24 JUN — Isu siapakah yang bakal menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-8 negara terus kedengaran biarpun Tun Mahathir telah barkali-kali memberikan maklum balas kepada persoalan itu ketika diajukan soalan oleh pihak media.

Selain pihak media, isu ini juga turut dimainkan oleh kumpulan penyokong yang rapat dengan seorang bekas timbalan perdana menteri sehinggakan ada yang telah tampil secara terbuka menggesa Tun M untuk menetapkan tarikh penyerahan kuasa.

Segala cakap-cakap dan tekanan yang diberikan itu bukan sahaja tidak membantu perjalanan pentadbiran negara sekarang bahkan juga seolah-olah menggambarkan ada pihak tertentu yang tidak sabar-sabar untuk mengambil alih teraju kepimpinan negara.

Apa yang sedang berlaku ketika ini amat merungsingkan dan diharapkan tidak ada lagi pertikaian terhadap isu berkenaan. Ini bukanlah masanya untuk bercakap mengenai isu penyerahan kuasa.

Advertisement

Hakikatnya, rakyat baru sahaja memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk mentadbir negara. Maka, mandat yang diberikan oleh rakyat wajarlah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Laksanakanlah tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

Jika ada masalah yang menimpa rakyat, segera turun ke padang dan membela nasib rakyat. Ketepikan kepentingan peribadi dan gunakan kuasa yang ada itu untuk melaksanakan dasar-dasar yang mesra rakyat.

Jujur kata, rakyat marhaen sebenarnya tidak berminat dengan politiking kepartian yang berlaku sekarang. Janganlah berpolitik secara keterlaluan sehingga membuatkan rakyat meluat. Cukup-cukuplah dengan retorik dan janji-janji kosong.

Advertisement

Sudah sampai masanya janji-janji itu diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, janganlah menyalahkan pengundi selepas ini jika mereka memilih untuk menolak anda pada pilihan raya akan datang.

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.