3 DISEMBER ― Sepanjang minggu lalu, berita utama yang mendominasi liputan di muka hadapan kebanyakan akhbar dan portal berita, sudah tentunya insiden rusuhan di sebuah kuil Hindu, di Seafield, Petaling Jaya.

Pelbagai teori dan desas-desus disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berhubung insiden tersebut. Ada yang menyifatkan ia sebagai insiden perkauman dan tidak kurang juga, sebab-sebab lain.

Namun demikian, usahlah mana-mana pihak membuat sebarang komen atau menyebarkan berita palsu yang bukan-bukan berhubung insiden sedemikian jika kita tidak tahu selok-belok cerita.

Dalam konteks ini, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat. Siasatan terperinci adalah kritikal bagi memastikan hanya dalang-dalang terlibat diheret ke muka pengadilan dan memberi isyarat tegas kepada mana-mana individu atau pihak bahawa perbuatan merusuh tidak ada tempat di negara ini.

Advertisement

Satu trend yang agak membimbangkan muktahir ini ialah orang awam cepat menjatuh hukum dan marah tanpa mengetahui perkara sebenar di sebalik sesuatu isu. Apabila orang lain marah dan panas, mereka juga turut ikut sama tanpa berfikir dua kali. Tindakan terbabit bukan sahaja tidak membantu malah hanya akan memburukkan keadaan.

Dalam menangani isu-isu panas khasnya dalam sebuah masyarakat majmuk, amatlah penting untuk kita semua bertenang dan mencari titik tengah kepada konflik yang timbul. Jika ada sesuatu yang tidak dipersetujui, duduk semeja dan berbincang dalam semangat kekitaan dan muafakat. Nescaya, kata sepakat dapat dicapai.

Pada masa yang sama juga, elak daripada dibuai emosi melampau dan terikut-ikut dengan sentimen semasa. Gunakan kebijaksanaan yang diberikan untuk menilai isu-isu secara rasional dan tenang, Hanya apabila isu-isu itu dinilai secara rasional dan tenang, kita akan mendapat gambaran yang sebenar.

Advertisement

Kepada pemimpin-pemimpin politik pula, usahlah menangguk di air keruh dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak kena pada tempat. Ini bukanlah masanya untuk menuding jari ataupun melepaskan geram terhadap pihak tertentu.

Bagi kalangan rakyat, inilah masanya untuk kita semua tanpa mengira kaum, agama mahupun budaya untuk bersatu tenaga dan berganding bahu untuk memajukan negara tercinta ini ke era yang lebih gemilang. Apabila Malaysia kembali ke landasan yang terbaik, pastinya manfaat akan turut dinikmati oleh semua rakyat di negara ini.

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.