18 MEI — Pada sidang media harian beliau, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan bahawa sejumlah 1,248 buah kenderaan telah cuba merentasi negeri tempoh hari untuk balik kampung sempena Aidilfitri yang akan disambut hujung minggu depan.

Berdasarkan kepada statistik yang diumumkan dalam beberapa sidang media sebelum ini, angka mereka yang cuba merentas negeri meningkat dengan ketara, seolah-olah mereka sudah tidak hiraukan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuat kuasa ketika ini.

Kumpulan manusia ini nampaknya begitu nekad untuk balik kampung walau dengan apa cara sekalipun. Namun demikian, tanpa disedari tindakan mereka itu sebenarnya boleh membawa mudarat dan impak yang serius kepada usaha Kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Ada sebab-musababnya mengapa larangan untuk balik ke kampung dikuatkuasakan. Ada sebabnya mengapa gesaan dan pesanan dibuat hari demi hari oleh pihak berkuasa. Mereka bimbang penyebaran Covid-19 akan kembali meningkat sekiranya pergerakan merentasi negeri dibenarkan.

Advertisement

Apa yang akan terjadi nanti kepada kawasan-kawasan di zon hijau sebelum ini? Mungkinkah kawasan-kawasan ini terpaksa diletakkan semula dalam zon kuning atau merah? Apa yang berlaku di Jepun dan Singapura wajar membuka semula pihak berhubung perkara ini.

Mungkinkah juga disebabkan kedegilan segelintir rakyat ini akhirnya memaksa Kerajaan untuk mengetatkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)? Adakah itu yang dimahukan oleh rakyat? Malah Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood beberapa hari lalu mencadangkan agar PKP dilaksanakan pada Hari Raya Aidilfitri bagi mencegah lonjakan kes Covid-19 di negara ini.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 di Korea Selatan dan Jerman serta bagaimana perjumpaan berbuka puasa boleh menyebabkan maut.

Advertisement

“Jika kita tidak mengambil langkah untuk mencegah penyebaran (Covid-19), kita boleh kalah daripada semua yang telah dilakukan. Tuhan melarang. Mari berjaga-jaga,” ujarnya lagi.

Ini bukanlah masanya untuk rakyat di negara ini mengambil mudah situasi semasa biarpun jumlah kes semakin berkurangan. Jangan sesekali berfikiran sempit dan melihat prospek jangka pendek semata-mata. Apa yang anda lakukan sekarang dengan mematuhi segala arahan yang ditetapkan pihak berkuasa akan menentukan hala tuju perjuangan negara dalam memutuskan rantaian Covid-19.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.