29 DISEMBER ― Bayangkan jika Abraham Kovoor (1898-1978) masih ada dan beliau datang bertemu Datuk Guluji untuk menguji kuasa ajaib yang konon dimilikinya.

Khayalan ini muncul dalam minda pada 24 Disember 2014, iaitu sehari sebelum saya menonton filem Hindi “PK” (2014) di pawagam.

Perwatakan makhluk asing yang dilakonkan oleh Aamir Khan dalam filem itu memang terinspirasi daripada hasil kajian Abraham. Beliau mencabar para guruji dan tokoh agama yang kononnya memiliki mukjizat dan kuasa ajaib pemberian Tuhan.

Hasil kajian dan penyelidikan Abraham berkaitan manipulasi golongan guruji (termasuk yogi, siddha dan swamiji) turut menjadi bahan cerita bagi filem-filem seperti Punarjanmam (Malayalam, 1972), Maru Piravi (Tamil, 1973) dan Ninthakatha (Telugu).

Advertisement

Pensyarah, pengkaji dan tokoh rasionalis ini memang terkenal di India dan Sri Lanka kerana berani mencabar golongan guruji (“tuan guru”) di kedua-dua negara berkenaan supaya tampil membuktikan kuasa ajaib yang kononnya mereka miliki.

Abraham turut menulis buku dan makalah untuk mendedahkan secara saintifik cara-cara golongan guruji berkenaan menipu orang ramai. Buku-buku tulisannya terdapat dalam bahasa Inggeris, Tamil, Hindi, Malayalam, Kannada, Punjabi dan Sinhala.

Sekiranya kita berpeluang menonton filem “PK” maka kita akan dapat memahami sedikit-sebanyak pemikiran rasional yang dibawakan oleh tokoh berkenaan.

Advertisement

Untuk makluman, filem komedi romantik sepanjang 153 minit itu tidak menghina Tuhan atau mana-mana agama. Sebaliknya, mencabar minda penonton untuk memahami perbezaan antara “Tuhan yang mencipta manusia” dan “Tuhan yang dicipta oleh manusia”.

Pada tahun 1963, Abraham menawarkan hadiah 100,000 Rupee (Sri Lanka) kepada mana-mana guruji yang berjaya melakukan salah satu daripada 23 cabaran yang disenaraikan.

Golongan guruji yang kononnya memiliki kuasa ajaib dan anugerah istimewa daripada Tuhan diundang membuktikan “mukjizat” itu tanpa sebarang tipu-daya, penipuan, silap mata dan manipulasi.

Cabaran “kacang” yang tidak berani disahut

Sekiranya diperhatikan, cabaran yang dikemukakan itu “kacang” (mudah) sahaja bagi mana-mana individu jika memang memiliki kuasa ajaib dan mukjizat seperti didakwa.

Misalnya, mereka hanya perlu membacakan nombor siri pada sekeping wang kertas yang disembunyikan. Atau menggunakan kuasa mereka untuk menghasilkan replika sekeping wang kertas.

Cabaran ini tentulah tidak susah kerana golongan guruji selalu didakwa mampu menggerak-gerakkan jari dan tiba-tiba abu putih (vibuthi) atau rantai emas muncul pada tapak tangan.

Golongan guruji juga dicabar oleh Abraham supaya menggerakkan atau membengkokkan sesuatu objek menggunakan kuasa psikokinetik yang kononnya mereka miliki.

Bagi kita yang biasa menonton rancangan magik di televisyen tentu sudah tahu bagaimana segala silap mata itu dilakukan. Bagaimanapun, golongan guruji dicabar melakukannya tanpa sebarang silap mata (penipuan dan manipulasi).

Cabaran lain termasuk membaca minda seseorang dengan kuasa telepati atau psikik, terapung di udara dengan kuasa yogik, berhenti bernafas selama 30 minit, berjalan di atas permukaan air (bukan ais!) atau menukar air menjadi petrol.

Sehingga Abraham meninggal dunia pada 1978, tidak ada sesiapa yang berjaya melakukan mana-mana satu cabaran yang disenaraikan.

Hal ini tentulah menghairankan kerana golongan guruji secara mudah sahaja sering tampil menunjukkan kehebatan melakukan perkara hampir sama di hadapan para pengikut tegar mereka.

Sekiranya diperhatikan, sejak tahun 1922, terdapat sekurang-kurangnya 30 individu atau pertubuhan di seluruh dunia yang menawarkan hadiah lumayan kepada mana-mana guruji (swamiji, yogi, mahan, siddha dan sebagainya) yang dapat membuktikan kuasa ajaib dan “mukjizat” yang kononnya mereka miliki.

Sehingga makalah ini ditulis, tidak ada satu pun hadiah berkenaan berjaya dimenangi. Memang ada orang yang cuba berjalan di atas permukaan air tetapi dilaporkan terus tenggelam sebaik memulakan langkah pertama.

Sathya Sai Baba memulihkan tubuh yang lumpuh

Makalah bertajuk “Pendedahan teknik guruji” (Malay Mail Online, 11 Februari 2014) menyentuh mengenai manipulasi, hipnosis, ilmu pukau dan sebagainya yang digunakan kelompok guruji tertentu di Malaysia.

