6 APRIL — Perintah Kawalan Pergerakan 2 kini memasuki minggu yang ketiga. Ini bermakna tinggal lapan (8) hari sahaja lagi sebelum tempoh PKP fasa 2 berakhir.

Biarpun tidak ada pengumuman lagi mengenai kemungkinan PKP akan dilanjutkan, namun demikian sebarang keputusan yang diambil oleh pihak Kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat bersama.

Keringat oleh barisan hadapan atau frontliner kita terutamanya polis, tentera, para doktor dan pegawai perubatan dalam menangani wabak Covid-19 yang kian meruncing, amat dihargai.

Menghabiskan berpuluh-puluh jam lamanya dalam tugasan mereka bukanlah sesuatu yang mudah. Sebaliknya, ia menuntut kesabaran, kecekalan dan semangat dedikasi yang cukup tinggi.

Advertisement

Justeru, apabila ada pihak awam yang cuba melawan dan memaki-hamun barisan frontliner seperti apa yang berlaku baru-baru ini, amatlah dikesali. Kebiadapan seorang wanita memaki-hamun pihak polis dengan perkataan kurang sopan iaitu stupid idiots kerana menganggu pergerakan beliau tidak boleh diterima sama sekali.

Kepada wanita berkenaan, apa masalah kamu? Awak sahaja ke yang terpaksa berhadapan dengan sekatan-sekatan jalan raya? Sebelum mengeluarkan kata-kata sedemikian, fikirlah dahulu! Apa perlunya kamu memaki-hamun pihak polis yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka?

Awak tak kasihankan mereka yang terpaksa berhujan dan berpanas semata-mata untuk menjaga keselamatan rakyat jelata? Individu seperti wanita tersebut hanya mementingkan diri sendiri.

Advertisement

Tindakan pihak polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya bukannya ingin menyusahkan pergerakan rakyat tetapi semata-mata untuk mematahkan rantaian wabak Covid-19 yang menular. Apakah begitu sukar untuk rakyat kita mematuhi peraturan-peraturan yang telah dikuat kuasakan melainkan mereka tidak takut akan undang-undang negara?

Tutur kata melambangkan keperibadian seseorang. Oleh itu, janganlah sesekali meninggikan suara semata-mata anda tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Ada banyak cara untuk meluahkannya. Marah tidak akan membawa anda ke mana malahan akan mengundang impak yang sebaliknya. 


Sebab santan pulut binasa, sebab mulut badan binasa, begitulah nasib yang menimpa seorang wanita gara-gara kerana mengeluarkan kata-kata yang kurang elok terhadap pihak polis. Disebabkan kebiadapan itu, wanita berkenaan kini didakwa di mahkamah.

Jadikanlah ini sebagai satu pengajaran berguna agar perkara serupa tidak akan berulang!

Tulisan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.