6 JANUARI — Pada tanggal 2 Januari 2020 lalu, arena politik negara dikejutkan dengan berita peletakan jawatan oleh Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan Malaysia.

Peletakan jawatan tersebut menurut kebanyakan laporan media ada kaitannya dengan pelbagai kontroversi yang menimpa Dr Maszlee semenjak beliau menerajui Kementerian berkenaan kira-kira 20 bulan yang lalu.

Daripada isu kasut hitam, Jawi, program Sarapan Pagi untuk pelajar dan bermacam-macam lagi, semuanya mendapat kritikan hebat dalam kalangan rakyat marhaen.

Keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan bukanlah keputusan mudah tetapi menuntut keberanian dan pengorbanan untuk berbuat demikian.

Advertisement

Ya, barangkali beliau sudah mendapat isyarat bahawa tindak-tanduknya selama 20 bulan kurang disenangi kerana pemikirannya yang berbeza. Apa yang dirasakan bagus oleh Menteri tidak semestinya disambut baik oleh rakyat.

Begitulah resam kehidupan sebagai seorang pemimpin politik. Yang banyak bercakap tidak semestinya akan berjaya dan yang bersikap jujur dengan perjuangan tidak semesti juga bertahan lama dalam dunia politik yang penuh kepalsuan.

Sebaliknya, mereka yang bijak mengatur strategi umpama pemikir strategis perang terkenal dan berupaya menyesuaikan diri dalam segala jua keadaan, merekalah yang akan berjaya nanti. Dalam arena politik, seseorang pemimpin itu tidak boleh terlalu “nice” dan perlu tegas membuat keputusan biarpun sukar.

Advertisement

Apapun, soal mengenai kewajaran Dr Maszlee meletak jawatan bukanlah perbincangan pokok dalam artikel ini. Apa yang menarik perhatian penulis ialah sikap manusia apabila dilanda masalah.

Kelazimannya, jika ada berlaku sesuatu masalah atau krisis, apa reaksi kita? Lari, menyalahkan orang lain ataupun berhadapan masalah dengan tabah? Kebarangkaliannya, ramai mungkin memilih opsyen pertama ataupun yang kedua.

Opsyen ketiga bukan menjadi pilihan kerana pada pendapat mereka, mengapa mereka perlu memerah otak dan berfikir cara penyelesaian jika ada jalan pintas untuk menyelesaikannya?

Kita lebih cenderung memilih untuk lari daripada berhadapan dengan situasi sedemikian. Sebabnya? Mereka ego. Mereka tidak mahu dilihat sebagai seorang individu yang lemah. Hanya orang lemah sahajalah yang akan mengaku kalah. Orang yang kuat akan sentiasa cuba melawan dan mencari penyelesaiannya.

Tetapi, apakah itu cara terbaik untuk kita menjalani kehidupan?Mengapakah kita lebih suka untuk mengadu-domba, gosip, fitnah dan menyusahkan orang lain? Apakah tindakan itu akan membuatkan kita lebih senang hati? Percayalah sifat manusia yang sebenar akan terbongkar jua apabila mereka didatangi dengan masalah atau krisis.

Alangkah baiknya jika kita dapat menjadi seorang insan yang bukan sahaja berani berhadapan dengan segala cabaran dengan tabah tetapi juga insan yang jujur dan berperwatakan mulia.

Malangnya, bukan semua yang berfikiran seperti kita!

*Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.