5 OGOS — Mengapakah penduduk “asal” Putrajaya kini terpaksa tinggal di dalam khemah? Saya mengikuti perkembangan berita mengenai perjuangan sekumpulan penduduk pangsapuri Taman Permata, Dengkil menerusi media alternatif sejak beberapa minggu lalu.

Dari 2007 hingga 2009, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang saya terajui sering mengadakan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya bagi kanak-kanak dan remaja yang tinggal di lima pangsapuri berkenaan dengan kerjasama Pusat Komuniti ERA.

Maka pada 3 Ogos 2013, saya memutuskan untuk berkunjung ke sana bersama-sama Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil.

Ketibaan kami disambut wakil Persatuan Bertindak Penduduk Taman Permata yang menerajui perjuangan. Manoharan (Bendahari) dan Saminathan (AJK) memberikan penerangan kerana Ramadas Ganapati (Presiden) dan N. Kumaran (Setiausaha) pergi kerja. Sejumlah penduduk juga tampil memberikan penerangan sambil membawa kami meninjau keadaan sebenar di Blok 5, Pangsapuri Taman Permata.

Advertisement

Saminathan menunjukkan Blok 5 yang disahkan tidak selamat dihuni. — Gambar-gambar oleh Uthaya Sankar
Saminathan menunjukkan Blok 5 yang disahkan tidak selamat dihuni. — Gambar-gambar oleh Uthaya Sankar

Pada 11 Jun 2013, penduduk di blok berkenaan mula mendengar bunyi pelik dan butiran simen dari dinding mula gugur. Pada malam itu, Bomba dan Penyelamat datang. Mereka mengarahkan kesemua penduduk supaya tidak masuk ke dalam rumah kerana bangunan berkenaan didapati tidak selamat.

Pada malam itu, Menteri Kesihatan merangkap Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S. Subramaniam datang. Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd Sayuti Bakar juga datang melawat.

“MPSepang mengeluarkan surat rasmi bahawa bangunan ini tidak selamat untuk diduduki. Maka, penduduk memutuskan untuk tinggal sementara di dalam khemah yang disediakan oleh MPSepang.

Advertisement

Tanah mendap dan aliran air bawah tanah jelas kelihatan.
Tanah mendap dan aliran air bawah tanah jelas kelihatan.

“Dua hari kemudian, kami diberitahu oleh YDP MPSepang bahawa bangunan Blok 5 selamat dihuni dan kami diarah pulang ke rumah masing-masing. Kami pula hairan mengapa keputusan berubah dalam masa dua hari. Demi keselamatan, kami meminta beliau memberikan surat rasmi (hitam-putih) bahawa bangunan ini memang selamat untuk diduduki,” kata Manoharan sambil menambah bahawa sehingga kini, tidak ada sebarang surat pengesahan dan jaminan diberikan.

Pada 16 Jun lalu, Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau dan Mohamed Hanipa datang berjumpa penduduk. Pegawai Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) juga hadir untuk membuat tinjauan.

“IKRAM memaklumkan bahawa bahan-bahan kurang berkualiti digunakan semasa membina bangunan ini lebih 15 tahun dahulu. Maka, pegawai IKRAM menyatakan bahawa pihaknya tidak boleh memberikan jaminan bangunan ini boleh diduduki,” seorang penduduk menceritakan.

“Selepas itu, kami para penduduk memutuskan untuk memulakan perjuangan menuntut hak sambil terus tinggal di khemah ini. Malangnya ada usaha wakil MIC untuk cuba menggagalkan perjuangan kami. Kami mendapat tahu bahawa wakil parti politik itu bertemu YDP MPSepang dan membuat aduan serta meminta khemah ini diambil balik,” Manoharan mendedahkan kisah yang turut diakui para penduduk yang saya temui.

Pada suatu hari, penguatkuasa MPSepang telah pergi untuk mengambil balik khemah milik majlis perbandaran yang dijadikan tempat tinggal sementara oleh penduduk terbabit. Penguatkuasa terbabut terkejut melihat bahawa kaum wanita sedang memasak makan tengah hari di khemah dan terus pergi.

“Ganabatirau menghubungi YDP MPSepang dan dimaklumkan bahawa ada wakil MIC yang membuat aduan kononnya khemah ini dijadikan tempat berjudi dan bukannya tempat penduduk tinggal. Sebab itulah penguatkuasa majlis perbandaran yang datang juga terkejut melihat situasi sebenar,” seorang penduduk menghuraikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif turut datang pada 15 Jun 2013. Rupa-rupanya, apabila beliau dalam perjalanan ke situ sebelum ini, ada pihak yang menghalang beliau dan memberikan alasan kononnya tiada apa-apa masalah di Pangsapuri Taman Permata.

Khemah ini menjadi tempat tinggal penduduk sejak 11 Jun 2013.
Khemah ini menjadi tempat tinggal penduduk sejak 11 Jun 2013.

“Apa yang benar-benar mengecewakan kami adalah bahawa Umno, MCA, PKR, PAS, PSM dan sebagainya menyokong kami. Malangnya MIC sendiri yang mencuba pelbagai cara untuk menghalang kami,” kata Manoharan sambil dipersetujui penduduk lain.

“Orang kuat MIC yang menjadi dalang dan penghalang ini juga memiliki rumah di sini. Bezanya adalah bahawa mereka sudah mengumpul harta dan memiliki rumah di tempat-tempat lain. Mereka juga khabarnya mengugut beberapa penduduk supaya jangan menyertai perjuangan yang kami lakukan ini,” seorang lagi penduduk meluahkan perasaan kecewa.

Pada 31 Julai lalu, wakil Persatuan Bertindak Penduduk Taman Permata bertemu Subramaniam dan menyatakan mengenai sikap pemimpin MIC peringkat rendah. Rupa-rupanya, semasa Menteri Kesihatan itu datang sebelum ini juga perkara sama berlaku. Beliau dihalang orang MIC sendiri daripada meninjau kawasan pangsapuri yang rosak dan mungkin menjadi sarang penyakit berikutan paip-paip najis yang pecah.

Keretakan berlaku pada dinding hampir setiap rumah.
Keretakan berlaku pada dinding hampir setiap rumah.

Ada 400 keluarga yang terjejas akibat bangunan yang mengalami kerosakan dan tidak selamat didiami. Daripada jumlah itu, 193 keluarga sahaja yang masih tinggal di sini. Selebihnya sudah berpindah ke tempat lain sejak beberapa tahun lalu kerana sedar tempat ini terlalu bahaya kerana bangunan mungkin runtuh pada bila-bila masa.

Sekitar 40 keluarga, khususnya dari Blok 5, tinggal di khemah sementara. Empat blok lain juga terjelas tetapi buat masa ini dikatakan masih selamat dihuni. Rata-rata para penduduk ini sudah hampir 15 tahun tinggal di sini; iaitu apabila penduduk dari empat estet diarah berpindah bagi memberi laluan untuk pembinaan Putrajaya yang menjadi Pusat Pentadbiran Persekutuan dan dilancarkan pada 29 Ogos 1995.

Empat estet terbabit ialah Ladang Prang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley. Menurut penduduk yang ditemui, anak-anak yang lahir selepas mereka berpindah ke sini sudah pun berusia 14 tahun tetapi masa depan mereka amat gelap. Malah, setiap hari mereka juga terpaksa berdepan dengan maut kerana tinggal di bangunan yang disahkan tidak selamat.

Kisah penderitaan penduduk estet seperti ini boleh juga dibaca, dihayati dan difahami menerusi kumpulan cerpen “But My House Was Here and Other Stories” (2011) karya Gopalan Sellan. Salah sebuah cerpen secara khusus bercerita mengenai seorang wanita yang mungkin berasal dari Ladang Prang Besar.

Memang mengharukan apabila saya buat pertama kali berpeluang meninjau secara dekat kehidupan kumpulan penduduk di Taman Permata dan rumah pangsa yang mereka huni sejak hampir 15 tahun dahulu. Penderitaan dan perjuangan mereka perlu didedahkan kepada umum. — Bersambung

* Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]

* This is the personal opinion of the columnist.