APRIL 6 ― Tidak ramai singer songwriter baru yang saya ambil tahu perkembangan muzik dan karier mereka. Inilah masalah jika kita ini masih merasakan yang lama itu sudah cukup sempurna acuan dan gaya mereka, bila datang yang baru kita endah tak endah sahaja.
Bagaimanapun terdapat beberapa singer songwriter baru di era 80an dan 90an yang saya akui memang berbakat dan ada ‘attitude’seperti Jeff Buckley, Damien Rice dan Beck antaranya.
Kalau band baru, bagi saya yang paling menyentap kumpulan Manic Street Preachers dan Radiohead antaranya.
Untuk info tentang muzik dan artis baru yang berbakat dan ‘rare’, saya sering merujuk kepada salah seorang kawan baik saya yang merupakan pencinta muzik khususnya untuk muzik yang berkonsep, rugged dan unik.
Di kalangan teman kawan saya ni dikenali sebagai Rahim Sadri atau Im, saya kenal sejak tahun 2000 lagi di Pasar Seni. Beliau banyak terlibat dalam perkembangan muzik dan karier saya sebagai folk singer songwriter indipenden yang telah mempunyai sejumlah album sejak tahun 2001 - 2013.
Kebanyakan album-album saya seperti ‘Pesta Jiwa 2’(2002),‘Itu Padang...Aku Di Situ’(2003) dan ‘Dari Rakyat Untuk Rakyat’ (2009) dari segi konsep dan idea untuk lay out cover dan design, saya serahkan kepada beliau dan biasanya hasil idea dan kreativitinya tidak mengecewakan saya.
Ini kerana pemahamannya tentang muzik dan seni seiring dengan apa yang saya faham, jadi jika kita berada di zon yang sama walau mungkin acuan berbeza, beliau faham apa itu muzik, bahasa dan rentaknya, itu sudah cukup mencukupi bagi saya.
Baru-baru ini ada dikirimkannya kepada saya album baru Beck, ‘Morning Phase’ yang baru saja diedarkan tahun ini (2014) .
Beck, atau nama sebenarnyanya Beck Hansen, adalah singer songwriter berbakat kelahiran Los Angeles, Amerika. Dilahirkan pada 8 Julai 1970, Beck dikira singer-writer pelik yang berjaya dengan konsep alternatif bercampur-campur dengan elemen folk, funk, fusion, psychedelic dan rock.
Apa yang buat saya salut dengan beliau kerana asal kariernya juga bermula sebagai ‘busker’. Kalau kita nak jadi seorang singer songwriter, busking adalah ‘asas’nya sebab itulah yang membezakan ‘folk’ dengan genre muzik yang lain.
Saya mula mendengar lagu Beck melalui album ke-8 nya yang berjudul ‘Sea Change’ terbitan tahun 2002. Menarik kerana review album ini yang dikatakan punya mood Nick Drake dan dalam album Blood on the Tracks Bob Dylan, membuatkan saya membeli album tersebut.
Persamaan antara Beck dan Nick Drake dalam album ini adalah dari segi mood, mellow dan murung. Saya suka album Sea Change ini kerana isi kandungan yang terdapat dalamnya.
Album pertamanya diterbitkan pada tahun 1993 (Golden Feelings). Selepas itu beliau berjaya menghasilkan sederetan album mengikut citarasanya yang flexible dan album barunya Morning Phase juga menarik kerana kembali ke mood-mood Sea Change.
Saya sempat bertanya dan bertukar pandangan dengan Im tentang Beck dan kenunikannya Apa yang membezakan Beck dengan artis atau singer-songwriter yang lain?
“Kalau dilihat, muzik Beck hanyalah kitaran kitaran muzik masa lalu yang diolah bersama muzik muzik sezamannya.
Tapi Beck punya sumber rujukan yang kuat dan dia faham akan sumber rujukan itu...secara sedar dan juga tidak... ini membuatkan dia unik dan tersasar dari yang lain.”
Tambahnya lagi,
“Dalam kata lain dia sebati dengan apa yang dia dengar, lihat, baca dan alami sewaktu proses pembesarannya yang agak menyuramkan serta salasilah jalur keluarganya yang kompleks
Katanya, remajanya dijalanan, dia meneroka Delta blues, membaca tentang Situationists serta sudah tenggelam dalam perasaan Dadaism dan Surealist.
Ini membuatkan dia punya jatidiri serta imaginasi yang kuat bila berkarya...dan buat apa yang dia rasa dia suka dengan pergaruh pengaruh hebat yang menjalar di otak bawah sedarnya...
Beck mencipta identitinya sendiri dengan mengadaptasi pengaruh pengaruh tersebut secara natural dan tidak dibuat buat...dan disitulah keindahanya..”
Tentang busking:
“Sebelum dikenali..Beck juga mencari kekuatan dengan menjadi busker. Seperti katanya, “aku membawakan lagu lagu Mississippi John Hurt dalam bas bas di Los Angeles dan ianya tidak menjadi..amat bertuah jika berjaya mendapatkan 5 dolar.
Disitu aku belajar sesuatu: amat mustahil untuk busking dan membuat wang, melainkan engkau memainkan 'Hey Jude'.”
Apabila saya mendengar dan menghayati album ‘Morning Phase’, memang benar terdapat unsur ‘Sea Change di dalamnya’.
Terdapat 13 lagu yang kesemuanya yang menarik untuk dilayan dalam mood yang redup dan lirik-liriknya juga bijak.
Bagi mereka yang baru nak kenal muzik Beck, cuba layan album ‘Sea Change’untuk memahami konsep dan gayanya. Dalam album Sea Change juga terdapat beberapa buah lagu yang menjadi hit, salah satunya ‘Lost Cause’ yang pernah dipersembahkannya di program David Lettermen sewaktu album tersebut baru berada di pasaran waktu itu.
Album Sea Change juga meletup di pasaran dunia dan dipilih sebagai antara 500 album terbaik sepanjang abad oleh majalah Rolling Stones pada tahun 2003.
* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.
