9 JULAI — Mungkin pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan dalam bulan Ramadan ini, tetapi yang terbaiknya ialah ia diadakan di luar bulan puasa.

Sekalipun SPR ada pengalaman, sekurang-kurangnya dua kali, mengadakan PRK dalam bulan Ramadan, tetapi masalah lebih banyak bagi ahli ibadat jika ia berlaku dalam bulan ibadat itu.

Jika dalam sirah Rasulullah SAW beberapa kali perang berlaku dalam bulan puasa tidak pula mencacatkan ibadat para mujahidin, maka pilihan raya adalah lebih ringan dibandingkan dengan perang yang disertai baginda itu. Mungkin kalau PRK diadakan masa puasa, petugas dapat merasakan sedikit sebanyak keupayaan yang dilalui oleh para mujahidin dulu.

Tetapi peperangan biasanya tidak dapat ditentukan masanya. Ia boleh terjadi dalam bulan puasa. Tidak dapat dielekkan jika ia berlaku dalam bulan itu.

Advertisement

Pilihan raya kita yang menentukan. Boleh adakan semasa beruasa atau selepas puasa. Ada masa yang cukup jika dielakkan bulan puasa.

Kerja pilihan raya biasanya 24 jam. Tukang kempen Muslimat/Wanita merayu undi waktu siang tetapi yang rancaknya ialah sebelah malam. Waktu malam itu ceramah diadakan di merata tempat.

Tentunya Kuala Besut nanti akan didatangi pembantu yang ramai dari luar dan akan jadi tarikan pelancong yang terdiri dari peminat politik.

Advertisement

Orang luar ini menangguhkan puasanya atas sebab mereka musafir tetapi tiada dikecualikan dari pilihan menunaikan solat tarawih. Sekalipun ia sunat tetapi ia hanya dibuat dalam bulan Ramadan saja. Ahli ibadat yang musafir digalakkan tidak melepaskan peluang itu.

Sekalipun kegiatan politik tidak dilarang dalam bulan puasa, biasanya umat Islam pemilih untuk tidak membuat kerja berat dalam sebulan itu. Masing-masing mahukan ketenangan untuk membuat sebanyak-banyak ibadat terutama sebelah malam.

Sekalipun bagi PAS politiknya termasuk pilihan raya adalah sebahagian dari ibadat, maka semua kegiatan PRK itu adalah ibadat bagi sekalian, tetapi mereka juga suka jika boleh masa banyak bersama keluarga.

Apapun mereka mesti solat tarawih dulu sebelum menyertai ceramah atau mengendalikan ceramah. Adalah benar mereka boleh tarawih lapan rakaat, tetapi umumnya memilih 20 rakaat. Kemudian mereka digalakkan berjaga malam dengan berbagai solat dan kegiatan.

Apabila PRK diadakan masa itu, bagi orang tempatan dan kawasan sekitar waktu itu sudah terbagi kepada banyak kegiatan. Bagi menghormati orang tarawih, maka ceramah hanya diadakan selepas itu. Tidak ditolak ada yang meninggal atau mengurangkan tarawih bagi mengendalikan ceramah dan lain-lain kempen.

Bagi yang datang dari luar akan banyak pula dugaannya tentang puasanya.

Dan bagi penyokong dari luar ada yang tidak beri penuh masa bagi memakmurkan kempennya, tetapi jika tidak diadakan bulan puasa, maka mereka akan beramai-ramai berkumpul di kawasan pilihan raya kerana pilihan raya juga adalah satu festa.

Maka SPR tidaklah mengambil kira bahawa ia ada pengalaman mengadakan PRK bulan puasa, tidak banyak masalah baginya, tetapi memikirkan keselesaan orang ramai khususnya orang  tempatan adalah penting. Bukankah mendahulukan rakyat atau pengundi itu adalah keutamaan. Ada kebaikan menjaga keselesaan itu. Sekadar niat untuk tidak mengganggu mereka pun ada ganjaran pahala.

* This is the personal opinion of the columnist.