FEBRUARI 2 — Semoga drama penuh mendebarkan yang sedang dipersembahkan oleh para pelakon hebat dari MIC tidak memesongkan perhatian dan tumpuan masyarakat daripada isu sebenar, bitara dan terpenting yang kononnya menjamin kejayaan dan mobiliti sosial kaum India di Malaysia.

Kata-kata berkenaan yang saya paparkan di Facebook pada 29 Januari 2015 tentu sahaja bertujuan menjentik pemikiran kritikal rakan-rakan pelbagai kaum yang saya andaikan turut mengikuti perkembangan krisis MIC yang semakin parah sejak belakangan ini.

Isu-isu lain yang dimaksudkan adalah isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Bahasa Tamil dan kuil. Ketiga-tiga isu serangkai ini merupakan modal terpenting bagi politikus kaum India – khususnya MIC – untuk terus memanipulasi masyarakat demi kepentingan peribadi dan kelangsungan parti.

Sepanjang Disember 2014, pernah ada promosi khas disiarkan sekurang-kurangnya sekali setiap jam menerusi MinnalFM (stesen radio Tamil milik kerajaan) bagi menggesa ibu bapa Tamil menghantar anak-anak ke SJKT kerana “sekolah Tamil adalah identiti kaum kita”.

Advertisement

Hakikat yang mungkin boleh dipertikaikan tetapi tidak dapat dinafikan adalah bahawa sejak MIC ditubuhkan pada tahun 1946, isu Bahasa Tamil, SJKT dan kuil Hindu (termasuk kuil-kuil kecil di bawah pokok) menjadi modal kepada politikus untuk terus meletakkan kaum India di bawah paduka (tapak kaki).

Apabila fakta-fakta sebenar seperti ini disebut, tentu sahaja akan menimbulkan keresahan, kemarahan dan kecaman daripada kelompok politikus dan juak-juak mereka. Maklumlah, realiti akan diketahui umum.

Sama sahaja seperti kisah Datuk Guluji (Malay Mail Online, 11 Februari 2014) yang memanipulasi kejahilan masyarakat India-Hindu demi kepentingan peribadi dan kewangan sejak lebih sedekad lalu.

Advertisement

Dalam isu SJKT dan Bahasa Tamil, politikus yang menggesa masyarakat India menghantar anak-anak ke SJKT “demi jati diri, bahasa, maruah, budaya dan identiti kaum” sebenarnya tidak pula meletakkan syarat sama bagi anak-cucu mereka.

Perkara ini turut dipersetujui beberapa orang yang mengirim mesej peribadi menerusi Facebook dan e-mel selepas membaca paparan saya tempoh hari. Salah seorang menggunakan istilah “Wrong Formula” dan “Right Formula” untuk menjelaskan hal ini.

Anak-anak politikus, guru besar umpama dewa kayangan

Secara mudah, politikus kaum India meminta masyarakat terus mengagung-agungkan SJKT tetapi keluarga dan keturunan mereka sendiri tidak belajar di SJKT. Mereka sedar akan segala kelemahan pada sistem pendidikan di SJKT lalu mengelak daripada menghantar anak-anak ke sana.

Ibu bapa diseru memilih SJKT kerana ia dilabel identiti kaum. — Gambar oleh Uthaya Sankar
Ibu bapa diseru memilih SJKT kerana ia dilabel identiti kaum. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Itulah yang dimaksudkan dengan tindakan menyumbat “Wrong Formula” ke dalam minda masyarakat umum sementara pemimpin politik memilih “Right Formula” yang akan memastikan jurai keturunan mereka terus berada di atas dari segi pendidikan, politik, status sosial dan ekonomi.

Bercakap mengenai SJKT, perlulah diingatkan dan ditegaskan bahawa ada perbezaan antara SJKT dan Bahasa Tamil serta budaya Tamil. Apabila kita mengkritik kelemahan sistem pendidikan di SJKT tidak bermakna kita menghina Bahasa Tamil, budaya Tamil dan jati diri kaum India.

