OKTOBER 20 — Sekitar 70 daripada hampir 95 lukisan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) yang dipamerkan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 3-5 Oktober 2014 sudah dibeli orang.

Kejayaan ini pasti sahaja sesuatu yang amat membanggakan dan membuktikan bahawa seniman masih boleh mencari makan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan, politikus dan pemerintah.

Sewaktu menghadiri majlis perasmian pameran berkenaan, saya dapat perhatikan sendiri bagaimana gagasan serta pendekatan modal sosial (social capital) memainkan peranan secara langsung tetapi tanpa disedari.

Pameran berkenaan anjuran bersama KLSCAH, Pertubuhan Ikram Malaysia dan Yayasan Tamil, serta bertujuan menjana pendapatan bagi Pak Samad dengan menjual sebahagian hasil seni beliau.

Advertisement

Sekadar imbasan, pada 29 Jun 2010, akhbar Utusan Malaysia melaporkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (waktu itu), Datuk Seri Dr Rais Yatim meluahkan kehairanan berhubung apa yang dikehendaki oleh Pak

Pak Samad ternyata Sasterawan Rakyat yang ada aura tersendiri. — Gambar oleh Uthaya Sankar
Pak Samad ternyata Sasterawan Rakyat yang ada aura tersendiri. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Samad “setelah terlalu banyak dibelanjakan oleh kerajaan untuk memperoleh bahan atau artifak seni budaya”.

Dalam berita bertajuk “Apa lagi yang Pak Samad mahu – Rais”, menteri berkenaan dilaporkan menyindir kononnya kementeriannya sudah banyak membeli buku-buku hasil karya sasterawan berkenaan.

Advertisement

Menjawab pertanyaan itu, Pak Samad mengulas bahawa kata-kata Rais memberikan gambaran seolah-olah beliau diberi wang oleh kerajaan secara begitu sahaja.

“Itu yang saya tidak dapat terima. Saya telah menyerahkan khazanah yang saya kumpul lebih 50 tahun tetapi itu hak saya dan saya tidak terhutang kepada siapa-siapa. Pengumuman itu (oleh Rais) seolah-olah membayangkan bahawasanya saya terhutang, atau saya tidak sedar diri saya telah diberikan RM485 ribu.

“Saya ingin betulkan itu. Saya tidak diberi RM485 ribu, sebaliknya saya menjual khazanah saya dan kebetulan saya ingin menjual ke sana,” katanya dalam suatu wawancara khas yang disiarkan di Harakah.

Seniman jadi mangsa kuasawan

Hakikat yang sudah diketahui umum adalah bahawa Pak Samad yang digelar “Sasterawan Rakyat” tidak lagi mendapat pelbagai keistimewaan yang sepatutnya dinikmati sebagai seorang Sasterawan Negara.

Mungkin ada pihak yang menyangka Pak Samad menerima pelbagai “habuan” daripada Pakatan Rakyat (PR), khususnya di Selangor di mana Barisan Nasional (BN) masih kekal sebagai pembangkang.

Pada 1 April 2014, semasa memperkatakan novel Sungai Mengalir Lesu di KLSCAH, saya menyatakan bahawa Pak Samad “dipulaukan” BN dan “dipergunakan” PR.

Saya turut mendedahkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor (PR) masih berhutang belasan ribu ringgit bagi pembelian beberapa lukisan Pak Samad.

Selepas pendedahan dilakukan, “buku hutang” dibuka semula dan akhirnya Pak Samad menerima bayaran yang berhak diterimanya. Kalau tidak, entah-entah hutang itu akan dilupakan begitu sahaja oleh Exco terbabit.

Kejadian ini membuktikan bahawa seniman dan sasterawan tetap sering menjadi mangsa kerajaan, kuasawan dan politikus pada peringkat pusat dan negeri.

Di sinilah gagasan dan pendekatan modal sosial memainkan peranan penting di mana “kuasa” yang ada pada setiap individu dalam masyarakat digabungkan untuk melakukan apa yang tidak mahu (walaupun “mampu”) dilakukan kuasawan.

Semasa berucap pada majlis perasmian pameran lukisan Pak Samad pada 3 Oktober lalu, saya turut memetik kata-kata Mahatma Gandhi: “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.”

Penganjur mengakui bahawa pameran seni amal bertajuk “A Journey of Pak Samad” antara lain bertujuan memberikan sokongan moral dan spiritual kepada Pak Samad atas sumbangannya kepada negara.

Orang ramai tampil beri sokongan

Selain daripada menikmati dan menghayati hasil seni – lukisan, sketsa dan lakaran – Pak Samad, pameran ini juga membuka ruang dan peluang kepada orang ramai membeli dan memiliki karya-karya yang dipamerkan; sekali gus membantu menjana pendapatan bagi sasterawan sepenuh masa ini.

