13 JULAI — Datuk Ibrahim Ali, Presiden Perkasa amat menarik perhatian seluruh negara apabila dia mencatit sejarah pada penamaan calon PRU13 lalu di kawasan Parlimennya di Pasir Mas.

Pada hari itu dia mengulangi sekali lagi menjadi calon bebas Parlimen kawasan itu. Kali ini dia saja dalam sejarah pilihan raya menjadi calon bebas yang tidak menentang calon Barisan Nasional.

Sejak tahun 1955, satu-satunya pilihan raya umum diadakan sebelum merdeka, Barisan Nasional yang ketika itu namanya Perikatan, meletak calon dalam semua pilihan raya di semua kawasan. Tidak ada tempat yang ia tidak meletakkan calon.

Tetapi di Pasir Mas dalam PRU13 lalu Ibrahim Ali menjadi satu-satunya calon bebas sejak tahun 1955 tidak berlawan dengan calon Barisan Nasional. Bukan Barisan Nasional tidak menyediakan calon, tetapi calonnya Che Johan Che Pa tidak hadir untuk menamakan calon.

Advertisement

Maka jadilah Ibrahim Ali calon bebas yang menentang calon PAS saja iaitu Nik Abduh, anak laki-laki sulung Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz.

Sejak awal tahun 1980an Ibrahim Ali jadi anggota Parlimen kawasan Pasir Mas. Sebelum dia dipecat seumur hidup dari Umno semasa pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dia kalah pada calon PAS di situ. Selepas itu dia jadi calon bebas menentang PAS dan Barisan Nasional. Dia kalah pada PAS dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Dalam PRU 8 Mac 2008, dia mencatit sejarah menjadi calon PAS tanpa menjadi ahli PAS. Dia menang tetapi tidak menjadi Anggota Parlimen PAS, sebaliknya dia selesa menjadi AP Bebas.

Advertisement

Dalam PRU 2004 PAS hampir kalah di Kelantan. Ia menang dengan dua kerusi DUN saja. Dalam Pilihan Raya Kecil DUN Pasir Pekan kerana kematian ADUN PAS menjelang PRU12, Ibrahim Ali menjadi calon Bebas. PAS kalah, dia pun kalah. Tinggal PAS Kelantan dengan satu majoriti saja.

Sedikit sebanyak Ibrahim ada penyokong di Kelantan walaupun dia dipecat Umno. Jika Ibrahim boleh mengarahkan semua penyokongnya di Kelantan mengundi PAS, maka PAS tidak mengulangi keputusan yang buruk seperti PRU 2004 itu.

Maka PAS beri Ibrahim jadi calon PAS tanpa menjadi ahli PAS dalam PRU 2008. Dia menang dan PAS menang selesa hampir menyamai kemenangannya tahun 1990.

Selepas dia menang, dia keras kepala. Dia menjadi MP Bebas yang anti PAS dan pro BN. Dia tidak lagi rapat dengan PAS seperti sebelum PRU 2008 itu. Dengan sikap anti PASnya tentulah PAS tidak memberi laluan kepadanya lagi.

Dia tetap mengira Pasir Mas adalah kawasannya. Maka menjelang PRU13 Umnonya lebih kuat dari semua orang Umno walaupun dia tidak mohon kembali kepada Umno. Mungkin sulit bagi Najib untuk menerimanya semula ke dalam Umno kerana pemecatannya semasa pimpinan Abdullah adalah pemecatan seumur hidup.

Mungkin Najib tidak mahu memalukan lagi Abdullah kalau menerimanya semula ke dalam Umno. Abdullah pecat dia seumur hidup. Malulah Abdullah jika sebelum matinya Ibrahim diterima semula menjadi ahli Umno.

Tiada cara bagi Ibrahim untuk menang di Pasir Mas jika dia jadi calon Bebas lagi dalam tiga penjuru. Siapa kalah antara PAS dan BN tidak dapat diduga, yang pasti calon Bebas Ibrahim pasti kalah. Maka dia mengusahakan untuk menjadi calon tunggal menentang PAS di Pasir Mas. Tidak mungkin bagi Umno/BN mengikut contoh PAS membenarkannya jadi calon BN tanpa menyertai semula Umno sedang dia dipecat dari Umno seumur hidup.

Atas bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad dia cuba menjadi calon Bebas yang tidak bertembung dengan BN. Tetapi malulah BN jika ia mengalah kepada Ibrahim Ali. Umno hendak tunjukkan egonya juga.

Apa yang terjadi calon BN tanpa sebarang alasan tidak menyerahkan borang pencalonan, bagi memberi laluan kepada Ibrahim. Bukan Umno yang memberi lalun kepada Ibrahim tetapi calonnya pura-pura menghilangkan diri.

Ibrahim mencatit sejarah sebagai calon bebas tunggal tidak berdepan dengan calon BN. Tetapi sejarahnya berakhir selepas pilihan raya itu apabila dia juga dengan PAS.

* This is the personal opinion of the columnist.