11 NOVEMBER — Saya amat tertarik dengan  berita perkembangan terkini KWSP bagi melanjutkan usia pengeluaran akhir  kepada 60 tahun. Cadangan tersebut ada rasionalnya bagi memberikan nafas kehidupan kepada pencarum untuk menyara kehidupan mereka lepas persaraan. Walaubagaimana pun bukan semua pekerja baik sektor awam atau swasta akan mencapai tempoh persaraan 60 tahun dan adakah munasabah mereka menunggu sehingga tempoh itu kalau mereka bersara awal? Adalah dicadangkan agar pengeluaran minimum keseluruhan pada usia 55 tahun adalah bertepatan bagi mereka yang mencarum sebelum tahun 2015.  Disebabkan pilihan persaraan sebelum ini berdasarkan umo 55 tahun dan kiranya beliau meneruskan pekerjaan sehingga umo 60 tahun maka peluang patut diberikan secara fleksibel untuk pengeluaran antara 55 hingga 60 tahun, bermakna penetapan umur 55 tahun adalah tempoh minimum seseorang pekerja boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian caruman mereka masih kekal.

Tempoh umur  55 hingga 75 tahun adalah masa kritikal bagi seseorang ahli disebabkan kebanyakan ahli mengalami pelbagai komplikasi penyakit kronik seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, lumpuh dan sebagainya. Dalam tempoh tersebutlah mereka memerlukan caruman bagi menampung kos kehidupan dan perubatan mereka. Adalah dirasakan anjakan pengeluaran 5 tahun ke depan boleh memberikan kesan kepada pencarum yang menunggu terlalu lama untuk pengeluaran kerana pada asasnya KWSP diwujudkan untuk meringankan beban pekerja di hari tua mereka bukan selepas mereka meninggal dunia. Perkara ini perlu diambil perhatian dan satu kajian yang konkrit perlu dibuat dengan meminta pendapat NGO, rakyat dan pakar yang memberikan kesan menang-menang antara KWSP dan pencarum.

Apa yang lebih penting adalah nilai tambah kepada akaun pencarum di mana jika mengharapkan pencarum sendiri untuk membuat pilihan di mana wang mereka perlu dilaburkan dirasakan bukan semua pencarum berada di dalam kedudukan yang boleh memberikan nilai tambah kepada hasil titik peluh mereka disebabkan kekangan ilmu mengenai pelaburan, tetapi KWSP perlu memainkan peranan aktif dan kreatif bagaimana  berbilion dana yang dipertanggungjawabkan kepada KWSP perlu diberikan nafas baru.

Saya amat menyokong kenyataan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda di mana had usia pengeluaran wang simpanan itu seharusnya berpadanan dengan usia persaraan seseorang memandangkan tidak semua pekerja bersara pada usia 60 tahun.

Berdasarkan laporan KWSP dimana sehingga Jun 2014, KWSP mempunyai seramai 14.05 juta ahli dan bilangan ahli aktif dan masih mencarum adalah seramai 6.57 juta. Bilangan majikan aktif pula adalah seramai 525,932. Soalannya dimana dan apakah status 7.48 juta baki ahli yang tidak aktif tersebut? Dirasakan mereka ini memerlukan pembelaan sewajarnya lebih dari  pencarum yang aktif. Perkara ini juga pihak KWSP perlu ambil kira dalam merangka apa jua strategi masa depan pencarum dalam memberikan nilai tambah kepada ahli dan tambahan mereka ini perlu menunggu umur sehingga 60 tahun untuk menggunakan hasil simpanan tua mereka.

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis.