DISEMBER1 — Tindakan Datuk Seri Najib Razak menggunakan platform Perhimpunan Agung Umno untuk mengumumkan keputusan tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948 mendapat reaksi pelbagai pihak.

Seperti yang dapat diagak, ahli Umno serta para penyokong, juak-juak dan kumpulan pengampu memuji-muji serta mengalu-alukan keputusan itu sebagai tindakan terbaik demi agama, bangsa dan negara.

Mereka seolah-olah belum cukup matang serta tidak memiliki pemikiran rasional untuk bertanya mengapa Najib hanya bertindak sebagai “presiden Umno” dan bukannya “perdana menteri” dalam hal ini.

Realiti lain yang ditonjolkan oleh tindakan Najib adalah bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya memang mengamalkan perangai “flip-lop” dan kata-kata yang diucapkan bukanlah “janji ditepati” atau “apa dikata dikota”. Sebaliknya “janji dicapati” dan “janji Melayu” semata-mata

Advertisement

Misalnya, pada 11 Julai 2012, Najib memberikan jaminan Akta Hasutan akan dimansuhkan. Pada November 2014, dia mengulangi jaminan itu. Tetapi apabila “masuk kandang kambing” maka Najib mengumumkan “Akta Hasutan akan terus dikekalkan. Malah akan dipertahan, diperkuat dan diperkukuhkan” (Bernama, 27 November 2014).

Ramai yang mula bising di laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter sebaik pengumuman itu dilakukan. Ramai juga yang memilih untuk membisu kerana bimbang akan didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mempersoalkan akta itu.

Saya berusaha mendapatkan pandangan dan reaksi rakan-rakan di Facebook. Perlu diakui bahawa tidak ramai yang berani mengemukakan komen untuk dimuatkan dalam makalah ini.

Advertisement

Mungkin mereka lupa bahawa tindakan membisu seperti itulah yang biasanya mampu memberikan kuasa kepada pemerintah untuk terus bermaharajalela dengan alasan “rakyat tidak bantah”.

Walau bagaimanapun, saya masih sempat mengumpulkan komen daripada beberapa orang. Ia mungkin sahaja pandangan peribadi tetapi boleh jadi turut mewakili “suara” pihak yang memilih untuk membisu atas pelbagai alasan peribadi.

Najib tidak ambil kira suara pengundi

Ketua Pemuda MIC dan Ketua Pemuda Umno mempunyai pandangan berbeza mengenai Akta Hasutan.  — Foto oleh Uthaya Sankar SB
Ketua Pemuda MIC dan Ketua Pemuda Umno mempunyai pandangan berbeza mengenai Akta Hasutan. — Foto oleh Uthaya Sankar SB

Pada penelitian saya, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Sivarraajh Chandran mungkin satu-satunya politikus muda BN yang berani bersuara mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam menggunakan Akta Hasutan.

“Pandangan jujur saya, selagi Ridhuan Tee Abdullah, Zulkiflee Noordin dan Ibrahim Ali tidak diambil tindakan (di bawah akta ini), agak sukar untuk meyakinkan golongan muda tentang ketelusan kerajaan menggunakan Akta Hasutan di negara ini.

“Jangan sampai rakyat menganggap Akta Hasutan sebagai akta untuk menyekat (suppress) kebangkitan rakyat terhadap sesuatu agama atau parti sahaja,” katanya tanpa menyebut agama/parti mana yang dimaksudkan.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa semakin ramai rakyat, aktivis, wartawan, penulis, ahli akademik dan seniman bangkit meminta Akta Hasutan yang sudah tidak relevan itu dimansuhkan.

Sebaliknya, Najib pula menegaskan bahawa keputusan mengekalkan akta itu – malah “dipertahan, diperkuat dan diperkukuhkan” – dibuat selepas mengambil kira pandangan majoriti.

“Kalau Akta Hasutan dikekalkan atas sebab ‘mendengar suara rakyat,’ pihak yang mahu akta berkenaan dimansuhkan bukan rakyatkah? Jika benar majoriti rakyat mahu akta itu dikekalkan, mana buktinya? Hasil undian dalam talian pun tiada,” bidas Wan Salman Wan Sallam, pelajar perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Reaksi turut diterima daripada Larry Emong Liang yang berasal dari Kanowit, Sarawak dan kini bekerja di Kuala Lumpur. Pada pandangannya, kita tidak memerlukan Akta Hasutan kerana ia dibimbangi akan digunakan sebagai alat untuk menindas hak dan menutup suara golongan minoriti.

“Saya tidak melihat di mana rasionalnya untuk Umno menggunakan akta itu bagi menghukum orang yang memperlekeh Melayu dan Islam. Seolah-olah Umno mempergunakan segala bentuk undang-undang di Malaysia untuk menjaga orang Melayu semata-mata.

“Pada masa sama, puak seperti Perkasa dan Isma dibiarkan terus-menerus memperlekeh kaum-kaum dan agama-agama lain. Ini bukan prinsip Islam yang saya kenal,” kata pemuda itu.