Secara mudah, gagasan modal sosial merujuk kepada usaha orang ramai (orang awam) bergabung tenaga untuk melakukan sesuatu perkara yang didapati gagal dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak berwajib; khususnya kerajaan dan agensi kerajaan.

Dalam hal karya-karya (buku, manuskrip dan lukisan) Pak Samad, berikutan kelantangan suara sasterawan ini menentang penindasan, ketidak adilan dan kezaliman, beliau hilang peluang “carma” (cari makan) dengan hampir semua kementerian dan agensi kerajaan.

Namun begitu, maruah, perjuangan, integriti, hak, kebebasan bersuara, pegangan serta pendirian tidak dilacurkan seperti dilakukan secara terang-terangan oleh penulis tertentu dan persatuan penulis tertentu.

Orang ramai memberi sokongan kepada karya seniman ini. — Gambar oleh Uthaya Sankar
Orang ramai memberi sokongan kepada karya seniman ini. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Novel Salina (2012), kumpulan sajak Di Atas Padang Sejarah (2013) dan novel Sungai Mengalir Lesu (2014) mendapat sentuhan modal sosial; secara sedar atau secara tidak sedar.

Sementara rata-rata politikus dalam BN yang menjadi kuasawan pada pelbagai peringkat tidak memandang – apatah lagi membeli – buku-buku Pak Samad, kebanyakan politikus dan kuasawan dalam PR pula didapati memberikan pelbagai alasan untuk tidak membeli.

Karya-karya ini mendapat sokongan daripada “orang biasa” (layman) yang menyedari kedudukan serta nilai Pak Samad serta karya-karya yang dihasilkannya.

Atas dasar itulah juga beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu usaha-usaha penerbitan, pengedaran dan promosi karya-karya beliau sejak beberapa tahun lalu.

Helmy Samad selaku pengarah urusan Wira Bukit Sdn Bhd masih boleh “bernafas” dalam usaha murni menerbitkan karya-karya bapanya berkat sokongan daripada “orang biasa” yang tidak memegang sebarang jawatan besar dalam kerajaan pusat atau kerajaan negeri, kementerian serta agensi kerajaan.

Jaringan modal sosial terjalin kemas

Wujud suatu jaringan mesra antara Pak Samad dan pelbagai pihak di mana masing-masing saling membantu, berkongsi kemakmuran, saling memperkasa serta berganding bahu.

Jaringan ini membuktikan bahawa kuasa yang dimiliki oleh Rakyat (huruf besar disengajakan) adalah amat besar serta mampu menjana kekuatan wang dan tenaga yang diperlukan untuk mencapai hasrat murni yang diimpikan.

Poster khas Pak Samad dipasang di Rumah Kavyan. — Gambar oleh Uthaya Sankar
Poster khas Pak Samad dipasang di Rumah Kavyan. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Dalam hal ini, Pak Samad tidak menjadi “penerima” semata-mata. Sebaliknya, umum mengetahui bahawa Sasterawan Rakyat ini sentiasa bersedia menerima undangan menjayakan apa-apa majlis tanpa mengharapkan bayaran; walaupun kedudukannya sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (1985) melayakkan beliau membuat tuntutan seperti itu.

Pak Samad adalah Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2003 dan sentiasa bersedia menyertai mana-mana acara bahasa, sastera, seni dan budaya yang dianjurkan kumpulan ini.

Beliau juga membantu menambah nilai kepada buku-buku saya seperti Rudra vatara (2008), Panchayat: Edisi Khas (2012) dan Hanuman: Suara Hati (2013) dengan menulis kata pengantar; selain mengulas kumpulan cerpen Vanakam (2002).

Sasterawan kebanggaan kita ini turut bersedia menghulurkan bantuan serta memenuhi undangan ke acara anjuran kumpulan-kumpulan indie yang mungkin tidak akan dilayan kelompok penulis ternama lain.

Maka, selain daripada mendapat manfaat menerusi jaringan modal sosial yang terjalin kemas, Pak Samad turut menyumbangkan tenaga demi kebaikan sesiapa yang termasuk dalam jaringan itu.

Selepas melalui detik-detik yang agak mencemaskan dan melemaskan sejak “dipulaukan” dan “dipergunakan” pihak tertentu, Pak Samad yang lahir di Singapura pada 8 Februari 1932 masih terus gagah melangkah dan menggegarkan dunia seni dan sastera negara.

Semua ini membuktikan kejayaan gagasan modal sosial; iaitu orang ramai dan NGO boleh menjana tenaga dan wang yang diperlukan untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang gagal dilakukan pihak berkuasa.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.