OKTOBER 13 — Lima kanak-kanak daripada sebuah keluarga kurang berkemampuan di Taman Sri Muda, Shah Alam bakal merasai kemeriahan sambutan Deepavali (22 Oktober 2014) berkat sumbangan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sedang dalam proses menyelenggarakan dan menyelaraskan usaha ini sejak sekitar dua minggu lalu selepas kes dirujuk oleh seorang rakan aktivis sosial, Janet Beins.

Saya selaku presiden Kavyan bersama-sama setiausaha, Perzeus James mengunjungi keluarga berkenaan dan melakukan wawancara pada 30 September 2014 untuk mengumpulkan maklumat.

Hal ini penting bagi memastikan Kavyan hanya meminta sumbangan daripada orang ramai untuk membantu individu dan keluarga yang benar-benar layak dan wajar dibantu.

Advertisement

Kavyan yang diasaskan pada 1999 pada umumnya terlibat dalam mengendalikan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak.

Sejak Jun 2014, Kavyan turut terlibat dalam hal-hal kebajikan berkat sokongan rakan-rakan yang tercari-cari saluran yang boleh dipercayai untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Salah satu kejayaan sumbangan orang ramai berbentuk modal sosial (social capital) adalah Projek Sumbangan Makan Tengah Hari yang berlangsung sejak awal Julai 2014 di Rumah Kavyan selaku pusat aktiviti setempat.

Advertisement

Gerakan modal sosial merujuk kepada usaha orang ramai (masyarakat) bergabung tenaga bagi memperkasa usaha-usaha murni yang dirasakan gagal dilakukan oleh kuasawan, pemerintah dan pihak berwajib.

Kavyan juga menjadi orang tengah yang berjaya menghubungkan penduduk dengan Ahli Majlis Taman Sri Muda, Ruthira Surasan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei; dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Kavyan turut cuba mendapatkan bantuan bagi kaum India daripada Pemuda MIC Kebangsaan, walaupun gerakan itu khabarnya tidak cukup peruntukan untuk memenuhi kebanyakan permintaan.

Keluarga yang cuba dibantu

Berbalik kepada kisah keluarga tadi, ia terdiri daripada sembilan orang; iaitu dua warga emas, dua dewasa dan lima kanak-kanak.

Si datuk berumur 78 tahun dan merupakan bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR). Beliau menerima pencen RM800 sebulan. Warga emas ini pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan tetapi terpaksa berhenti kerana semakin tua.

Isterinya (si nenek) berumur 68 tahun. Beliau pernah menjadi pekerja ladang dan kilang. Kini beliau suri rumah dan menjaga lima cucu.

Anak perempuan mereka berumur 40 tahun dan belajar hingga Tingkatan Lima. Beliau hanya menerima gaji RM160 sebulan untuk kerja tukang cuci di sebuah pusat tuisyen.

Sejak tahun 2003, si anak perempuan ini disahkan menghidap penyakit saraf oleh Jabatan Psikiatri, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Beliau perlu mendapatkan suntikan khas setiap bulan di Klinik Kesihatan, Seksyen 19, Shah Alam.

Wanita bujang ini banyak meluangkan masa membimbing pelajaran anak-anak saudaranya. Beliau sedar bahawa hanya pendidikan yang mampu membantu mengubah nasib keluarganya serta memungkinkan mobiliti sosial berlaku.

Si anak lelaki berumur 38 tahun dan bekerja sebagai kelindan lori. Selepas kelahiran anak kelima pada tahun 2000, isterinya menghilangkan diri. Laporan polis sudah dibuat tetapi si isteri masih belum dapat dikesan.

Anak sulung si anak lelaki itu berumur 9 tahun dan belajar Tahun 3 di SJKT Ladang Emerald, Kemuning Utama, Shah Alam. Dia menjadi pengawas di sekolah dan mendapat tempat ke-7 dalam darjah semasa peperiksaan lalu.

Saya dan Perzeus yang mengunjungi keluarga ini mendapati budak perempuan itu berminat dalam pelajaran; khususnya mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Dia juga minat membaca buku cerita.

Anak kedua berumur 8 tahun dan belajar Tahun 2 di SJKT Ladang Emerald. Dia mendapat tempat ke-5 dalam darjah semasa peperiksaan lalu. Sebagaimana kakaknya, dia juga berminat dalam pelajaran; khususnya mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil, serta gemar membaca buku.

Anak ketiga berumur 7 tahun dan belajar Tahun 1 di sekolah sama. Anak keempat berumur 5 tahun manakala anak bongsu berumur 4 tahun.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan bulanan RM300 bagi menampung perbelanjaan tiga anak yang bersekolah.Lima kanak-kanak ini mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga. — Pix by Uthaya Sankar
Lima kanak-kanak ini mahu belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga. — Pix by Uthaya Sankar

Terap konsep modal sosial (social capital)

Si anak perempuan (mak cik) berumur 40 tahun menerangkan bahawa RM120 daripadanya digunakan secara bulanan untuk menampung kos pengangkutan (van sekolah) bagi tiga kanak-kanak yang bersekolah.

