18 SEPT— Dalam satu babak filem ‘Hati Malaya’, Almarhum Tunku Abdul Rahman menjelaskan bahawa dia diminta ke Kuala Lumpur sebagai ‘Deputy Public Prosecutor’ atau Timbalan Pendakwa Raya. Antara kes yang dikendalikan pendakwaan oleh Tunku dan masih dinukilkan sebagai nas otoriti di mahkamah kini ialah Pendakwa Raya lawan Mardai [1950] MLJ 33.

Sejak akhir-akhir ini, berita melaporkan perihal Timbalan Pendakwa Raya atau akronimnya TPR. Bermula dengan seorang TPR di SPRM ditahan polis untuk siasatan, juga misteri kehilangan seorang TPR yang belum terungkai dan terbaharu seorang TPR yang diugut bunuh oleh seorang pegawai penguatkuasa di Sarawak. Adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan akan misteri kehilangan seorang Timbalan Pendakwa Raya kanan baru-baru ini, samada berkaitan dengan tugas atau pun sebaliknya. Berikan ruang kepada pihak Polis merungkaikan motifnya berdasarkan hasil siasatan kelak. Namun kebarangkalian perkaitan angkara jenayah dengan tanggungjawab sebagai Timbalan Pendakwa Raya adalah munasabah dan tidak wajar dikesampingkan. Setiap kerjaya terdedah kepada risiko masing-masing termasuklah profesyen yang berhadapan dengan penjenayah saban hari ini.

Penulis sendiri pernah menerima ugutan yang berupa contengan di dinding rumah ketika bertugas di Pulau Pinang dulu. Namun sukar untuk menentukan suspek memandangkan terdapat puluhan kes jenayah di bawah kendalian, dan kebanyakan tertuduh dilepas dengan jaminan mahkamah sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang. Setiap Timbalan Pendakwa Raya pasti ada cerita tersendiri yang telah dihadapi ketika berkhidmat.

Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara berkuasa budibicara untuk memulakan, menjalankan dan menamatkan suatu prosiding kesalahan jenayah di mahkamah-mahkamah seluruh negara, kecuali mahkamah Syariah. Manakala Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah pula memerikan Peguam Negara adalah Pendakwa Raya Malaysia. Peruntukan yang sama juga menjelaskan Pendakwa Raya memiliki kuasa melantik Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebagai ‘alter ego’ dalam menjalankan tugas dan fungsinya. Pada amalan hari ini, beberapa TPR ditempatkan di setiap negari dan jabatan kerajaan seluruh pelusuk negara. Lantas perihal ini menjadikan Pendakwa Raya adalah satu jawatan kehormat negara yang memiliki paling ramai timbalan di Malaysia.

Tidak seperti para hakim, majistret dan peguam, kerjaya sebagai sebagai TPR paling kurang diketahui fungsinya oleh ahli masyarakat. Lazimnya TPR hanya dilihat menjalankan tugas mendakwa tertuduh yang disyaki melakukan perbuatan jenayah di mahkamah. Namun hakikatnya, peranan seorang TPR bermula lebih awal dari itu, bahkan peringkat sebelumnya adalah cukup kritikal.

Bilamana pihak penguatkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan suatu kes, fail siasatan dan taklimat dipersembahkan kepada TPR. TPR perlu mengkaji dengan teliti dan terperinci segenap hasil siasatan. TPR perlu menyemak dan merumuskan samada keterangan yang ada sudah memadai untuk dibuktikan di mahkamah bagi memastikan suspek disabitkan dan dihukum.

Maka, adalah menjadi budibicara TPR berdasarkan keterangan yang tersedia untuk mendakwa suspek di mahkamah atau melepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang. TPR juga boleh mengarahkan agar siasatan lanjut dilaksanakan bagi mengumpul keterangan yang sempurna.

Dalam keadaan tertentu, TPR juga terlibat untuk memantau siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak penguatkuasa. Misalnya, keizinan dari TPR diperlukan bagi mendapatkan butiran akaun bank seseorang individu, atau sebelum merakam perbualan telefon secara sembunyi sebagaimana yang diperuntukkan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Dalam situasi begini, TPR akan bertindak secara mandiri dalam mengimbangkan antara keperluan siasatan oleh penguat kuasa dan hak-hak peribadi individu terpelihara.

