2 APRIL ― Kelmarin, ketika Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengumumkan bahawa semua objek yang dikesan di perairan di Perth, Australia bukan bangkai pesawat MH370, sekali lagi harapan besar yang disandarkan oleh keluarga mangsa tragedi MH370 bahawa ahli keluarga mereka selamat berakhir dengan kekecewaan.

Nyata, harapan besar itu kini tinggal harapan semata-mata. Bagi mereka, ini bukan kali pertama mereka diberikan harapan seumpama itu. Ini kerana, pada awal tragedi, pelbagai teori dan spekulasi tersebar mendakwa pesawat MH370 tidak terhempas dan telah dirampas oleh sekumpulan pengganas.

Tidak kurang juga, teori yang mendakwa pesawat MH370 telah mendarat di sebuah pangkalan tentera Amerika di Diego Garcia. Bagaimanapun, kesemua spekulasi itu masih belum ditentukan kesahihannya dan cukup meragukan.

Di sebalik penyebaran spekulasi yang belum ditentukan kesahihannya, apa yang pasti manusia apabila dalam keadaan terdesak, sentiasa mempercayai kepada harapan.

Harapan merupakan sesuatu yang amat diperlukan oleh sahabat handai mahupun kaum keluarga kepada penumpang pesawat MH370 yang masih hilang itu. Apa tidaknya, penantian selama lebih tiga minggu untuk melihat kepulangan anggota keluarga tersayang ke pangkuan mereka tidak kesampaian.

Penantian yang cukup menyeksakan ini benar-benar menguji kesabaran dan kekuatan emosi serta mental seseorang manusia. Dengan bergantung harap kepada harapan biarpun setipis mana sekalipun, sekurang-kurangnya ia memberikan penyuntik semangat kepada kaum keluarga untuk berdoa dan berharap agar keajaiban akan berlaku.

Sehingga hari ini, keajaiban yang diharap-harapkan itu masih tidak kunjung tiba. Sebaliknya, satu demi satu berita negatif terus menghantui anggota keluarga mangsa sehinggakan ada yang menerima ketentuan takdir bahawa pesawat serta kotak hitam MH370 tidak akan ditemui.

Lebih malang lagi, ketika negara bersedih di atas kehilangan pesawat MH370, ada segelintir pihak khasnya pemimpin politik yang tidak segan mengeluarkan kenyataan kurang bijak dan tidak masuk akal mengenai tragedi tersebut. Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng umpamanya menegaskan, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat akan dapat mencari pesawat MH370 jika mereka diberikan peluang untuk memerintah Malaysia. Seorang lagi Ahli Parlimen kerajaan pula mengesyorkan agar internet ditapis bagi meredakan kemarahan warga China terhadap rakyat Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, apakah akan terjadi jika warga China terus percaya kepada apa yang ditulis dalam internet? Berkemungkinan mereka akan merusuh dan mengancam nyawa rakyat Malaysia.

Persoalannya di sini, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan? Dimanakah perginya integriti pemimpin-pemimpin politik baik kerajaan mahupun pembangkang? Perlukah mereka berpolitik hingga ke tahap sebegini?

Jika ingin mencari publisiti pun, biarlah dilakukan secara tertib dan kena pada tempat dan masanya. Tidak dinafikan pemimpin-pemimpin politik seperti Lip Eng dan Bung Moktar berhak mengeluarkan kenyataan berkenaan, tetapi fikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak sensitif itu.

Apa gunanya menarik balik kenyataan yang dikeluarkan selepas dihentam teruk oleh pengguna media sosial? Apakah pemimpin sedemikian tidak membuat “kerja rumah” dahulu sebelum bercakap kepada media? Usahlah menggambarkan diri anda sebagai seorang yang kurang bijak dan sentiasa mahukan perhatian media.

Oleh itu, ada baiknya jika pemimpin-pemimpin sedemikian tidak berkata apa-apa jika tidak tahu-menahu mengenai isu MH370. Tidak semestinya apabila seseorang pemimpin tidak bercakap apa-apa, beliau akan dilabel sebagai seorang yang kurang bijak tetapi sebaliknya yang berlaku.

Pemimpin yang kurang bercakap bermakna mereka sebenarnya sedang memerhati dan cuba menganalisis sesuatu isu sebelum bertindak. Hanya apabila mereka mengetahui segala selok-belok isu, barulah memberanikan diri untuk berhadapan dengan media.

Akan tetapi, jangan pula terlalu senyap dan membisukan diri hinggakan memberi gambaran kepada dunia bahawa anda seolah-olah tidak ambil kisah. Kemahiran menguruskan persepsi dan krisis seseorang pemimpin politik kini diuji.

Apa yang dilalui oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Hishamuddin ketika ini adalah satu contoh klasik yang menunjukkan kewibawaan seseorang pemimpin dalam mengendalikan krisis. Beliau tidak mudah melatah, emosional dan membuat keputusan secara melulu.

Kelihatan ahli keluarga yang sedang menanti kepulangan anggota keluarga tersayang dengan penuh keseksaan. — Reuters pic
Kelihatan ahli keluarga yang sedang menanti kepulangan anggota keluarga tersayang dengan penuh keseksaan. — Reuters pic

Perhatikan bagaimana Datuk Hishamuddin mengendalikan sidang media harian dengan baik berbanding dengan sidang media harian terdahulu yang disifatkan oleh ramai pihak sebagai tidak teratur.

Ingatlah…sekarang bukan masanya untuk mana-mana pemimpin atau parti politik untuk mempolitikkan tragedi MH370. Sekarang adalah masa untuk semua pihak berganding bahu untuk merungkaikan misteri kehilangan pesawat MH370.

Hakikatnya, kerajaan tidak mungkin dapat menyelesaikan krisis ini secara bersendirian tanpa sokongan atau kerjasama daripada semua pihak termasuk pembangkang. Inilah masanya juga untuk pemimpin politik Malaysia membuktikan kepada dunia bahawa standard mereka adalah setaraf dengan pemimpin politik dari negara maju.

Buktikan kepada dunia bahawa pemimpin politik Malaysia sebenarnya mempunyai “kelas” dan kebijaksanaannya tersendiri untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pemimpin-pemimpin lain. Kita tidak mahu imej Malaysia diaibkan oleh angkara politikus yang mempunyai kepentingan peribadi mereka.

Apapun, misteri kehilangan pesawat MH370 perlu dirungkai segera kerana ia melibatkan integriti serta imej Malaysia di mata dunia. Selagi misteri ini belum diselesaikan, selagi itulah dakwaan oleh warga China bahawa kerajaan Malaysia adalah pembunuh dan penipu akan terus kedengaran.

Biarpun peluang untuk menemui kotak hitam mahupun bangkai pesawat MH370 adalah tipis, tetapi keazaman kerajaan Malaysia untuk terus menjejaki pesawat MH370 dengan berbekalkan sedikit harapan sesuatu yang wajar diberi pujian. Mereka tidak mahu mengalah dan akan berusaha habis-habisan untuk mencari pesawat tersebut.

Inilah harapan yang penulis maksudkan pada awal artikel ini. Harapan yang ada kemudiannya memberikan keyakinan dan keazaman kepada keluarga mangsa untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan dengan lebih tabah.

Anda bagaimana? Mampukah anda bertahan seperti mana yang ditunjukkan oleh keluarga mangsa tragedi MH370? Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui.

*Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The  Malay Mail Online.