Sekadar contoh mudah: Apabila orang ramai mengkritik Umno atau MIC, tidak bermakna orang ramai membenci orang Melayu atau orang India. Apa yang dikritik adalah sebuah parti politik yang kebetulan “memanipulasi” sentimen kaum dan perkauman.

Begitulah juga, apabila kita mengkritik SJKT, kita memperkatakan tentang kelemahan sebuah sistem pendidikan yang memanipulasi sentimen kaum, perkauman, agama dan bahasa ibunda demi kepentingan politik.

Gambaran yang sentiasa diberikan adalah seolah-olah jika ibu bapa kaum India tidak menghantar anak-anak ke SJKT, maka seluruh keluarga berkenaan tidak lagi mencintai/menguasai Bahasa Tamil, tidak lagi mencintai/mengamalkan budaya India, serta tidak lagi ada jati diri.

Anehnya, tuduhan yang sama tidak pula dilemparkan apabila politikus dan guru besar SJKT “terlupa” menghantar anak-cucu ke SJKT. Seolah-olah mereka adalah vasu (dewa-dewi) dari kayangan dan hanya layak belajar di negara atas angin.

MIC sentiasa mendabik dada dan berkata bahawa itulah satu-satunya parti politik yang layak mewakili kaum India di Malaysia. Begitulah juga, suatu gambaran maya (ilusi) sudah dicipta kononnya hanya SJKT mampu menjamin Bahasa Tamil, sastera Tamil, budaya Tamil, jati diri Tamil dan segala yang “Tamil” terus kekal di Malaysia.

Daripada pengalaman sendiri, saya berani mengatakan bahawa sebuah keluarga yang tidak pernah belajar di SJKT (serta tidak menjadi ahli MIC) masih mampu memartabatkan Bahasa Tamil, mengenali sastera Tamil dan mempertahankan budaya serta jati diri kaum India. Jangan sesekali tertipu dengan propaganda yang sebaliknya.

Hubungan platonik yang menguntungkan

Sekiranya dikaji dengan teliti, ada hubungan erat antara politikus MIC dan kebanyakan guru besar SJKT. Hal ini pernah dihuraikan menerusi makalah bertajuk “Tentang Guru Besar SJKT” (The Malaysian Insider, 3 Disember 2012).

Bahasa Tamil sering dianggap sumber tunggal mengenali agama Hindu. — Gambar oleh Uthaya Sankar
Bahasa Tamil sering dianggap sumber tunggal mengenali agama Hindu. — Gambar oleh Uthaya Sankar

Politikus kaum India “perlu” berjuang mengekalkan SJKT demi periuk nasi sendiri dan kelangsungan politik keturunannya. Begitulah juga halnya dengan kebanyakan guru besar SJKT yang “terpaksa” mempertahankan SJKT. Kalau tidak percaya, cuba semak berapa ramai guru besar berkenaan adalah pemegang jawatan dalam MIC bahagian.

Hubungan MIC dan SJKT bagai aur dengan tebing. Bagai isi dengan kuku. Bagai lalat dengan najis (peribahasa Tamil). Bagai telur sesangkar, pecah sebiji, pecah semuanya. Wujud hubungan platonik yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Sama ada anggota masyarakat, ahli parti dan murid-murid menerima sebarang keuntungan dan kesan baik daripada hubungan platonik ini adalah di luar bidang keprihatinan mereka. Selagi SJKT terus wujud, selagi itulah MIC dan guru besar SJKT boleh terus menikmati habuan yang diinginkan.

Analisis yang dilakukan ini bukan bertujuan menuduh sesiapa tetapi berusaha membuka minda masyarakat pelbagai kaum untuk memikirkan realiti sebenar kewujudan SJKT. Apalah gunanya SJKT sekiranya ia sekadar menjadi kuda tunggangan politikus untuk terus berkuasa.

