MAC 30 — Maka kemelut pesawat MAS MH370 pun berakhir di Lautan Hindi. Ini bukanlah mimpi, ini kenyataan yang perlu kita hadapi. Walau ini adalah jawapan dan keputusan, namun ini juga bukanlah jawapan yang penuh, melainkan permulaan untuk sebuah misteri yang masih belum terungkap.
Saya tidak akan mengajak pembaca untuk menghuraikan berbagai persoalan dan misteri yang tidak terjawab itu kerana, seperti kita-kita semua, saya juga tidak tahu apa cerita sebenar yang berlaku di luar kotak fikir kita yang terbatas ini.
Saya juga tidak akan bertanya mengapa MH370 ke selatan, tidak ke utara seperti yang sepatutnya. Selama 17 hari kita menanti jawapan, akhirnya jawapan yang tiba untuk mereka yang terlibat ianya seperti ribut taufan atau tsunami yang melanda dan remukkan jiwa.
Yang pasti untuk 17 hari yang mendebarkan, hikmah yang saya dapat dari tragedi MH370 adalah nilai pengetahuan saya tentang ilmu kapalterbang dan yang berkait dengannya semakin bertambah.
Apapun, saya cuma mahu mengajak pembaca atau pada mereka yang terlibat agar redha menerima hukum alam dan cerita suka-duka hidup ini seadanya. Kita tidak punya pilihan selain menghadapi walau ia berserta tangisan dan hiba.
Kita bersimpati akan tragedi yang menimpa pada mereka yang terlibat. Kesedihan yang dizahirkan melalui pengucapan yang sarat dengan duka juga raungan tangisan dari keluarga mangsa melengkapkan hari sedih kita. Menangislah jika itu dapat melegakan ketegangan dan kusut jiwa.
Kita boleh lihat rasa hampa dan kecewa itu pada riak wajah mereka. Sehingga kita juga turut hiba dan sedih dalam menghadapi kenyataan hidup yang sangat pahit untuk ditelan ini.
Seperti luahan hati CEO Malaysia Airlines ( MAS), Ahmad Jauhari Yahya atas kejadian yang menimpa pesawat MH370,
“ Hancur luluh hati saya apabila mengenangkan kesedihan tidak tertanggung yang dialami keluarga terbabit dan tiada kata-kata yang dapat meredakan kesedihan ini ”
Tidak punya pilihan, jika tidak ada tempat lain untuk mengadu, kepada Tuhanlah untuk kita berdoa dan berserah. Maka kitapun cuba menyelongkar rahsia alam dan cerita takdir perjalanan hidup kita ini.
9 bulan kita hidup di dalam perut ibu yang mengandungkan kita, selesa dan bahagia kerana masih di dalam peliharaan kasih dan sayangnya.
Tatkala lahir saja kita ke dunia selepas 9 bulan, fitrah dan normalnya kita akan menangis. Maknanya kalau menangis itu kita ini dikira normal. Kalau tak menangis sewaktu lahir, itu bermakna ada yang tidak kena dengan kesihatan dan mental kita.
Mengapa kita menangis?
Ini kerana kita telah dihidupkan ke dunia untuk menghadap segala macam cerita yang bakal terhidang untuk kita hadap dan tangani. Kita menangis juga kerana kita telah bertemu dengan pasangannya hidup, yakni mati.
Cerita tentang dunia sebahagiannya adalah tentang masalah belaka. kita dijadikan memang untuk menghadapi dan menanganinya. Kita mungkin menang, kita juga mungkin kalah dalam pertarungan nasib.
Dan klimaks untuk setiap yang bernyawa adalah mati. Matahari pasangannya bulan, siang pasangannya malam. Lelaki pasangannya perempuan. Daratan pasangannya lautan. Hidup pasangannya mati.
Cepat atau lambat kita semua akan mati. Jalan cerita mungkin berbeza tapi menghala ke satu makna yang sama juga. Jadi mahu atau tidak, kita perlu belajar untuk menghadapinya.
Kita tunggu dia datang, tak tunggu pun mati akan datang juga. Lebih kita bersedia untuk menghadapi dari melarikan diri dari menghadapi kematian.
Seorang kenalan datang kepada saya membawa khabar duka tentang abangnya yang mengidap kanser telah meninggal dunia dalam keadaan yang menyayat hati. Apa yang saya mampu lakukan untuk meredakan kesedihan yang ditanggungnya?
Saya hanya mampu memberikan kata-kata semangat agar dia mampu menghadapi cerita sedih yang sedang dihadapnya saat itu.
Saya juga kalau boleh mahu ibu saya agar sentiasa sihat selalu, masih boleh bercakap dan berjalan. Hakikatnya hari ini dalam umurnya yang hampir menjangkau 90an, ibu saya banyak menghabiskan masanya di katil pembaringan.
Atas faktor usia juga, ibu saya tidak mampu untuk berjalan seperti yang dilkakukannya 20 tahun dulu. Apa daya kita untuk mengubah takdir dan ketentuan alam?
Sepanjang kita bergelar manusia di dunia ini, tidak akan ada cerita yang indah yang penuh dengan elemen riang dan gembira sepanjang hayat. Kalau Dia nak uji, kita perlu belajar untuk menghadapinya.
Tidak ada siapapun di dunia ini yang minta didatangkan malapetaka dan bencana terhadap mereka. Sebab itu bukanlah suatu yang menggembirakan, bahkan mengusut dan menghancurkan hidup kita.
Jika segala musibah itu mungkin menjadikan kita trauma sehingga takut untuk keluar rumah, kesannya atas rasa panik dan takut dalam diri, mungkin kita akan dilanda sakit jantung atau darah tinggi yang akhirnya akan mengakibatkan kematian juga.
Apa yang perlu kita lakukan adalah teruskan hidup seperti biasa. Itu lebih baik dari kita cuba melarikan dari dari kenyataan hidup.
Siapa kita untuk menahan cerita suka duka takdir yang datang kepada kita? Nyatalah kita tidak diberi banyak pilihan dalam hidup ini.
Kita lihat bumi dan permukaannya ini. sebahagian besarnya adalah lautan. Hanya 30 peratus daratan. Untuk cerita di lautan pula, hanya 2 peratus sahaja misterinya yang mampu para cerdik pandai kita huraikan.
Begitu juga kehidupan ini, sukar untuk kita menduga apa yang akan datang kepada kita, samada baik mahupun buruk. Cuma seperti yang saya katakan tadi, apa saja yang datang, kita perlu menghadapinya dalam tenang jiwa. Mudah-mudahan...
* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan The Malay Mail Online.
