemuzik tempatan yang saya tabik seperti Andy Peterson (pemain bass), Lewis Pragasam (pemain drum) juga Zahid Ahmad (pemain dram) antaranya dan ada masanya bila turun pemuzik antarabangsa terkenal dunia seperti Zakir Hussein dan kumpulan muziknya ke Malaysia, mereka akan singgah di showroom tempat saya bekerja.

Antara yang menarik seperti pertemuan dan perkenalan singkat saya dengan pemain Claypot yang namanya Vikku Vinayakram yang menjadi ahli grup kumpulan muzik terkenal dunia, Shakti yang ketuanya si John McClaughin itu.

Beliau datang untuk membeli wireless mic untuk diletakkan di dalam alat muzik Claypot (Ghatam) nya itu. Saya lihat dan cara beliau memang mengkagumkan kerana kerendahan hatinya. Mereka yang hebat itu hanyalah alat kerana segala bakat yang dianugerahkan hanyalah bersifat pinjaman milik yang abadi. Jadi itulah bezanya antara pemuzik yang hebat dan pemuzik yang amatur.

Yang paling real adalah neutral dan itulah pandangan dan kefahaman saya tatkala saya melihat mereka-mereka yang hebat itu.

Saya pernah punya pengalaman menjadi pemuzik pengiring untuk seorang penyanyi Ghazal terkenal India, Jasvinder Singh pada tahun 2003 dulu. Muzik Klasikal India yang menjadikannya sukar adalah dari segi format countingnya menggunakan sistem Raga, bukan Do Re Mi. Jadi ia satu pengalaman baru bagi saya dapat mengiringi penyanyi Jasvinder Singh yang telah mendapat anugerah ‘The Young Ghazal Maestro’ dari Akademi Muzik India.

Kalau di Malaysia, saya suka album M.Nasir (Phoenix Bangkit). Album itu mampu pergi jauh sebenarnya kerana punya identiti, progresif dan penuh dengan elemen kemelayuan dan mistik di dalamnya. Malang album itu tersangkut di tengah-tengah, antara komersial dan non komersial. Bertambah pula untuk lepas ke pasaran Indonesia juga gagal.

Sepatutnya untuk album berkonsep dan ilmiah seperti Phoenix Bangkit, ia perlukan sokongan dari pihak Kerajaan kerana kalau nak ikut pasaran komersial, album itu hanya untuk segelintir peminat yang tegar jadi dari segi jualan memang agak kurang berbanding dengan album-album Nasir yang lepas.

Apapun muzik itu universal. Apa saja genre asal punya melodi yang indah, ia tetap menarik bergantung pada tahap faham dan penerimaan kita. Untuk menjadi yang terbaik kita perlu menyanyi atau bermuzik yang lahir dari jiwa, itu baru ada ‘feel’. Untuk mendapatkan ‘feel’ kita perlu mendalami ilmu ‘Rasa’. Untuk mendapatkan rasa, kita perlu belajar bagaimana untuk mengenal yang di dalam, bukan yang di luar. Jika itu kita dapat kuasai, dunia akan menjadi milik kita yang abadi.

* This is the personal opinion of the columnist.