4 MEI — Hari ini bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dalam erti kata lain, terdapat kelonggaran yang diberikan kepada hampir semua sektor ekonomi untuk kembali beroperasi.

Kelonggaran yang diberikan ini sangat signifikan kerana ia menandakan bermulanya proses ke arah memulakan kembali ekonomi negara yang tergendala semenjak tujuh (7) minggu lalu.

Sepanjang tempoh PKPB ini juga, kelonggaran turut diberikan kepada pergerakan orang ramai untuk kembali bekerja, berniaga dan sebagainya.

Namun demikian, ini tidak bermakna bahawa PKP sudah berakhir dan bermakna orang ramai sudah bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahukan.

Advertisement

Sebaliknya, kelonggaran yang diberikan ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Bermakna, jika anda tidak ada keperluan untuk keluar ke rumah, sila duduk di rumah. 

Bagi mereka yang mempunyai kewajipan yang perlu dilaksanakan, sentiasa berwaspada dan ambil langkah keselamatan serta kebersihan seperti penjarakan sosial, membasuh tangan menggunakan hand sanitizer, dan elak berkunjung ke kawasan tumpuan ramai.

Peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang kita lihat semenjak beberapa hari lalu merupakan satu ingatan kepada kita semua bahawa ancaman pandemik Covid-19 masih serius dan akan terus menjadi ancaman untuk satu tempoh yang panjang.

Advertisement

Rakyat haruslah bersedia untuk menerima kebiasaan baharu dan menerima hakikat bahawa tabiat lama yang pernah diamalkan sebelum ini, perlulah diubah. 

Di peringkat awal, mungkin penerimaan agak sukar tetapi lama-kelamaan, kebiasaan baharu ini akan menjadi satu kebiasaan yang biasa. Itulah yang diharap-harapkan.

Jangan biarkan usaha keras yang dicurahkan oleh barisan hadapan kita sepanjang tempoh beberapa bulan lalu dalam memerangi Covid-19 dibazirkan begitu sahaja.

Sesungguhnya, misi untuk menewaskan Covid-19 masih belum berakhir. Anda semua memainkan peranan penting dalam misi ini.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.