3 FEB — Sepanjang dua minggu ini, dunia digemparkan dengan penyebaran Coronavirus yang kini sudah meragut lebih 300 nyawa di 24 buah negara di seluruh dunia.

Penyebaran Coronavirus yang begitu cepat itu akhirnya memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengisytiharkan darurat kesihatan awam global, baru-baru ini.

Episod hitam ini juga mengingatkan kita kembali kepada situasi yang serupa pada 2002 dan 2003 apabila dunia ketika itu dilanda Sindrom Akut Pernafasan Teruk atau ringkasnya SARS.

Bimbang dengan penyebaran Coronavirus itu, rata-rata penduduk di serata dunia termasuk di Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga dengan membeli topeng muka dalam bilangan yang banyak.

Advertisement

Tinjauan di kebanyakan farmasi di ibu negara sepanjang minggu lalu, menunjukkan bahawa stok topeng muka telah habis dijual. 

Perkembangan tersebut adalah seiring dengan trend di negara-negara lain yang dijangkiti virus berkenaan. Bagaimanapun, di sebalik kesiapsiagaan dan sikap berhati-hati para penduduk terhadap penyebaran virus itu, apakah kita harus memberikan reaksi berlebihan terhadap krisis ini?

Misalnya, menyebarkan berita-berita yang tidak sahih ataupun membeli topeng muka dalam kuantiti banyak? Apakah ada keperluan untuk berbuat demikian?

Advertisement

Pada ketika dunia kini dalam situasi berjaga-jaga, alangkah baiknya jika setiap daripada kita memainkan peranan yang lebih signifikan dan bermakna bagi mengurangkan kebimbangan dan bukannya untuk menambahkan amarah.

Oleh yang demikian, janganlah sesekali menjadi masyarakat yang kiasu dan bebal. Ini bukanlah masanya untuk menyebarkan khabar angin semata-mata untuk mengeruhkan keadaan. 

Sebaliknya, ini adalah masa untuk semua pihak berganding bahu dalam mencari penyelesaian atau penawar kepada penyebaran virus yang berbahaya. Amatlah penting untuk pihak berkuasa mengambil iktibar di sebalik krisis ini untuk memastikan mereka lebih bersedia berhadapan dengan krisis pada skala yang sebegini besar sekaligus meredakan situasi panik dalam kalangan rakyat.

Mudah-mudahan dengan segala langkah proaktif yang telah diambil, penyebaran Coronavirus ini dapat dibendung!

Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.