31 MAC ― Amalan masyarakat India beragama Hindu membina kuil kecil di halaman rumah bukan perkara aneh di negara ini. Biasanya kuil kecil ini merupakan tempat bersembahyang bagi keluarga berkenaan dan bukan tempat pemujaan orang awam.

Saya kenal sebuah keluarga di Kamunting, Perak di mana mereka mempunyai cerita yang agak menarik mengapa mereka membina kuil kecil di perkarangan rumah. Cerita ini agak mistik dan mungkin juga bercanggah dengan kriteria ikonografi iaitu seni mengukir berhala dalam ajaran Hindu.

“Keluarga kami sebenarnya telah menyembah Dewa Maduraiveeran sejak turun-temurun,” Puan Santha memulakan cerita sambil duduk bersama-sama suaminya, Encik Rajanthran; serta anak-anak mereka bernama Nyanaambigai dan Dhanesh Kumar.

Berikut kisah yang pernah diceritakan oleh Puan Santha bagi merungkaikan pelbagai persoalan yang muncul dalam minda saya. Saya memutuskan untuk menulis kisah itu menggunakan sudut penceritaan beliau sendiri supaya lebih menarik untuk dibaca.

Bermula di kebun bapa

Maduraiveeran adalah dewa pengawal yang sangat digeruni dalam budaya India. Bapa saya menyembah dewa berkenaan dalam bentuk seketul bata. Saya sendiri tidak tahu dari mana bapa saya mendapatkan bata itu. Rupanya sama seperti ketul bata perang-kemerahan yang digunakan untuk membina rumah.

Walau bagaimanapun, menurut bapa, bata itu bukan bata biasa sebab telah disembah sebagai dewa. Roh atau kuasa Dewa Maduraiveeran ada di dalam bata itu. Jadi, kami sekeluarga menyembahnya sejak sewaktu saya masih kecil lagi. Bapa melakukan upacara khas bagi Dewa Maduraiveeran.

Bata berkenaan diletakkan di kebun milik bapa. Kalau saya dan adik-beradik pergi ke kebun, kami tidak berani mengacau kuil kecil yang dibina oleh bapa untuk menempatkan bata itu. Kata bapa, kalau kami mengganggu dewa itu, maka kami akan dihukum oleh kuasa sakti pada bata berkenaan.

Dewa Maduraiveeran kelihatan di sebuah kuil kecil. ― Picture by Uthaya Sankar SB
Dewa Maduraiveeran kelihatan di sebuah kuil kecil. ― Picture by Uthaya Sankar SB

Beberapa tahun kemudian, bapa menggantikan bata itu dengan seketul batu granit. Menurut bapa, batu itu bukan sembarangan batu kerana Dewa Maduraiveeran sendiri hadir dalam mimpi bapa dan memberitahu di mana bapa boleh menemui batu granit berkenaan untuk disembah di kuil yang dibina oleh bapa di kebun.

Setelah dewasa, saya pun berkahwin dan memulakan hidup baru bersama suami dan anak-anak. Bapa pula sudah meninggal dunia. Akibatnya, kuil kecil di kebun bapa terbiar begitu sahaja. Tidak ada sesiapa yang menjaganya. Maka, Dewa Maduraiveeran yang disembah sejak turun-temurun seperti sudah tidak disembah lagi oleh generasi selepas bapa.

Mimpi pelik pada awal subuh

Pada suatu subuh, sedang saya nyenyak tidur, saya tiba-tiba mendapat suatu mimpi yang amat pelik dan menghairankan. Dalam mimpi itu, seorang lelaki tua berkata sesuatu kepada saya. Tiba-tiba saya terkejut daripada tidur. Barulah saya sedar bahawa saya bermimpi pada awal subuh.

Dalam kepercayaan orang India, mimpi pada awal subuh biasanya ada makna tersendiri. Lalu, saya cuba memikirkan apa yang dikatakan oleh lelaki tua yang hadir dalam mimpi. Saya juga cuba membayangkan bagaimana rupa lelaki tua itu. Namun, wajahnya sudah terpadam terus daripada ingatan saya. Adakah lelaki tua itu mendiang bapa saya? Entahlah sebab saya tidak dapat membayangkan semula wajah itu.

