6 APRIL ― Tinggal enam tahun atau bersamaan dengan 2095 hari sahaja lagi sebelum kita melangkah ke tahun 2020.
Sebut sahaja tahun 2020, pastinya perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kita ialah tahun yang mana Malaysia secara rasminya menjadi sebuah negara maju.
Sememangnya, ‘penghijrahan’ status daripada sebuah negara membangun kepada negara maju merupakan sesuatu yang diimpikan oleh semua negara termasuk Malaysia.
Bukan sahaja sesebuah negara itu akan dihormati oleh masyarakat antarabangsa bahkan juga menjadi tumpuan pelabur asing dan pelancong. Dalam erti kata lain, Malaysia boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain seperti Taiwan, Korea Selatan, Jepun dan Singapura.
Bagi Malaysia, tahun 2020 menjadi detik penting kerana mereka akan menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa. Pengisytiharan sebagai sebuah negara maju sudah tentu mengundang pelbagai cabaran kepada kepimpinan kerajaan dalam memastikan status tersebut sentiasa dipatuhi.
Untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar maju, pelbagai kriteria dijadikan sebagai penanda aras. Antaranya, kualiti kehidupan rakyat yang progresif, tahap kesihatan rakyat yang baik serta pendapatan perkapita yang tinggi.
Namun begitu, kriteria-kriteria yang paling tepat dan sesuai untuk mengukur sebuah negara maju masih hangat diperdebatkan. Bagi Bahagian Statistik PBB umpamanya, mereka berpendapat tiada konvensyen tetap yang menentukan negara atau kawasan yang maju dan membangun dalam sistem PBB.
Hakikatnya, apakah kriteria-kriteria sedemikian begitu penting untuk sesebuah negara jika keadaan yang dimahukan tidak mencapai kenyataan? Di Malaysia, situasinya amat unik untuk diperkatakan.
Dari segi infrastruktur, negara kita mempunyai prasarana antara yang terbaik di dunia, setanding dengan negara-negara maju malah bertaraf lima bintang. Daripada stadium, pencakar langit, struktur lebuh raya hinggalah kepada kemudahan pengangkutan – semuanya ada “class”. Perkara ini turut diakui oleh kebanyakan pelancong asing yang melawat ke Malaysia.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita sepatutnya bergembira dan berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh negara ketika ini. Malangnya, kemajuan pesat yang dikecapi itu tidak bermakna dan pengisiannya tidak lebih daripada melepaskan batuk di tangga.
Lihat sahaja bagaimana sikap dan gelagat sebahagian besar rakyat Malaysia di atas jalan raya. Tatkala rakyat Malaysia terkenal dengan sikap peramahnya, perkara yang sama tidak boleh diperkatakan apabila mereka berada di atas jalan raya. Dengan tidak semena-mena, mereka berubah menjadi seorang individu yang agresif, mudah marah dan kaki buli.
Hasilnya, ada sahaja kes yang mana pemandu bas atau kereta akan cuba memotong barisan khasnya pada waktu puncak. Bagi mereka, tindakan itu tidak salah kerana orang lain turut melakukan kesalahan sedemikian. Tambah mendukacitakan, sikap ini sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia dan nampaknya dihalalkan gara-gara ketidaktegasan penguatkuasaan oleh pihak berwajib.
Keberanian untuk melanggar peraturan jalan raya secara terang-terangan di hadapan pegawai penguatkuasa merupakan satu trend yang cukup membimbangkan. Rakyat seolah-olah dapat menghidu dan mengesan lompong-lompong yang wujud dalam peraturan negara hinggakan mereka berani membelakangkan undang-undang. Apabila sesuatu peraturan atau undang-undang sudah tidak dipatuhi oleh rakyat, ia satu petanda bahawa anarki mungkin menguasai keadaan.
Apapun, memandu sepatutnya satu pengalaman yang menyeronokkan dan tiada tekanan. Tetapi di Malaysia, situasi sebaliknya yang berlaku. Inilah igauan buruk yang terpaksa dihadapi oleh pengguna jalan raya. Keselamatan mereka nampaknya tidak terjamin. Mereka tidak tahu bilakah akan dilanggar oleh kereta, bas, lori ataupun motosikal. Kesudahannya, mereka terpaksa berwaspada pada setiap waktu.
Satu lagi tabiat buruk dalam kalangan rakyat Malaysia yang barangkali boleh mencemarkan status Malaysia sebagai sebuah negara maju adalah sikap mereka ketika berada di bilik air. Jika anda berkesempatan untuk mengunjungi tandas di ibu negara, tahap kebersihan masih di peringkat yang kurang memuaskan.
Apa tidaknya, bau kencing, tompok-tompok najis malahan tisu-tisu terpakai bersepah di merata tempat. Lebih menjijikkan, kawasan lantai di tandas sentiasa basah dan ditakungi air.
Kebanyakan rakyat Malaysia nampaknya tidak ambil kisah dengan kebersihan tandas awam kerana ia bukan harta benda miliknya. Lagipun, ada orang yang telah dibayar untuk membersihkan tandas.
Sikap sebeginilah yang harus dikikiskan. Ya, memang benar pekerja-pekerja am telah dibayar untuk membersihkan tandas tetapi alasan itu tidak boleh dijadikan sebagai justifikasi untuk mengotorkan tandas.
Tidak terfikirkah kita dengan perasaan pekerja-pekerja berkenaan? Mereka juga manusia dan mereka juga ada perasaan. Apakah tanggungjawab untuk menjaga kebersihan tandas begitu sukar untuk dipatuhi?
Kebersihan bermula di rumah dan jikalau perkara asas seperti penjagaan tandas tidak dapat dipatuhi, maka apa gunanya jika kita terus bermegah dengan status negara maju! Justeru, kempen kebersihan tandas yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan satu ketika dahulu tidak akan membawa banyak perubahan selagi masyarakat sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka.
Mungkin sudah tiba masanya juga pihak berkuasa tidak berkompromi dengan mereka yang mengotorkan harta-benda awam. Masyarakat perlu dididik untuk menghormati dan memelihara harta-benda awam seperti harta-benda mereka sendiri. Jika mereka ingkar, hukuman berat perlu dikenakan terhadap si pesalah tanpa mengira latarbelakang atau kewarganegaraan.
Pada dasarnya, cadangan yang dikemukakan itu memang baik. Namun, ia akan hanya tinggal cadangan jika tidak disusuli dengan komitmen serta keazaman untuk menjayakannya. Kecenderungan masyarakat untuk tidak ambil tahu atau tidak mahu tahu mengenai sesuatu perkara, perlu dihentikan. Ini kerana, budaya tidak mahu ambil tahu ini sering kali dijadikan sebagai escapism untuk tidak memikul beban yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Apa yang pasti, kita tidak mahu sebuah masyarakat Malaysia yang “complacent” dan pasif. Kita juga tidak mahu status negara maju yang akan diberikan kepada Malaysia kelak, hanya tinggal pada nama sahaja tetapi pengisiannya yang tidak bertempat.
Apa gunanya Malaysia menjadi sebuah negara maju pada 2020 jika ada dalam kalangan rakyatnya yang tidak memiliki jiwa raga yang mulia, jujur dan ikhlas. Apakah ini jenis rakyat yang kita mahukan dalam agenda pembangunan nasional?
Jawapannya sudah cukup jelas.
* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