“Apa-apa pun berlaku, saya mahu cucu-cucu saya teruskan pelajaran. Saya berharap tidak akan timbul masalah menampung bayaran van mereka mulai tahun depan berikutan kenaikan harga petrol baru-baru ini,” kata si datuk semasa saya dan Kughan Nadarajah berkunjung pada minggu lalu.

Keluarga ini biasanya makan tengah hari dan makan malam secara ala kadar sahaja. Kadang-kadang si nenek membuat sarapan seperti tose dan idli untuk keluarganya.

“Kami tidak mampu membeli sarapan dari kedai,” si nenek berkata ringkas.

Ketiga-tiga anak yang bersekolah menerima bantuan menerusi program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban menyediakan makanan berzat bagi mereka yang merupakan kanak-kanak yang sedang membesar.

Pakaian yang dipakai oleh anak-anak ini rata-rata pakaian terpakai yang didermakan oleh saudara-mara dan kenalan. Beberapa perkakas rumah juga merupakan barangan terpakai yang diberikan orang.

Rumah yang diduduki oleh keluarga ini adalah milik sendiri. Pinjaman bank sudah dibereskan dan ini juga mengurangkan beban hutang.

Kos yang biasanya diperlukan untuk membeli barangan keperluan dapur dan makanan untuk seisi keluarga adalah RM600 sebulan.

Semasa wakil Kavyan berkunjung, keluarga ini ditanya mengenai persiapan menjelang Deepavali. Menurut si mak cik, pakaian yang dibeli pada tahun lalu masih disimpan untuk digunakan semula oleh anak-anak.

“Sebahagian wang (RM300) yang bakal diterima daripada JKM mungkin digunakan untuk membuat sedikit juadah yang diminati oleh kelima-lima cucu,” kata si nenek yang pandai membuat kuih-muih tradisional.

Kavyan sedang berusaha menerapkan konsep modal sosial dengan mendapatkan bantuan dan sumbangan orang ramai berhati mulia yang sudi menghulurkan wang untuk menampung kos membeli barang-barang keperluan bagi membawa “cahaya” ke rumah keluarga ini menjelang Deepavali.

Wang diperlukan untuk membeli barangan keperluan membuat kuih-muih; pakaian baru, kasut, hiasan dan sebagainya bagi sembilan ahli keluarga; barang-barang keperluan untuk memasak makanan tradisional pada hari Deepavali; memasang lampu; serta sedikit hiasan di rumah.

Pelajar kolej turun bergotong-royongPelajar Kolej FTMS gembira dapat melakukan aktiviti sosial menjelang Deepavali.
Pelajar Kolej FTMS gembira dapat melakukan aktiviti sosial menjelang Deepavali.

Sejak seminggu lalu, bantuan mula diterima daripada rakan-rakan yang budiman seperti Geetacely Manogar, M Jamuna Rani, Lay-Yiat Tan, Sockalingam Murugesan, Sendhil, Selvi, Leena Sanchana dan Pushpa Sukumaran.

Turut tampil menghulurkan bantuan ikhlas ialah Senthuran Nagappan, Saras Manickam, Shartish, Eegand, Harish Nair, Arivinthiran, Mohamed Riyas dan Anif Robinson; manakala beberapa lagi rakan meminta nama mereka tidak dinyatakan di mana-mana.

Riyas dan Anif serta sekumpulan rakan-rakan mereka dari Kolej FTMS, Bukit Jalil pula menawarkan diri untuk datang bergotong-royong membersihkan dan menceriakan rumah keluarga berkenaan pada Sabtu lalu.

Mereka ialah Liveshvaran, Kaarumari Joty, Rhenugaawathii, Raveen, Ashvini, Kashveetha, Kirra Shini, Kugendran dan Yutheeswaran.

Keceriaan, kegembiraan dan kasih-sayang jelas terbayang pada wajah lima adik-beradik serta kumpulan sebelas pelajar yang terlibat dalam usaha murni ini. Kebahagiaan ini pasti tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Kumpulan pelajar itu turut menggunakan wang poket untuk membelikan beberapa barangan keperluan untuk diberikan kepada keluarga ini.

Kerja-kerja membeli barangan keperluan tambahan dijadualkan pada Sabtu ini manakala baki wang sumbangan orang ramai (jika ada) akan disalurkan kepada keluarga ini dalam bentuk elaun bulanan bagi mengurangkan beban.

Wakil Kavyan sudah memutuskan untuk menyambut Deepavali bersama-sama keluarga ini pada 22 Oktober nanti supaya mereka tidak rasa terpinggir.

Rakan-rakan dan pembaca yang berminat diundang untuk turut serta demi membawa “cahaya kegembiraan” kepada keluarga ini sempena Deepavali.

Orang ramai boleh menghubungi [email protected] untuk mendapatkan maklumat lanjut serta terlibat sama dalam pelbagai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya anjuran Kavyan.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.