SEREMBAN, 5 April — Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S. Streram menafikan PH mempergunakan kanak-kanak dalam satu daripada program kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau menjelaskan program tersebut adalah pertandingan melukis anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan oleh kerana tiada kemudahan, penganjur terpaksa menggunakan pentas ceramah PH untuk majlis penyampaian hadiah.

“NGO berkenaan hanya menyampaikan hadiah pertandingan dan bukan bermotif politik. Mereka tiada pentas jadi mereka menggunakan trak yang mempunyai kemudahan pentas untuk penyampaian hadiah. Jika anda berada di sana anda akan faham.

“Adalah tidak benar jika menuduh PH mengeksploitasi kanak-kanak malah kami membela kanak-kanak,” katanya ketika program tinjauan mesra bersama Persatuan Man Nam Kong Soh, di pekan Rantau, di sini hari ini.

Advertisement

Media hari ini melaporkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa PH menggunakan kanak-kanak dalam kempen PRK Rantau menerusi laman Facebook miliknya dengan turut memuat naik gambar sekumpulan kanak-kanak dibawa naik ke atas sebuah lori yang digunakan jentera kempen PH.

PRK DUN Rantau pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, calon Barisan Nasional (BN) dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan  Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin. — Bernama