KUALA LUMPUR, 17 Dis — Tidak lama selepas Nurul Izzah Anwar, seorang lagi pemimpin PKR Hassan Abdul Karim pula melepaskan jawatan sebagai pengerusi Johor.

Wakil rakyat Pasir Gudang menjelaskan keputusannya tidak menerima jawatan tersebut dibuat selepas pelantikannya mendapat kritikan.

“Saya dengan rasminya menolak pelantikan tersebut berkuatkuasa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

“Pemilihan saya sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri PKR Johor turut dipertikai. Jadi adalah wajar saya meletakkan jawatan.”

Namun Hassan menyatakan beliau masih ahli biasa dan juga ahli parlimen PKR, selain menyokong presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Terdahulu, bekas ahli majlis pimpinan pusat PKR Latheefa Koya mendakwa parti tersebut mengamalkan “pilih kasih dan nepotisme” dalam pelantikan pengerusi-pengerusi negeri.

Tegas aktivis itu lagi, pengerusi baru yang dilantik cenderung kepada satu puak sahaja kecuali di Sarawak dan Selangor.

Nurul Izzah, anak sulung Anwar, melepaskan jawatannya selaku naib presiden PKR, pengerusi Pulau Pinang dan juga dalam kerajaan persekutuan.

Namun tidak jelas sama ada tindakan mengejut ahli parlimen Permatang Pauh itu akibat kritikan tersebut atau sebab-sebab lain.