13 APRIL — Seperti yang dijangka, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini, telah dilanjutkan lagi sehingga 28 April depan. Ia merupakan lanjutan kedua sejak PKP mula dikuat kuasakan pada 18 Mac 2020 lalu.

Lanjutan tersebut diambil sebagai langkah berterusan Kerajaan untuk mengurangkan jumlah jangkitan saban hari yang masih mencatatkan purata lebih 100 kes positif Covid-19.

Mungkin ramai antara kita yang tidak sabar untuk menjalani kehidupan biasa seperti sedia kala. Namun begitu, keadaan sekarang tidak memungkinkan perkara itu untuk berlaku.

Hakikatnya seperti kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini adalah kebiasaan baharu atau “the new normal.”  Bermakna, apa yang biasa dibuat dahulu, tidak boleh dilakukan lagi bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Advertisement

Dalam erti kata lain, kehidupan rakyat untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. Contoh mudah, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan apabila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ia dianggap janggal atau tak beradab.

Kepada mereka yang masih ingkar dan berdegil untuk keluar rumah, janganlah memaki-hamun dan menyalahkan pihak polis jika mereka bertindak tegas terhadap anda. 

Ada peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi. Sekiranya gagal dipatuhi, ia boleh memberi impak yang amat dahsyat. Malah, kegagalan mematuhi PKP boleh menyebabkan jumlah jangkitan semakin naik dan sekaligus menyukarkan usaha Kerajaan untuk mematahkan rangkaian jangkitan Covid-19.

Advertisement

Justeru, janganlah bersikap pentingkan diri sahaja. Seluruh dunia kini dilanda pandemik Covid-19 yang meruncing. Adakah anda mahu melihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat, Itali dan Sepanyol berlaku di Malaysia? Bukanlah sesuatu yang sukar untuk tinggal di rumah. Semuanya dibuat untuk kebaikan bersama. Arahan telah diberikan. Begitu juga dengan nasihat  dan kempen kesedaran mengenai bahayanya Covid-19 kepada rakyat.

Tidak dinafikan ini merupakan tempoh yang cukup mencabar dan membosankan. Akan tetapi, bersabarlah wahai rakyat Malaysia. Patuhlah kepada arahan yang diberikan oleh Kerajaan agar penularan pandemik Covid-19 dapat ditangani dengan secepat mungkin. 

Lagi cepat pandemik ini dapat ditangani, bermakna rakyat di negara kita boleh memulakan kembali kehidupan seperti biasa sekaligus membantu Kerajaan merancakkan kembali ekonomi negara.

Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.