8 JUN — Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diperkenalkan pada 4 Mei 2020 yang lalu, secara rasminya berakhir pada Selasa ini. 

PKPB bakal digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau ringkasnya PKPP mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos. Di bawah PKPP, hampir semua aktiviti dibenar beroperasi semula tetapi tertakluk kepada Prosedur Standard Operasi (SOP) dan kebenaran secara berperingkat.

Ini bermakna, aktiviti pelancongan domestik dibenarkan semula. Operasi perniagaan akan kembali kepada waktu seperti biasa. Begitu dengan aktiviti merentas negeri yang sebelum ini tidak dibenarkan sama sekali atas kebimbangan berlakunya penularan secara besar-besaran.

Seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya semalam, Kerajaan tidak mungkin dapat mengawal pergerakan rakyat untuk selama-lamanya. 

Advertisement

Apakah dengan pelaksanaan PKPP ini bermakna rakyat mula bebas untuk bergerak ke sana sini tanpa perlu menghiraukan situasi semasa? Jawapannya tidak. 

Tanggungjawab untuk membendung penularan pandemik COVID-19 terletak di tangan rakyat. Seharusnya, kelonggaran yang diberikan itu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Patuhilah segala SOP dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Rakyat perlulah mengamalkan tahap disiplin yang tinggi dan tidak terbawa-bawa dengan norma lama sebelumnya. Saranan Kerajaan kepada rakyat agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga perlulah dipandang serius dan diamalkan sepanjang masa.

Advertisement

Perlu ditegaskan di sini bahawa virus COVID-19 masih ada dalam komuniti kita. Jadi, senjata terbaik untuk mengekang jangkitan virus berkenaan adalah dengan mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan sentiasa membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer.

Misi untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 masih belum berakhir. Sekiranya rakyat alpa dan cuai, tidak mustahil virus tersebut akan terus mengganas. Pada ketika itu, segalanya mungkin sudah tidak berguna lagi. 

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.