Tapi saya teringat kata-kata yang diucapkan oleh lelaki tua itu: “Sudah lama saya dilupakan dan diabaikan. Datanglah menziarah saya. Bawalah saya pulang ke rumah. Saya akan menjaga dan melindungi keluarga kamu sebagaimana saya telah melindungi generasi sebelum kamu.”

Saya menceritakan mimpi yang pelik itu kepada suami saya. Dia memang tahu bahawa datuk dan bapa saya menyembah Dewa Maduraiveeran sejak turun-temurun. Kami berdua berbincang dan cuba menganalisis makna mimpi itu. Kami juga meminta pandangan kedua-dua anak kami.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk membina sebuah kuil kecil di perkarangan rumah. Di dalam rumah kami memang ada bilik sembahyang khas di mana kami memuja dewa-dewi. Bagaimanapun, secara tradisi, Dewa Maduraiveeran tidak boleh disembah di dalam rumah. Sebaliknya dewa itu memang perlu diletakkan di luar rumah kerana Dewa Maduraiveeran adalah dewa pengawal.

Tanpa berlengah, kami membina sebuah kuil yang sangat kecil sahaja di luar rumah. Saya memilih seketul bata warna perang-kemerahan untuk diletakkan di dalam bangunan kuil kecil itu. Bata berkenaan dibersihkan sebelum diadakan upacara khas bagi “menurunkan” kuasa Dewa Maduraiveeran ke dalam bata berkenaan.

Selepas itu, kami sekeluarga mula menyembah bata itu sebagai Dewa Maduraiveeran. Lampu minyak dipasang, karangan bunga dipakaikan pada bata berkenaan dan upacara sembahyang diadakan setiap hari. Kami sekeluarga terasa gembira dan puas kerana kami merasakan keselamatan rumah kami lebih terjamin kerana dikawal oleh Dewa Maduraiveeran.

Permintaan daripada dewa

Masa terus berlalu dan kami sekeluarga sentiasa mengadakan upacara sembahyang di kuil kecil yang dibina di halaman rumah. Kami yakin bahawa apa yang kami sembah bukanlah seketul bata semata-mata tetapi adalah “roh” atau “kuasa” Dewa Maduraiveeran yang telah disembah oleh keluarga saya sejak zaman-berzaman.

Memang ada orang yang tidak mahu percaya apabila saya menceritakan mengenai mimpi aneh yang pernah saya alami. Mereka menganggap saya mereka-reka cerita. Tapi saya tidak kisah apa tanggapan orang lain.

Apa yang penting adalah bahawa saya dan keluarga saya yakin dengan apa yang kami lakukan. Lagi pun, Dewa Maduraiveeran akan melindungi rumah dan keluarga saya. Jadi, mengapa saya perlu risau tentang tanggapan dan kata-kata orang lain?

Tidak lama kemudian, saya mengalami satu lagi pengalaman yang aneh dan agak menyeramkan. Sampai sekarang, apabila saya dan suami saya bercakap mengenai kejadian itu, bulu roma kami akan berdiri dan tubuh kami terasa semacam seram sejuk.

Biar saya ceritakan apa yang berlaku. Pada suatu subuh, sekitar pukul lima pagi, saya dan suami saya melangkah keluar dari rumah untuk melakukan upacara sembahyang subuh di kuil Dewa Maduraiveeran. Suami saya memegang loceng kecil dan talam kecil dengan kapur barus yang sedang membakar. Saya pula membawa bekas kemenyan yang sedang berasap.

Sebaik sahaja kami berdua melangkah keluar pintu hadapan, mata kami terus terpandang sekujur tubuh yang duduk benar-benar di hadapan kuil kecil yang kami bina untuk Dewa Maduraiveeran. Dalam sekelip mata sahaja rupa itu ghaib.

Saya dan suami saya saling berpandangan. Mustahil bahawa tubuh berbaju putih itu hanya khayalan saya kerana suami saya juga melihatnya. Kami tercegat seketika. Tentulah kami terasa seram sejuk pada ketika itu. Lalu kami cepat-cepat menyempurnakan upacara sembahyang dan masuk semula ke dalam rumah.

Oleh kerana masih terlalu awal untuk pergi kerja, saya tidur sebentar. Pada ketika itu, saya didatangi seorang lelaki tua berbaju putih dalam mimpi. Rupanya sama sahaja seperti bayangan lelaki berbaju putih yang saya dan suami saya lihat di luar rumah. (Bersambung)

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malay Mail Online.