12 JULAI — Sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, kita disajikan dengan berita-berita panas dalam arena politik negara. Daripada berita mengenai ketidaksepakatan Pakatan Harapan untuk menamakan calon Perdana Menteri mereka kepada isu undi tidak percaya terhadap YAB Perdana Menteri sehinggalah ura-ura mengenai kemungkinan diadakan pilihan raya umum secara mengejut pada tahun ini.

Dan kesemua berita ini berlaku tatkala negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP. Apa yang membingungkan dan malang sekali ialah ahli-ahli politik nampaknya lebih berminat untuk berpolitiking tanpa segan silu semata-mata untuk meraih simpati pengundi.

Jika nak berpolitiking sekalipun, pilihlah masa yang sesuai dan bukannya ketika negara bahkan di seantero dunia sedang bertarung untuk menewaskan Covid-19 yang masih mengganas. Dalam tempoh kritikal ini, semua pihak perlulah berganding bahu bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan dengan secepat mungkin.

Kepada ahli-ahli politik dari kedua-dua pihak, hormati juga perasaan dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU ke-14. Jangan sesekali beranggapan bahawa mandat yang diberikan setiap lima tahun sekali itu boleh diperkotak-katikkan secara sewenang-wenangnya.

Advertisement

Ingatlah, tugas anda sebagai seorang wakil rakyat adalah untuk berkhidmat dan bukannya bermain wayang. Ketika Rakyat kini terkesan teruk akibat Covid-19, inilah masanya untuk anda semua mempamerkan kematangan ketika berpolitik. 

Kematangan berpolitik yang dimaksudkan di sini ialah kesediaan pemimpin-pemimpin politik untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira masa dan dari kawasan mereka berada. Sentimen kepartian perlu diketepikan. Pada saat ketika Rakyat memerlukan seseorang untuk membantu mereka, inilah detiknya. Ini kesempatan yang perlu dimanfaatkan oleh wakil rakyat.

Wakil rakyat yang diundi perlulah membuktikan kepada pengundi bahawa mereka layak dan berhak untuk dipilih semula pada PRU ke-15 akan datang. Buktikan bahawa anda telah menunaikan mandat dan janji kepada rakyat, bukannya retorik semata-mata.

Advertisement

Namun demikian, jika amanah ini gagal dipikul dengan baik ataupun dikhianati oleh wakil rakyat, maka rakyat boleh membuat pilihan dengan lebih bijak selepas ini pada peti undi kelak. 

Apa yang ingin kita sebagai pengundi lihat ialah tindakan dan kejujuran wakil rakyat dalam memenuhi mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada mereka. 

Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.