28 JUN — Kepada umat Islam — orang Melayu — yang menjadi pengguna bas di perantauan, saya menyeru apa salahnya berharirayalah kali ini di tempat mencari rezeki. Jangan balik berhari raya idil-fitri di kampung masing-masing.

Elok berhari raya di kampung supaya boleh bertemu ibu bapa dan saudara mara serta jiran tetangga yang setahun berpisah. Membaharui hubungan itu memang digalakkan. Tetapi beraya di tempat sendiri bukannya wajib, atau berdosa atau tidak sah puasa dan raya kalau tidak beraya di kampung.

Beraya di kampung itu perkara harus saja. Balik kampung boleh dan tak balik pun tak mengapa.

Jika beraya di perantauan kali ini bagi pengguna bas, adalah satu tindakan yang perlu difikirkan bagi membantah cadangan pengusaha bas untuk menaikkan tambang 30 peratus pada Hari Raya Idilfitri ini.

Advertisement

Adalah benar kenaikan 30 peratus itu tinggi dan membebankan pengguna. Kalau ia naik 5 peratus saja pun sudah dikira satu tindakan mengambil kesempatan kepada pengguna yang tiada pilihan selain dari menggunakan bas berkenaan.

Masa itulah semua orang hendak pulang kampung dan hendak menggunakan bas. Maka itulah masa bagi pengusaha mengenakan tambang tinggi. Kata orang tua-tua, menahan lukah atau jerat di tempat genting. Perbuatan itu dikira penindasan dan dikeji.

Ia tidak terhenti di situ saja. Ia mungkin permulaan menaikkan tambang bas dalam semua perkhidmatan termasuk di luar musim perayaan.

Advertisement

Walaupun balik beraya itu orang bujang sebatang karah, tetapi kenaikkan itu membebankannya. Tetapi bagi satu keluarga — suami, isteri dan anak-anak — banyak mana pula perbelanjaan tambahan yang mereka terpaksa tanggung.

Tiada terdaya bagi pengguna untuk menentangnya kerana pengusaha punya banyak alasan untuk menaikkannya. Sekalipun kerajaan itu mendahulukan rakyat, pengusaha dan pekerja bas adalah rakyat juga. Antara pro rakyat dan pro peniaga, kerajaan biasanya lebih pro peniaga.

Kenaikan ini adalah perkara tunai yang pengguna terpaksa bayar dann pikul selepas PRU13 kerana memilih kerajaan yang sama. Jika yang dipilih dulu adalah Pakatan Rakyat, maka beban operasi bas itu boleh dikurangkan kerana janji minyak diturunkan, tol dibatalkan dan segala alat ganti kenderaan boleh diturunkan berikutan dengan menurunkan harga minyak.

Bukan pula mustahil cukai eksais bas dihapus. Maka tiada alasan bagi menaikkan tambang untuk raya ini.

Atas bantahan semua pengguna mungkin kenaikan itu diturunkan, kepada 15 peratus atau 20 peratus. Tetapi ia satu beban dan penindasan.

Tiada cara membantah seperti tunjuk perasaan dan sebagainya. Pengguna adalah timun. Menggolek durian ia binasa, digolek durian pun ia binasa. Siapa mahu perkhidmatan bas, maka terpaksa berbelanja.

Apa yang boleh dibuat, masing-masing beraya di tempat mencari rezeki. Baliklah kampung pada masa lain yang bas tidak menaikkan tambang untuk berjumpa ibu bapa.

Tentu ibu bapa sedih kerana anak cucu tidak balik beraya. Anak cucu tidak balik kerana mereka membantah penindasan yang dikenakan terhadap mereka. Jika ibu bapa itu terlibat sebagai pengundi yang menolak perubahan, maka mereka terpaksa belajar beraya tanpa anak cucu.

Jika raya tahun depan bas tidak menaikkan tambang, maka bolehlah balik beramai-ramai. Tiada cara membantah kenaikan itu selain dari memulaukan semua jenis penindasan. Cara demikian digunakan oleh pengguna-pengguna di barat bagi mencegah kenaikan perkhidmatan dan kenaikan barang.

* This is the personal opinion of the columnist.