22 JUN — Piala Dunia 2014 sedang berlangsung di Brazil. Siapa bakal bergelar juara? Belanda, Brazil atau Jerman? Sepanyol selaku juara betahan sudah keluar baris setelah kalah dengan Chile 2-0.

Siapa bintang di kejohanan kali ini ? Robin Van Persie ( Belanda ), Neymar ( Brazil )? Ozil, Muller ( Jerman ) atau Suarez? Ronaldo ( Portugal )? Terlalu ramai bintang yang menyinar, mungkin bila sampai ke peringkat suku akhir kita akan dapat menilai siapa yang terbaik.

Jika di Piala Dunia 1982 dulu, heronya adalah Paolo Rossi ( Itali ). 1986 pula Maradona ( Argentina ) manakala 1992 pula Ronaldo ( Brazil ). Begitulah seterusnya di setiap pesta Piala Dunia yang berlangsung, akan lahirlah bintang yang paling menyinar.

Tidak seperti di awal tahun 80an dulu, hari ini saya tidak sanggup berjaga pukul 3 pagi sampai ke jam 5 pagi semata untuk menonton mana-mana perlawanan yang berlangsung di waktu itu.

Kawan-kawan saya yang gila bola masih sanggup bersengkang mata semata-mata untuk menyaksikan pasukan favourite mereka beraksi. Sampai di pejabat atau tempat kerja mata pun merah sebab kurang tidur.

Untuk Piala Dunia yang sedang berlangsung ini, saya lebih berminat dengan kehebatan pasukan dari Asia seperti Korea Selatan dan Jepun. Mereka jauh meninggalkan kita.

Kita berada di ranking yang ke 141, Jepun pula berada di ranking yang 46, manakala Korea Selatan 55.

Standard kita mungkin Singapura, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka juga Pakistan. Bertarung dengan Filipina, pasukan belasahan kita suatu masa yang gemilang dulu pun kita hanya sekadar seri atau mungkin akan kalah, apa lagi yang kita boleh kata?

Tentang Korea Selatan dan Jepun, bagaimana mereka berjaya maju ke depan dalam sukan bola sepak sedangkan di awal tahun 80an dulu, mereka sama standard dengan kita?

Bila bercerita tentang bola sepak negara kita, sangat sukar untuk kita melupakan kenangan yang semalam, walau ianya sudah berlalu sejak lama dulu.

Dan kita pula akan tetap bercerita tentang kehebatan legenda bola sepak negara kita di zaman 50an sehingga awal 80an dulu, tentang Ghani Minhat, Syed Ahmad, Isa Bakar, Mokhtar Dahari dan Zainal Abidin Hassan antaranya.

Dalam bola sepak, nyatalah apa yang kita miliki hanyalah semalam. Pemain yang bagus bagus? Semalam. Perlawanan terbaik yang melibatkan pasukan negara kita dengan pasukan bertaraf dunia? Pun semalam juga.

Hari ini? Ibarat kapas yang kehujanan, pasukan negara kita, seperti gelombang tsunami yang melanda, terus menguncup dan tidak berkembang. Kalau kembang pun hanyalah Kembang Setaman sebab pemain sekarang sudah seperti selebriti. Gaji mahal, skil dan kemahiran tak seberapa.

Pemain kita manja-manja belaka. Jurulatih baru? Saya tetap skeptikal sebab kalau letak jurulatih yang bertaraf dunia pun, belum tentu akan ada hasil yang drastik dan berkesan. Sebab lain, segala keputusan di tangan FAM, mereka yang berkuasa!

Apabila berbicara tentang bola sepak negara kita, kita tidak akan bertanya, bila Malaysia akan layak ke Piala Dunia? Atau jika kita layak ke Piala Dunia, apakah itu tanda-tanda awal kiamat?

Dan belum tentu Malaysia boleh menang jika berlawan dengan pasukan bola bertaraf kelab seperti Felda United? Felda United sudah handal, mungkin lain-lain kelab yang standardnya bawah sikit, pun belum tentu Malaysia boleh menang.

Maaf cakap, saya tidak punya keyakinan dengan kebolehan pemain-pemain kita hari ini. saya tidak punya keyakinan itu selepas era 90an. Apabila yang mentadbirnya di kalangan mereka yang syok sendiri melainkan hanya fikir dari sudut bisnes dan bermotifkan keuntungan, memang payahlah nak berubah.

Apabila segala-galanya dipolitikkan, memang susahlah sebab politik itu kepentingan, kepentingan itu kuasa. Yang kita baca yang sering keluar di akhbar ruangan sukan hari ini adalah cerita tentang FAM, dan pegawai-pegawai atasannya.

Yang tukang bisingnya Menteri Belia dan Sukan kita, Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin, pun itu hanyalahh sekadar bising-bising yang tidak memberikan sebarang kesan kepada mereka yang di atas sana.

Punyalah teruk tahap pasukan negara kita sampaikan tertubuhnya kelab Kami Anti FAM. Dulu mana ada kelab dan persatuan yang mengutuk pentadbiran dan pasukan kita?

Kita lihat pasukan Cameroon, sebuah negara membangun dan Komanwel sama seperti kita. Jika nak dibandingkan dari segi kemudahan, kita jauh lebih maju dari mereka.

1982 mereka sudah mengejutkan dunia dengan layak ke Piala Dunia. Sudah 7 kali mereka layak ke Piala Dunia termasuklah pada Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung tika ini. berbagai kejayaan sudah mereka raih. Piala Dunia 1990 mereka layak ke suku akhir.

Kita? Kita hanya menang Piala Suzuki pada tahun 2010 dulu. Itulah standard kita yang paling tinggi. Selebihnya kita seakan sudah sebati dengan siri kecewa yang tak ada penghujungnya.

Saya tidak akan hairan jika dalam kejohanan Piala Dunia yang berikutnya pasukan Thailand atau Vietnam akan layak ke Piala Dunia. 2018? 2022 ? Kita tidak tahu, tapi jelas mereka sedang berusaha ke arah itu.

Kita? Seperti kata legenda bola sepak kita , Santokh Singh apabila ditanya ada oleh wartawan dalam sebuah akhbar tabloid yang saya baca baru-baru ini.

Mampukah Malaysia layak ke Piala Dunia ? katanya, Malaysia tidak akan layak selama-lamanya ke Piala Dunia jika tiada sebarang perubahan dari sudut komitmen dan disiplin pemain sekarang.

Apa boleh buat, di negara kita ini, segala-galanya kalau boleh mahu dipolitikkan. Memang tak akan majulah sukan untuk negara kalau begitu kisahnya.

 

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.