20 APRIL ― Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia semenjak beberapa hari lepas telah menunjukkan penurunan yang ketara.

Jika beberapa minggu lalu, angka kes positif Covid-19 berada dalam lingkungan 100 hingga 200 kes saban hari, kini angka berkenaan telah menurun kepada kurang daripada 100 kes.

Perkembangan mutakhir ini satu petanda baik dalam usaha Kerajaan untuk memerangi penularan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Namun demikian, penurunan kes positif Covid-19 tidaklah bermakna rakyat Malaysia boleh kembali kepada kehidupan seperti sedia kala atau mengambil mudah situasi semasa. Sebaliknya, rakyat di negara ini perlu bersedia berhadapan dengan kebiasaan baharu atau the new normal untuk satu tempoh yang panjang.

Advertisement

Langkah tersebut adalah perlu bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 ini tidak menular secara besar-besaran seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat, Itali, United Kingdom dan Sepanyol.

Itu sebabnya sebarang keputusan untuk menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak boleh dibuat secara terburu-buru. Keputusan yang diambil perlulah mengambil kira pelbagai aspek secara menyeluruh.

Justeru, rakyat di negara ini perlulah bersabar dan terus membantu Kerajaan dalam misi memutuskan rangkaian pandemik ini dengan secepat mungkin. Lagi cepat rantaian pandemik tersebut dapat diputuskan, maka lebih cepat aktiviti ekonomi negara dapat digerakkan semula.

Advertisement

Kepada mereka yang masih ingkar arahan PKP, bersedialah untuk menerima tempias dan impaknya jika anda dijangkiti. Ini bukan virus sembarangan dan penularan berlaku dengan pantas sekali.

Ambillah iktibar apa yang berlaku di Itali dan Amerika Syarikat. Jangan ambil mudah selepas PKP ditarik balik bermakna ancaman Covid-19 kepada negara sudah berakhir. Anda silap!

Seperti mana yang diungkapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa negara masih belum kalah atau menang dalam perang menentang Covid-19. Usaha perlu diteruskan dalam memastikan bahawa negara kita benar-benar bebas daripada Covid-19.

* Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.