Sebagaimana terjemahan harfiah, ‘Deputy Public Prosecutor’ iaitu timbalan pendakwa awam, beban TPR bukan sahaja untuk mempertahankan hak mangsa jenayah, tetapi masyarakat awam secara keseluruhan. Bahkan adalah menjadi tanggungjawab TPR untuk menghormati hak-hak tertuduh. Sebagai contoh, TPR wajib mengemukakan fakta-fakta yang memihak kepada tertuduh sekiranya ada sebelum perbicaraan bermula sebagaimana dikehendaki Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Persoalannya kini adalah sejauhmana keselamatan seorang TPR itu sendiri untuk dilindungi. TPR bukanlah seperti pegawai peguatkuasa beruniform yang sememangnya dilatih dan dibekalkan senjata dalam berhadapan dengan sebarang ancaman berbahaya. Oleh demikian, seorang TPR amat terdedah kepada risiko seperti ancaman, ugutan dan paling dikhuatiri gugatan secara fizikal. Sebagai contoh pada tahun 2011, seorang Timbalan Pendakwa Raya wanita diacu pistol ketika berhenti di lampu isyarat di Kuala Terengganu. Barangkali situasi begini boleh dianggap terpencil mengambil kira jumlah kekerapan yang kecil atau tidak dilaporkan. Namun risiko tersebut tetap ada dan boleh mengundang tragedi jika tidak diurus secara waspada.

Latihan secara berkala tentang aspek keselamatan diri dalam mengelak dan menghadapi ancaman wajib diberikan kepada setiap TPR. Pihak PDRM juga sewajarnya mengambil maklum tentang lokasi kediaman TPR, terutamanya di kawasan pedalaman atau kota raya yang sesak. Tidak seperti perkhidmatan awam dahulu, kuaters kerajaan tidak lagi mampu menampung semua jumlah penjawat awam yang ada. Dalam situasi begini, aspek keselamatan perlu digandakan terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan sesak dan mencatatkan rekod jenayah yang tinggi.

Pada hemat penulis, langkah Jabatan Peguam Negara menwajibkan para TPR menwujudkan akaun Twitter masing-masing, berserta gambar yang jelas dan kemudiannya melaporkan kes kendalian masing-masing secara terbuka turut membawa risiko sampingan. Adalah difahami bahawa langkah proaktif itu bermanfaat untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat awam tentang gerak kerja para TPR, tapi alangkah lebih baik seandainya pelaporan melalui Twitter itu hanya dilaksanakan atas nama jabatan atau unit sahaja. Contohnya, akaun Twitter atas nama ‘Jabatan Peguam Negara Selangor’ untuk semua TPR Selangor menwar-warkan kes-kes kendalian mereka.  Penulis percaya pihak Jabatan Peguam Negara ada mekanisme lain secara dalaman untuk memantau dan menyelia aktiviti setiap TPR tanpa menggunakan media sosial itu.

Adalah dikuatiri kini, seorang tertuduh atau bekas banduan atau siapa sahaja yang berniat curang dengan mudah mendapatkan maklumat diri dan lokasi TPR yang berkait kesnya di mahkamah. Benar, hal ini bersifat andaian, tapi kita tidak boleh memandang rendah akan kemampuan dan nilai kewarasan seseorang yang telah dirasuk dengan dendam kesumat.

Dalam satu kajian yang dijalankan di Belanda oleh Dr. E.J. van der Torre Dr. M. Gieling
Drs. M.Y. Bruinsma pada tahun 2013 terhadap 1,730 responden di pejabat Pendakwa Raya, terdapat beberapa motif utama berlakunya ancaman terhadap para pendakwa. Dapatan kajian dinukilkan dalam bahasa asalnya:

“The motives for threatening or intimidating employees of the public prosecutor’s office  can be sorted into four main categories: (1) influencing an on-going investigation, (2)  influencing a trial by disconcerting an employee, (3) trying to reverse an unfavourable  verdict, and, (4) revenge..”

Para pengkaji di atas juga merumuskan bahawa pendedahan kepada ancaman dan intimidasi boleh mengurangkan kepuasan hati pegawai pendakwa terhadap kerjaya mereka. Barangkali pihak Jabatan Peguam Negara boleh membuat kajian sejauhmana perihal ini mempengaruhi budaya kerja TPR di Malaysia. Pastinya negara ini tidak mahu kehilangan barisan TPR yang berpengalaman dan cekap lantaran pengabaian terhadap perkara ini.

Harus juga difikirkan, para TPR ini berkelayakan professional yang memilih untuk berkhidmat kepada negara, sedangkan tawaran bidang swasta di luar sana adalah secara relatifnya lebih lumayan.

* Penulis adalah bekas Timbalan Pendakwa Raya dan kini mengkaji tentang undang-undang jenayah keganasan & terrorisme.

** Ini adalah pendapat peribadi penulis atau organisasi dan tidak semestinya menggambarkan pandangan Malay Mail Online.