KUALA LUMPUR, 13 April — Pelakon Wak Doyok bersetuju kerajaan tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sering menghiasi laman sosial dengan gelagat dan gaya curut di tangan, Wak Doyok kali ini tampil memuatkan gaya aneh beliau sambil digunting rambut oleh Henoch Sitompul di dalam tandas.
Dengan duduk di atas mangkut tandas, Wak Doyok atau nama sebenar Mohd Azwan Md Nor, 40, terlihat serius menatap akhbar secara terbalik.
“Bagi saya baik telefon tukang gunting saja ke rumah,” coret Wak Doyok di Instagram menjelaskan alasan selamat bagi mengelak penyebaran Covid-19 secara tidak terkawal.
Menurut Wak Doyok sekiranya kedai gunting rambut dibenar beroperasi maka orang ramai akan mengambil peluang untuk memotong rambut dan akan menyebabkan jangkitan, sambil mengaitkan kejadian berlaku di Amerika Syarikat yang telah meragut nyawa tukang gunting.
Tambah Wak Doyok, pilihan di tangan orang ramai sama ada mahu mementingkan gaya ataupun ‘mati’.
“Ataupun tak payah gunting rambut buat sementara waktu ini biar nampak brutal (ganas). Nak mati ke nak ‘smart’. Itu pilihan anda,” pesan Wak Doyok kepada para pengikut laman sosialnya.
Kebanyakan pengikut bersetuju dengan pandangan Wak Doyok itu. Gelagat yang dipamerkan Wak Doyok sedikit sebanyak mencuit hati mereka kerana beliau membaca surat khabar secara terbalik.
Sambil berseloroh, Wak Doyok mengakui kepada Alimaboh bahawa memang begitu cara beliau membaca surat khabar dari atas ke bawah.
Tidak dipastikan mengapa Wak Doyok juga dilihat memberi jawapan berbeza kepada pengikut lain.
“Aduh, aku pun tak perasan,” tulis Wak Doyok menjawab komen Muhammad_44h pula.
Perkongsian Wak Doyok telah mendapat 34,272 tanda suka.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan telah memutuskan bahawa kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.
Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pakar, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat.
Perkara itu menjadi perbincangan hangat di media sosial selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan terdapat sektor diberikan kebenaran beroperasi mengikut ketetapan yang digariskan pihak kerajaan.
Kedai gunting rambut antara yang disebut-sebut dalam pengumuman itu sebelum ini.