23 MAC — Penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia nampaknya semakin membimbangkan. Jika beberapa bulan yang lalu, China merupakan pusat utama wabak berkenaan, kini ia telah pun merebak ke lebih 160 negara di seantero dunia.

Itali, Iran, Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat, Brazil dan banyak lagi negara kini terpaksa berhadapan dengan situasi kritikal ini yang dijangka berlarutan untuk suatu tempoh yang lama.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima tempias tersebut. Setakat 22 Mac, negara kita telah mencatatkan sejumlah 1,306 kes dengan 10 kematian. Angka ini juga meletakkan Malaysia berada pada kedudukan teratas dalam kalangan negara-negara Asean yang dilanda Covid-19.

Perkembangan ini sudah pasti mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penduduk mengenai kesiapsiagaan pihak hospital dalam berhadapan dengan situasi yang semakin memburuk. 

Advertisement

Pengumuman oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik baru-baru ini, turut menambahkan lagi kegelisahan tersebut.

Yang pasti, penularan wabak Covid-19 ketika ini menyebabkan umat manusia di seluruh dunia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa yang baharu, sesuatu yang belum pernah dialami sebelumnya.

Apa yang penting di sebalik ketidaktentuan itu, mereka tidak perlu panik dan melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan suasana yang boleh mengundang reaksi yang lebih dahsyat. 

Advertisement

Sebaliknya, kesempatan ini harus dimanfaatkan dengan upacara sembahyang dan sentiasa menjaga kebersihan diri iaitu dengan membasuh tangan menggunakan hand sanitizer. Meskipun banyak aktiviti seharian terpaksa ditangguh atau dibatalkan, namun itu tidak harus dijadikan alasan untuk tidak berbuat apa-apa dan menerima takdir seadanya.

Tidak dinafikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia telah meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa minggu lalu, namun satu aspek yang mungkin tidak mendapat perhatian media adalah jumlah pesakit yang telah pulih daripada wabak Covid-19. Setakat 22 Mac, seramai 139 pesakit yang telah disahkan pulih.

Ini bermakna, peluang untuk pulih masih ada. Berbekalkan langkah-langkah mitigasi yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah pesakit yang akan pulih, diyakini akan meningkat dan terbukti, angka berkenaan kian hari kian meningkat.

Kita kini berada dalam situasi yang cukup mencabar dan genting. Ini bukanlah masanya untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak mahupun mendapatkan jawapan daripada pihak berkuasa mengenai siapa yang harus dipersalahkan, tetapi inilah masanya untuk kita semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, bantu-membantu antara satu sama lain. 

Ketika ini, Perintah Kawalan Pergerakan sedang berkuat kuasa sehingga 31 Mac depan dan adalah diharapkan semua rakyat Malaysia mematuhi perintah ini bagi membantu pihak berkuasa memutuskan rantaian wabak ini.

Fokus sekarang adalah mengekang penularan wabak Covid-19! Marilah kita sama-sama mendoakan agar Malaysia akan dapat menangani penularan wabak ini dengan baik.

Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.