Kerajaan tidak jujur kepada rakyat

Sebelum dan selepas pilihan raya umum. Janji ditepati atau janji dicapati? — Foto oleh Uthaya Sankar SB
Sebelum dan selepas pilihan raya umum. Janji ditepati atau janji dicapati? — Foto oleh Uthaya Sankar SB

Pada penelitian Larry, Umno seakan-akan terlalu takut akan tumbang, lalu berusaha menyekat peluang, hak dan kebebasan orang lain. Larry juga meluahkan rasa sedih dan malu kerana hak asasi manusia disekat di sebuah negara yang menjunjung Islam sebagai agama persekutuan.

Calvin Pius Ohsey pula melihat tindakan Umno mengekalkan Akta Hasutan sebagai bukti kerajaan tidak bersikap jujur kepada rakyat. Hal ini kerana Najib pernah berjanji akan menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Nasional.

“Rakyat sedia maklum bahawa kerajaan telah menyalahgunakan akta ini untuk menahan ahli politik pembangkang dan aktivis yang memperjuangkan hak golongan minoriti tertindas. Semuanya demi mengukuhkan kuasa pemerintah.

“Maka, tidak keterlaluan jika saya mengandaikan Akta Hasutan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menyekat suara yang tidak senada dengan pemerintah dalam apa-apa isu,” kata pemuda kelahiran Ipoh, Perak yang kini bekerja di Shah Alam, Selangor.

Komen dan reaksi seperti ini mungkin dianggap keterlaluan dan menentang kerajaan. Akan tetapi, secara logik, komen-komen di atas amat rasional, benar dan tepat. Ia bukan fitnah atau hasutan. Sebaliknya sekadar menyatakan kebenaran dan hakikat di depan mata.

Walau apapun retorik dan kata-kata lunak digunakan oleh Najib selepas ini untuk melembutkan hati masyarakat, keyakinan majoriti rakyat kepada pepimpinannya serta pemerintahan Umno sudah merudum berikutan apa yang berlaku semasa Perhimpunan Agung Umno.

Para perwakilan sendiri sudah memberikan gambaran amat jelas bahawa Umno tidak lain dan tidak bukan sekadar sebuah parti politik dipenuhi puak rasis, etnosentrik, ultra kiasu, fanatik, pentaksub dan pelampau.

Segala imej buruk itu diburukkan lagi dengan tindakan Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan Najib sendiri melaung mempertahankan sebuah akta peninggalan penjajah British.

Mengulas perkara ini, Mohd Zaidi Md Zabri dari Kajang, Selangor mengaku tidak sedikit pun terkejut dengan apa yang berlaku. Calon ijazah kedoktoran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berasal dari Ipoh, Perak meluahkan rasa kecewa dengan apa yang sedang berlaku.

Nasihat rakyat kepada Najib

“Janji demi janji telah dimungkiri; termasuk soal pemansuhan Akta Hasutan dan janji untuk tidak menaikkan harga petrol. Menepati janji adalah salah satu ciri mukmin yang unggul. Jika janji sudah boleh dimungkiri sesuka hati, mana perginya keunggulan mukmin?” Demikian soal Mohd Zaidi.

Sekiranya diperhatikan, Akta Hasutan kini “diperkukuhkan” khusus untuk mendakwa sesiapa yang “menghasut” Sabah dan Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia.

“Ini merupakan perkara yang tidak masuk akal. Sabah dan Sarawak adalah entiti yang ada hak membicarakan perihal tanah air mereka.

“Umno tiada hak menangkap nasionalis Sabah dan Sarawak semata-mata untuk terus menjaga kepentingan orang Melayu,” kata Larry sambil menegaskan bahawa para nasionalis berkenaan pasti tidak akan tunduk kepada mana-mana akta yang bersifat menindas.

Pemuda itu sebaliknya menyarankan supaya Umno menelaah kembali sejarah Malaysia, serta merujuk kembali al-Quran dan Sunnah untuk muhasabah diri.

“Renung dan tenung bagaimana Rasulullah menjaga hati dan keselamatan kaum Zimmi semasa pemerintahan baginda di kota Madinah.

“Ada hadis berbunyi ‘Barangsiapa menyakiti Zimmi, maka dia telah menyakitiku, barangsiapa menyakitiku, maka sesungguhnya dia telah menyakiti Allah’ dan hadis ini wajar dijadikan panduan,” Larry menghuraikan.

Menerusi komennya, pemuda kelahiran Kanowit itu menegaskan bahawa Akta Hasutan tidak patut dikekalkan jika ia semata-mata bertujuan menjaga kepentingan satu kaum dan satu ideologi politik sahaja.

Semoga segala pandangan, kritikan dan komen ini mendapat perhatian Najib sebelum dia mengemukakan hujah di Mesyuarat Kabinet bagi mempertahankan sebuah akta yang secara terang-terangan ditolak majoriti rakyat berfikiran rasional.

Belum terlewat untuk Najib sedar daripada “mabuk” perhimpunan agung Umno dan mengingatkan dirinya bahawa dia harus menjadi perdana menteri 1Malaysia, bukannya pemimpin 1Melayu semata-mata.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.