Abraham Kovoor berjaya membuktikan penipuan golongan guruji palsu. ― Foto dari Uthaya Sankar
Abraham Kovoor berjaya membuktikan penipuan golongan guruji palsu. ― Foto dari Uthaya Sankar

Datuk Guluji merupakan salah seorang guruji yang paling dipuja dan paling dibenci. Hal ini nyata menerusi komunikasi saya dengan pelbagai kelompok masyarakat kaum India sejak November 2013 untuk mendapatkan maklumat.

Pentaksub dan pengikut setia percaya bahawa Datuk Guluji adalah “dewa” yang bakal menyelamatkan mereka menggunakan “mukjizat” yang dimilikinya. Golongan rasional dan bekas pengikut pula menyedari bahawa Datuk Guluji adalah penipu besar.

Tuduhan seperti ini mungkin membuatkan pihak tertentu (pentaksub) marah. Akan tetapi, jangan kita lupa bahawa Sathya Sai Baba (1926-2011) juga pernah melalui segala cabaran kecil seperti ini sehingga ke akhir hayat.

Menurut laporan, pada tahun 1940, menjelang usia 14 tahun, Sathya Narayana Raju mengisytiharkan dirinya sebagai reinkarnasi Shirdi Sai Baba, tokoh spiritual dari Maharashtra, India yang meninggal dunia pada 1918.

Pada tahun 1963, Sathya Sai Baba mengalami strok dan empat kali serangan sakit jantung. Akibatnya dia lumpuh sebelah tubuh. Bagaimanapun, dalam suatu acara besar-besaran di hadapan ribuan pengikut, dia dikatakan berjaya memulihkan dirinya sendiri.

Terdapat ramai pengikut setia Shirdi Sai Baba dan Sathya Sai Baba di Malaysia. Sekiranya diperhatikan, sejak sedekad lalu, semakin banyak rumah kedai diubahsuai menjadi pusat Sai Baba bagi menampung jumlah pengikut yang bertambah secara mendadak.

Para pengikut setia ini tentu maklum bagaimana pada 1972, Abraham menyelar Sathya Sai Baba berikutan berita kononnya guruji itu berjaya “mencipta” (menghasilkan menggunakan kuasa ajaib) model terbaru jam tangan Seiko.

Menurut laporan Outlook India (2 November 2009), ibu pejabat syarikat Seiko di Tokyo, Jepun mengesahkan berita itu sebagai palsu. Apabila Abraham menulis mengenai perkara itu, tidak ada sebarang reaksi daripada pihak Sathya Sai Baba.

Sokongan kuasawan dan politikus

Pada 1976, seorang lagi rasionalis, Hosur Narasimhaiah menghantar tiga surat untuk mengajak Sathya Sai Baba tampil membuktikan kuasa ajaib yang konon dimilikinya. Bagaimanapun Erlendur Haraldsson dalam bukunya Miracles Are My Visiting Cards (1997) merekodkan bahawa kesemua surat itu tidak dilayan.

Selepas Abraham meninggal dunia, usaha membuktikan penipuan golongan guruji palsu diteruskan oleh Basava Premanand (1930-2009) dari India, khususnya menerusi penerbitan majalah bulanan Indian Sceptic.

Basava antara lain menulis buku berjudul Science Versus Miracles yang mendedahkan penipuan di sebalik 150 “keajaiban” yang konon dilakukan sejumlah guruji di serata India.

Tentu sahaja contoh-contoh yang dikemukakan dalam makalah ini tidak bertujuan memperlekeh sesiapa. Sebaliknya sekadar merujuk beberapa kes sebenar yang boleh juga dibaca di media dalam talian.

Pengalaman menonton filem “PK” dan pembacaan sedikit maklumat mengenai Abraham membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana agaknya reaksi Datuk Guluji dan kelompok guruji lain di Malaysia, sekiranya golongan rasionalis tampil mencabar mereka.

Bagaimana agaknya jika Datuk Guluji dan kelompok guruji (termasuk swamiji dan segala ji) diminta membuktikan kuasa sebenar yang mereka miliki tanpa sebarang manipulasi, lakonan dan silap mata?

Sathya Sai Baba dikatakan ada hubungan baik dengan golongan elit dan kuasawan di India (BBC News, Jun 2004). Kuasa itu khabarnya digunakan untuk memastikan tidak ada sesiapa yang boleh menggugat kedudukannya atau mempersoalkan kuasa ajaib yang dimilikinya.

Khalayak yang berpeluang menonton filem “PK” pasti akan lebih memahami isu yang dibincangkan di sini. Khususnya mengenai golongan guruji yang mampu menipu ribuan pengikut dengan penuh licik. Cuma dalam filem “PK” tidak ditunjukkan pengaruh politikus.

Apakah Datuk Guluji juga mempunyai hubungan platonik dengan kuasawan dan politikus? Jika begitu, kalaulah rasionalis seperti Abharam dan Basava dilahirkan semula sekalipun, pengaruh serta manipulasi Datuk Guluji tidak akan berkurangan.

Atau mungkinkah kita perlu menunggu kedatangan makhluk asing menyerupai Aamir Khan untuk membantu menyedarkan kita tentang apa yang sebenarnya sedang berlaku di depan mata?

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Malay Mail Online.