4 NOVEMBER — Industri media di Malaysia ketika ini nampaknya tidak begitu memberangsangkan.

Harian berbahasa Inggeris Malay Mail ditutup pada Disember tahun lepas setelah wujud selama 122 tahun, dan kini beroperasi secara dalam talian. Manakala, akhbar Tamil Nesan ditutup pada Februari tahun ini selepas mengusahakan percetakan selama 94 tahun.

Tempoh hari pula, kita dikejutkan dengan penutupan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang mengakibatkan kesemua staf kehilangan sumber pendapatan mereka.

Tidak cukup dengan itu, beberapa hari lalu portal-portal berita melaporkan bahawa syarikat Media Prima juga akan melaksanakan perkhidmatan penempatan keluar kepada pekerja-pekerja susulan proses penstrukturan semula syarikat itu yang dijangka selesai pada suku pertama 2020.

Advertisement

Pengumuman penstrukturan semula dalaman yang dibuat Media Prima bagi membolehkan kumpulan berkenaan lebih berdaya saing dan mampan di masa hadapan berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu dan gangguan perubahan lanskap media global. Apa yang menimpa surat-surat khabar seperti yang disebutkan di atas adalah sesuatu yang malang tetapi tidaklah mengejutkan.

Apa yang diperkatakan oleh mantan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Johan Jaaffar bahawa industri media mempunyai masa depån yang malap, sukar dan tidak menentu adalah sesuatu yang sedang berlaku dan realiti pahit itu harus diterima.

Namun demikian, keadaan itu tidak bermakna berakhirnya industri media di negara ini, jauh sekali daripada itu. Sebaliknya, di sebalik kemalapan berkenaan, industri media boleh bangkit kembali apabila mereka menyediakan berita-berita berkualiti yang selaras dengan cita rasa pembaca.

Advertisement

Pada masa yang sama, mereka juga harus membuat banyak kajian dan merobah formula lama yang tidak praktikal pada zaman kini. Modal perniagaan harus diubah dan mereka perlu melihat kembali kepada cara mereka beroperasi dan bagaimana mereka meraih pendapatan mereka, termasuk kebergantungan mereka pada jualan dan iklan.

Selain itu, pihak media perlu menyesuaikan diri dengan trend semasa, dan tidak hanya fokus pada percetakan dan berita dalam talian, tetapi juga semua platform yang ada hari ini termasuk media sosial.

Kepada sahabat-sahabat media sekalian, usahlah berputus asa dengan situasi yang melanda mutakhir ini. Pastinya, ada sinar di hujung terowong nanti. Di sebalik sesuatu krisis, sebenarnya ia membuka peluang kepada media untuk melakukan anjakan paradigma sekaligus mentransformasikan industri ini untuk berhadapan dengan cabaran mendatang.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.