30 SEPT — Buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa minggu, kualiti udara di seluruh negara kembali baik dan segar, bebas daripada keadaan jerebu yang cukup merimaskan majoriti penduduk sebelum ini.

Perkembangan berkenaan satu petanda yang baik dan keadaan dijangka kekal sama dengan peredaran angin monsun yang berlaku ketika ini. Bermakna dalam tempoh antara sekarang sehingga November nanti, hujan lebat dijangka turun pada sebelah petang atau lewat malam.

Jerebu mungkin sudah berakhir buat masa ini namun usaha untuk memburu pihak yang mendalangi pembakaran secara terbuka perlu diperhebatkan dan dikenakan hukuman yang setimpal. Jangan pula disebabkan keadaan kualiti udara kembali pulih, maka perkara tersebut dibiarkan begitu sahaja. Sekiranya pihak berkuasa gagal menangkap mereka yang terlibat, maka tidak mustahil senario serupa bakal berulang tahun demi tahun.

Perkara yang sama perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa mengenai pencemaran air yang berlaku di loji-loji air sejak kebelakangan ini. Baru-baru ini, kita dimaklumkan oleh pihak Syabas berlakunya gangguan bekalan air di beberapa buah kawasan di Selangor, Sepang, dan Kajang. Peliknya, gangguan tersebut bukan berlaku sekali tetapi sudah berkali-kali tanpa ada penghujungnya.

Advertisement

Alasan yang diberikan adalah sama dan tidak meyakinkan langsung!

Justeru, timbul pelbagai tanda-tanya bagaimana insiden sedemikian boleh berlaku? Apakah pihak berkuasa tidak berupaya untuk menangkap mereka yang terlibat?

Sampai bila para penduduk perlu menanggung sengsara akibat gangguan air? Mereka telah melangsaikan bayaran untuk bil air namun inikah kualiti perkhidmatan yang diterima?

Advertisement

Isu air bukanlah satu isu remeh. Silap minum air yang tidak bersih atau tercemar boleh mengundang padah malah boleh mengakibatkan masalah kesihatan.

Kepada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan isu air, berikan sepenuh usaha dan perhatian menangani masalah gangguan air. Tidak cukup sekadar mengeluarkan kenyataan media memaklumkan berlakunya gangguan bekalan air. 

Sebaliknya, pihak yang berkenaan perlu memperhebatkan penguatkuasaan mereka dan melakukan lebih banyak pemeriksaan bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang. Apa yang penting, belajar daripada krisis tersebut dan tampil dengan strategi-strategi baharu bagi menanganinya.

Sebagai seorang pengguna, pastinya kita berhak untuk menuntut kualiti perkhidmatan air yang lebih baik setimpal dengan bayaran yang dikemukakan. Amatlah tidak adil dan tidak wajar untuk para pengguna menanggung kesusahan ini disebabkan oleh angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.