10 OGOS — Nampaknya apa yang dikhuatiri oleh pihak berkuasa sebelum ini iaitu kemungkinan rantaian jangkitan Covid-19 akan terus merebak sekiranya rakyat alpa, hampir menjadi kenyataan.

Tatkala beberapa minggu lalu, bilangan kes baharu Covid-19 yang turun kepada satu angka secara konsisten, akhirnya kembali kepada dua angka. Lebih membimbangkan, semakin banyak kluster yang dikesan di seluruh negara.

Daripada kluster Sivagangga di Kedah kepada Kluster Kurau di Perak dan Meranti, di Putrajaya, semuanya ini amat menggusarkan kita semua.

Terbaru, kita disajikan dengan berita mengenai segelintir individu yang sepatutnya menjalani kuarantin di rumah, bertindak keluar rumah untuk bersiar-siar dan makan.

Advertisement

Keadaan di pusat membeli-belah juga tidak kurang hebatnya. Arahan telah dikeluarkan agar para pengunjung mengamalkan penjarakan fizikal tetapi ramai yang tidak mengedahkan nasihat tersebut.

Apa sebenarnya masalah individu-individu yang bebal ini? Apakah mereka tidak mengerti apa yang cuba disampaikan oleh pihak berkuasa? Mengapakah masih ada yang mereka terus mengingkari arahan yang dikeluarkan? Tidak terfikirkah anda perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut boleh membawa malapetaka yang cukup besar buat negara?

Pengumuman oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa Kerajaan mungkin terpaksa mengenakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya jumlah kes Covid-19 merupakan petanda bahawa ancaman Covid-19 di dalam negara masih ada. Seharusnya amaran ini diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Impak Covid-19 bukan hanya kepada kesihatan manusia semata-mata tetapi menjangkaui lebih daripada itu - politik, ekonomi, keselamatan dan lain lagi.

Advertisement

Justeru, kedegilan segelintir rakyat yang tidak mahu memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam yang sesak, bukan sahaja akan membantutkan segala usaha baik Kerajaan dalam menangani Covid-19 bahkan juga meletakkan nyawa orang lain dalam bahaya.

Janganlah kita bersikap degil seperti apa yang dipraktikkan oleh rakyat di Amerika Syarikat. Akibat kedegilan mereka, jumlah kes Covid-19 di Amerika kini hampir mencecah 5 juta orang dan peningkatan jangkitan berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan reda dalam tempoh terdekat.

Secara keseluruhannya, keadaan di Malaysia masih terkawal namun ini tidak bermakna orang ramai boleh kembali kepada rutin kebiasaan mereka. Ada sebab-musabab mengapa rakyat diminta untuk sentiasa mematuhi SOP. SOP yang dikeluarkan bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat tetapi sebaliknya untuk mendidik rakyat menjadi warga yang berdisiplin.

Rakyat perlulah memainkan peranan masing-masing bagi memastikan Malaysia bebas daripada pandemik ini dengan secepat mungkin. Seperti kata Perdana Menteri dalam ucapannya di kaca televisyen bahawa rakyat adalah barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

Berikanlah kerjasama kepada pihak berkuasa dan sentiasa mematuhi arahan/nasihat yang ditetapkan. Mudah-mudahan dengan kerjasama yang diberikan serta pematuhan SOP, rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.