Sebelum ada pihak melenting dan terloncat-loncat penuh emosi, eloklah bertenang sebentar dan memikirkan segala hujah ini dengan tenang dan minda terbuka. Jangan biarkan sentimen etnosentrik, perkauman dan fanatik mengaburi mata dan minda.

Pertama sekali, ingat dan sedarlah bahawa apa yang dikritik di sini bukan SJKT, Bahasa Tamil dan identiti serta jati diri orang Tamil yang sering dikaitkan dengannya. Apa yang diperkatakan adalah tentang wujudnya hubungan politik, materialistik, individualistik dan kapitalisme antara politikus dan SJKT.

Malangnya, segala keuntungan hanya dinikmati sebelah pihak. Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalurkan dana kepada SJKT kerana gabungan parti politik itu memang sedar akan “kuasa” kuil, bahasa Tamil, SJKT dan sekampit beras dalam menjamin “pulangan” undi dan “nambikei” semasa pilihan raya.

Masyarakat umpama lembu yang dicucuk hidung

Dana yang dihulurkan dengan penuh murah hati oleh BN pula sering – hampir setiap kali – disalurkan melalui MIC. Jika kita rajin bertanya, mengambil tahu dan membuat tinjauan susulan, maka akan nampak wujudnya ketirisan (istilah kegemaran politikus) yang tidak pula dipersoalkan oleh sesiapa.

Akhirnya dana yang disalurkan itu tidak sampai sepenuhnya kepada kumpulan sasaran. Ke mana perginya segala sumbangan dana itu masih suatu misteri yang belum terjawab. Maklumlah, masakan BN/Umno akan meminta MIC disiasat sedangkan mereka tidur dalam selimut yang sama.

Masakan PIBG dan guru-guru berani bersuara sedangkan mereka tahu rata-rata guru besar ada “kabel kuat” dalam MIC. Menyentuh soal ketirisan dalam dana yang disalurkan oleh BN untuk SJKT samalah seperti menyentuh kabel elektrik bervoltan tinggi.

Apakah bahasa dan sastera Tamil akan pupus tanpa SJKT? — Gambar oleh Uthaya Sankar
Apakah bahasa dan sastera Tamil akan pupus tanpa SJKT? — Gambar oleh Uthaya Sankar

Voltan tinggi masih mengalir deras walaupun MIC kini sedang dilanda krisis kepimpinan yang amat teruk. Juak-juak di dalam dan di luar parti, serta pemimpin veteran Umno sendiri sudah semakin lantang “menyarankan” supaya Datuk Seri G Palanivel melepaskan jawatan presiden MIC.

Perubahan pucuk pimpinan MIC pasti tidak akan mengubah hubungan platonik MIC-SJKT yang wujud sejak lebih lima dekad lalu. Biar siapa pun menjadi presiden MIC, rata-rata guru besar SJKT akan tampil menyatakan sokongan tidak berbelah-bagi.

Demikian antara hasil perkongsian hujah bersama beberapa orang yang meminta identiti mereka dirahsiakan. Maklumlah, mereka tidak mahu dipulaukan MIC dan pejuang SJKT yang terlalu fanatik.

Kebimbangan ini amat berasas kerana masih ramai yang belum cukup pintar untuk membezakan antara MIC, SJKT, Bahasa Tamil dan jati diri orang Tamil. Bagi mereka MIC = SJKT = Bahasa Tamil = budaya Tamil = maruah Tamil.

Maka mudahlah untuk politikus terus memanipulasi kaum India supaya kekal sebagai komoditi serupa lembu yang boleh diperah susu dalam bentuk duit dan undi.

Susu itu – duit dan undi – bukan untuk si lembu dan anak-anaknya, tetapi untuk membuncitkan perut dan kocek politikus yang licik dan keturunannya.

Sampai bilakah lingkaran syaitan (vicious circle) ini akan berterusan? Bertanyalah kepada imej yang muncul pada cermin muka pada setiap pagi.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis.